fbpx
Rani menunjukkan bangkai seekor penyu agar yang ditemui di pantai Pulau Kapas di sini baru-baru ini.

Pukat pari ancam populasi penyu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Populasi penyu di negeri ini semakin terancam ekoran tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah nelayan menggunakan pukat pari untuk menangkap ikan yang turut memerangkap spesies tersebut.

Lebih mengejutkan, siasatan pihak berkuasa mendapati sebanyak 39 ekor penyu yang kebanyakkannya daripada spesies agar ditemui mati di perairan Terengganu sejak awal tahun ini akibat menjadi mangsa pukat tersebut.

Konservasi Penyu Marang (KPM) mendakwa ancaman terbesar reptilia itu bukanlah haiwan pemangsa atau sisa plastik tetapi kerakusan nelayan sendiri.

Pengasas KPM, Rani Awang mendakwa, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kebanyakan penyu mati disebabkan penggunaan pukat pari oleh nelayan.

“Lebih menyedihkan, kami percaya penggunaan pukat pari itu bukan sahaja dilakukan nelayan asing, malah orang tempatan sendiri.

“Tahun ini sahaja, sudah lapan ekor bangkai penyu agar dan karah ditemui terdampar di ­per­airan Pulau Kapas dan Pantai Rhu Muda di sini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bangkai penyu yang diikat dengan batu selepas terperangkap dalam pukat pari nelayan di Pulau Kapas.

Tambahnya, berdasarkan keadaan bangkai penyu-penyu yang ditemui, KPM percaya haiwan reptilia itu mati di­sebabkan terperangkap di dalam pukat pari yang digunakan nelayan.

Aktivis pemuliharaan penyu sejak lebih 25 tahun itu berkata, pukat tersebut diharamkan penggunaannya di negara ini ke­rana akan mengaut hasil laut secara rakus sehingga menjejaskan ekosistemnya.

“Penyu merupakan haiwan yang mempunyai paru-paru dan perlu naik ke permukaan laut secara berkala untuk bernafas.

“Oleh itu, penyu yang terpe­rangkap di dalam pukat pari akan mati ekoran tidak dapat bernafas ikut kelaziman,” katanya.

Rani mendakwa, biasanya nelayan terlibat akan bertindak kejam mengikat bangkai penyu yang mati terperangkap di dalam pukat pari dengan batu.

Beliau mendakwa, ia bertujuan sebagai pemberat agar bangkai penyu terbabit dapat ditenggelamkan ke dasar laut bagi menyembunyikan perbuatan jenayah mereka.

“Biasanya bangkai penyu ini terpisah daripada ikatan batu itu apabila sudah mereput setelah beberapa bulan sebelum timbul dan terdampar di kawasan pantai berhampiran.

“Sehubungan itu, saya kecam sikap tamak nelayan terlibat yang masih tega menggunakan pukat pari,” katanya.

Rani juga menggesa pihak berkuasa terutama Jabatan Perikanan meningkatkan penguatkuasaan bagi memantau aktiviti terbabit.

“Apalah gunanya undang-undang tanpa pemantauan dan penguatkuasaan. Jangan sampai tiada lagi penyu mendarat di Terengganu nanti, baru kita hendak menggelabah kerana tiada lagi tarikan pelancong,” katanya.

Pinda enakmen untuk hukuman lebih berat kepada pesalah

KUALA TERENGGANU – Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) akan dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pihak yang menyebabkan kematian ­penyu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengambil mudah kes kematian penyu yang sentiasa ada saban tahun.

Beliau berkata, ‘pembunuh’ penyu termasuk nelayan yang menggunakan pukat pari perlu dikenakan hukuman lebih berat bagi memberi pengajaran kepada yang lain.

“Saya akui hukuman berbentuk denda dalam enakmen sedia ada yang kali terakhir dipinda pada tahun 1980-an terlalu ringan sehingga dipandang mudah ramai pihak.

“Sehubungan itu, kita akan meminda hukuman sesuai de­ngan peredaran zaman selain melambangkan keseriusan kerajaan negeri mengekang kepupusan penyu,” katanya kepada ­Kosmo!.

Seekor penyu yang terperangkap di dalam pukat pari di perairan Terengganu.

Azman berkata, pindaan enakmen terbabit bakal dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu tidak lama lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pindaan enakmen berkenaan turut akan mengharamkan penjualan telur penyu sepenuhnya.

“Sebelum ini Terengganu hanya mengharamkan penjualan telur penyu belimbing yang sebenarnya sudah lama tidak mendarat di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN