fbpx
Gambar h

101 kediaman, jalan raya risiko tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejadian ta­nah runtuh di Simpang Pulai-Cameron Highlands yang mengorbankan dua mangsa pada 2 Disember lalu memberi gambaran betapa dashyatnya bencana alam itu jika gagal ditangani dengan baik.

Tidak hanya meragut nyawa, malah kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada struktur cerun tanah yang tidak stabil turut mampu membinasakan penempatan penduduk selain kemudahan jalan raya.

Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad mendedahkan, terdapat 122 lokasi cerun yang dikategorikan sebagai kritikal di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 41 cerun kritikal yang dikenal pasti terletak di lokasi jalan raya, 60 lagi merupakan penempatan penduduk, manakala 21 merupakan kawasan bukit.

“Buat masa ini, kami di JPBM sedang membuat pemantauan berterusan terhadap 99 lokasi cerun kritikal yang berisiko menyebabkan tanah runtuh.

“Pemantauan 99 lokasi ini adalah sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan terutama tanah runtuh ekoran keadaan cuaca hujan yang tidak menentu ketika ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Nor Hisham

Katanya, antara lokasi cerun kritikal yang dipantau rapi termasuklah 18 kawasan di Perak, 15 kawasan di Selangor serta 12 kawasan di Negeri Sembilan.

“Negeri-negeri lain yang berada dalam pemantauan adalah di Sarawak melibatkan 12 kawasan, Johor (10), Kedah (6), Melaka (2) dan satu kawasan di Perlis.

“Di Pantai Timur pula, pihak bomba memantau enam lokasi di Pahang, tujuh di Terengganu dan 10 lokasi di Kelantan,” katanya.

Nor Hisham menambah, pihaknya juga giat bekerjasama rapat dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk memastikan jentera digerakkan jika berlaku kejadian tanah runtuh di lokasi-lokasi lain.

“Kami akan mengikut prosedur biasa menggunakan tenaga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri dan menggerakkan dron untuk memeriksa jika ada sebarang runtuhan baharu atau runtuhan tanah susulan.

“Persiapan untuk menghadapi kemungkinan tanah runtuh tidak mudah kerana bencana ini bergantung kepada cuaca hujan yang berterusan serta blok air di semua kawasan,” ujarnya.

Untuk rekod katanya, seramai lapan mangsa terkorban akibat kejadian tanah runtuh sepanjang tahun ini masing-masing tiga di Sabah, dua di Perak dan Kedah serta seorang di Pahang.

“Laporan segera kepada pihak berkuasa jika melalui kawasan yang mengalami runtuhan agar tindakan pencegahan dapat diambil lebih awal,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN