fbpx

Cabaran getir urus Zoo Negara ketika Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

 

PENULARAN pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini telah menyebabkan banyak pihak di negara ini dan seluruh dunia terjejas.

Ia berikutan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac dan kini PKP Pemulihan bagi memutuskan rantaian wabak dalam masyarakat.

Semasa pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac hingga 3 Mei lalu, pergerakan orang ramai terbatas untuk tujuan penting sahaja, manakala aktiviti rentas negeri dan negara dilarang sama sekali.

Bagaimanapun, peraturan itu kemudian dilonggarkan mengikut keperluan semasa berdasarkan jumlah kes terkini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula 4 Mei hingga 9 Jun lalu.
Ketika ini, negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Mei hingga esok yang kemudian dilanjutkan hingga 31 disember depan.
Sepanjang tempoh PKP, banyak sektor ekonomi yang sebelum ini menjana keuntungan besar telah mengalami kerugian antaranya perhotelan, pendidikan, penerbangan dan pelancongan.

Salah satu pihak yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 adalah Zoo Negara yang bergantung sepenuhnya kepada jualan tiket bagi meneruskan operasi.

Sepanjang tempoh hampir tiga bulan, zoo yang diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Zoologikal Malaysia itu terpaksa mencari dana lain bagi memastikan kebajikan haiwan dan pekerja terus terbela.

 

ROSLY sentiasa berusaha bagi memastikan operasi Zoo Negara sentiasa berjalan lancar.

 

Bagaimanapun pada 10 Jun lalu, kerajaan telah membenarkan Zoo Negara dibuka kembali kepada orang ramai.

Apabila dibuka semula, Zoo Negara berhadap cabaran untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Bagi mengulas lanjut mengenai kesan Covid-19 kepada operasi Zoo Negara, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop mewawancara Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana di pejabatnya di Zoo Negara, Ampang, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Sewaktu pelaksanaan PKP, boleh tuan ceritakan mengenai kesukaran yang dihadapi oleh Zoo Negara dalam menguruskan kebajikan haiwan dan pekerja?

ROSLY: Selepas hampir tiga bulan Zoo Negara ditutup kepada kunjungan orang ramai, saya berasa amat bimbang dan cemas sekiranya ia akan berlarutan untuk tempoh lebih lama.

Ketika itu, duit dalam simpanan kami tidak mencukupi untuk menyediakan makanan dan rawatan kesihatan haiwan-haiwan untuk tempoh lebih tiga bulan.

Pada masa masa, kami juga perlu memikirkan mengenai gaji dan kebajikan pekerja-pekerja yang betungkus-lumus menjaga haiwan sepanjang PKP.

Berapakah kos operasi bulanan Zoo Negara termasuk makanan haiwan dan gaji pekerja?

Setiap hari kami memerlukan sekitar RM40,000 dengan jumlah bulanan adalah RM1.2 juta bagi menampung kos makanan, kesihatan dan gaji pekerja.

Buat masa ini, Zoo Negara mempunyai sebanyak 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan dengan jumlah pekerja seramai 140 orang.

Sepanjang tempoh PKP, kami telah mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan kos perbelanjaan bulanan kepada RM1 juta. Kami telah mengurangkan kos yang difikirkan tidak penting seperti penyelenggaraan.

 

ROSLY (kiri) menyampaikan sijil anak angkat Orang Utan Sumatera dan Harimau Malaya kepada pengarah urusan Sime Darby Oils, Mohd. Haris Mohd. Arshad.

 

Apakah langkah diambil oleh pihak tuan dalam mengatasi masalah yang dihadapi ketika itu?

Saya telah mengambil langkah drastik dengan memohon sumbangan daripada orang ramai dan syarikat korporat yang berminat untuk membantu.

Saya juga meminta media-media tempatan membuat hebahan di dalam televisyen, radio dan akhbar bahawa dana Zoo Negara kian tenat disebabkan ketiadaan pengunjung.

Pada masa sama, saya juga ada menghebahkan dalam laman web dan media sosial rasmi Zoo Negara bagi membolehkan mereka yang berada di luar negara turut sama membantu.

Berapakah sumbangan yang diterima oleh pihak tuan sepanjang tiga bulan tempoh PKP?

Jumlah kutipan yang diperoleh sangat luar biasa. Kami menjangkakan jumlahnya adalah sekitar ratusan ribu ringgit sahaja. Sebaliknya, jumlah yang berjaya dikutip oleh kami sepanjang tiga bulan adalah RM8 juta.

Sumbangan banyak diperoleh daripada individu sama ada daripada dalam mahu pun seberang laut seperti Amerika Syarikat dan Britain. Jumlah diterima pula bermula daripada 20 sen yang diberikan oleh pelajar sekolah sehingga ratusan ringgit daripada syarikat korporat.

Saya juga ingin berterima kasih kepada individu dan syarikat-syarikat yang sudi menghantar sumbangan dalam bentuk makanan seperti sayur, buah, ikan, daging, ayam dan roti kepada haiwan-haiwan ketika tempoh PKP.

Apakah bentuk sumbangan lain yang boleh diberikan individu atau syarikat korporat kepada Zoo Negara?

Salah satu sumbangan yang boleh diberikan adalah melalui program anak angkat. Menerusi program ini, syarikat-syarikat besar boleh menaja kos makanan dan rawatan haiwan kami untuk tempoh tertentu.

Program ini sudah ada di Zoo Negara, namun selepas penularan pandemik Covid-19, ia semakin popular. Kebanyakan haiwan yang dijadikan anak angkat di sini terdiri daripada spesies terancam seperti harimau, gajah, panda dan singa.

Misalnya, Foodpanda Sdn. Bhd. menaja RM200,000 untuk panda gergasi, 99 Speed Mart Sdn. Bhd. (RM123,084) untuk dua badak air; Sime Darby Oils Sdn. Bhd. (RM65,000) untuk dua Orang Utan Sumatera dan Harimau Malaya. OCBC Al-Amin Bank Berhad pula menaja RM40,000 bagi Tapir Malaya.

Selepas dibuka kembali pada 10 Jun lalu, bagaimanakah trend kehadiran pengunjung ke Zoo Negara?

Selepas kembali dibuka, kami menjangkakan Zoo Negara akan mengambil masa selama enam bulan untuk kembali pulih seperti biasa. Jangkaan itu ternyata meleset apabila pada hari pertama dibuka kami mendapat jumlah pengunjung yang ramai sehingga mencecah 3,000 orang.

Bagaimanapun, selepas sekolah kembali dibuka kehadiran pengunjung menampakkan sedikit penurunan dengan jumlah kunjungan adalah 300 orang pada hari bekerja dan 2,000 ketika hujung minggu.

Jumlah tersebut masih dianggap tinggi dan saya mengharapkan akan berterusan sehingga berakhirnya tempoh moritorium akhir September ini.

Selepas dibuka kembali, apakah cabaran yang dihadapi oleh pihak Zoo Negara?

Disebabkan jumlah pengunjung terlalu ramai, kakitangan kami tidak mampu untuk mengawal dan memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Apabila ada kakitangan kami yang cuba menegur, ada segelintir pengunjung naik berang kerana terpaksa beratur lama di luar untuk masuk.

Beberapa video dan gambar yang memaparkan ketidakpatuhan pengunjung di Zoo Negara telah tular dalam media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberi amaran untuk menutup semula Zoo Negara dan ia sangat membimbangkan saya kerana akan menjejaskan pendapatan.

Apakah langkah yang diambil oleh Zoo Negara dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan?

Saya ingin berterima kasih kepada Majlis Tindakan Negara (MKN) yang sangat prihatin dengan kesukaran dihadapi oleh kami di sini.

MKN telah menempatkan seramai 20 orang anggota keselamatan yang terdiri daripada polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. Dengan adanya anggota keselamatan, pengunjung dilihat lebih patuh kepada SOP kerana dibimbangi dikenakan tindakan.

Apakah langkah diambil bagi memastikan tidak ada haiwan di Zoo Negara terkena jangkitan Covid-19?

Kami telah meminimumkan pergerakan penjaga zoo ke kandang serta waktu bekerja mereka dihadkan hanya empat jam sehari. Dengan ini, kebolehjangkitan pekerja kepada haiwan dapat dikurangkan, selain meminta mereka mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan membasuh tangan sebelum menyentuh haiwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI