PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal cedera ketika melarikan diri sebelum melanggar sebuah kenderaan polis di Kampung Pasir Ampang, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta peronda polis jenis Proton terserempak dengan seorang penunggang motosikal jenis 135LC dalam keadaan mencurigakan.
“Siasatan awal mendapati, suspek telah melarikan diri dalam keadaan berbahaya setelah melihat lampu suar yang dipasang oleh pihak peronda sebagai amaran untuk berhenti.
“Bagaimanapun, polis terus mengekori suspek sejauh lebih kurang 500 meter sebelum penunggang berkenaan bertindak melanggar bahagian sisi depan kereta peronda sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan kepalanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Farouk berkata, lelaki tersebut telah dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan.
“Hasil semakan lanjut, suspek didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod ditangkap,” ujarnya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil untuk memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327. – K! ONLINE