LAMBAKAN al-Quran lama dan kitab-kitab yang telah uzur dimamah usia di Surau Diniatul Islamiah, Taman Desa Tasik Sungai Besi, Kuala Lumpur mendorong Idzhar Ibrahim, 39, selaku imam di situ mengadakan perbincangan bersama ahli jemaah bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Kebanyakan al-Quran serta kitab-kitab itu telah berada di surau tersebut sejak ia dibina pada tahun 1990 dan saban hari jumlahnya semakin meningkat sehingga memerlukan ruang yang banyak untuk menyimpannya.
Sehubungan itu, ahli jemaah surau mencadangkan agar al-Quran dan kitab-kitab itu dilupuskan dengan bantuan syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan tersebut kerana mereka lebih arif mengendalikannya dengan tata cara betul bagi menjaga kesucian al-Quran.
“Kami bagaimanapun agak terkejut sebut harga yang diberikan sangat mahal dan di luar jangkaan lantas cuba mencari alternatif dengan melayari laman web rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelupusan al-Quran.
“Alangkah gembiranya apabila terbaca mengenai Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam di bawah seliaan Bahagian Penyelidikan Jawi yang tidak mengenakan sebarang caj untuk perkhidmatan itu, lantas tanpa membuang masa kami terus membuat pertanyaan serta tempahan temu janji penghantaran al-Quran usang,” cerita anak kelahiran Sungai Besi itu.

Ketika temu janji pertama itu, pihak Surau Diniatul Islamiah telah menghantar 100 kilogram (kg) al-Quran lama yang rosak dan dimamah anai-anai untuk dilupuskan oleh pusat tersebut.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jawi dan Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam yang menyediakan perkhidmatan ini kerana ia sangat membantu masyarakat dalam menyelesaikan dilema melupus al-Quran kerana tidak cukup pengetahuan, tiada lokasi bersesuaian untuk melupuskan, kekangan masa serta kos terlalu mahal,” katanya.
Darul Kalam yang dibina pada tahun 2014 itu merupakan kompleks pusat pelupusan al-Quran yang dibangunkan oleh Jawi bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Terletak di kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Kuala Lumpur, pusat tersebut dibina bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah untuk umat Islam di Wilayah Persekutuan.

Menurut Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail, objektif utama penubuhannya adalah untuk menangani isu dan masalah bagi melupuskan teks atau bahan mengandungi ayat al-Quran yang rosak, tersalah cetak, dicemari kotoran, terkoyak dan ditenggelami air banjir.
“Pusat pelupusan teks atau bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran ini diberi nama Darul Kalam dan ia menjalankan pelupusan tersebut mengikut kaedah yang betul demi menjaga kesucian al-Quran serta kemaslahatan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Idea untuk menubuhkan pusat ini juga disebabkan oleh lambakan al-Quran lama dan rosak di masjid, surau atau di rumah, tiada maklumat tempat pelupusan al-Quran, kadar bayaran pelupusan yang tinggi oleh syarikat swasta dan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kaedah melupusnya dengan betul,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga menerima aduan terdapat pembuangan teks atau bahan al-Quran dengan cara salah seperti di tempat pembuangan sampah, tasik dan dalam semak yang mana jelas tidak menghormati kesucian al-Quran.
Sementara itu, Ustazah Raudzah Hamid yang bertindak sebagai penyelia pusat tersebut memberitahu, setakat ini tempat itu hanya menawarkan perkhidmatan pelupusan naskhah al-Quran (kertas) sahaja.
“Kami membuat kerja pelupusan sekitar 100 hingga 150kg sehari dengan anggaran purata sebulan sebanyak 2,000kg naskhah al-Quran.
“Pelupusan teks al-Quran itu perlu melalui beberapa proses iaitu timbang, asing, rincih, bakar dan tanam di telaga simpanan khas,” tuturnya.
Proses pelupusan al-Quran di situ adalah berasas kaedah tanam kekal dengan ia dibakar menerusi relau (mesin pembakar) sebelum abu-abu itu dialirkan ke telaga yang menyimpan abu al-Quran di pusat tersebut.
Relau pelupusan di Darul Kalam ini berbeza dengan pelupusan al-Quran di pusat pelupusan lain sehingga melayakkannya memenangi Johan Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri kategori bukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi pada tahun 2019.
Terang Raudzah, Jawi menerima banyak permohonan pelupusan daripada jabatan kerajaan, syarikat percetakan, syarikat swasta, masjid, sekolah, masyarakat awam dan lain-lain agensi di dalam dan luar Wilayah Persekutuan.

Namun, memandangkan kemampuan relau pelupusan terhad, pusat itu hanya menerima permohonan daripada individu, agensi atau institusi yang tinggal dan berada di Wilayah Persekutuan sahaja.
“Penerimaan naskhah al-Quran tersebut perlu dilakukan secara berjadual dan janji temu kerana ruang penyimpanan pelupusan yang terhad.
“Permohonan pelupusan hendaklah secara bersurat atau e-mel kepada Pengarah Jawi dan kemudian pihak kami akan aturkan tarikh serta masa penghantaran,” ulasnya.
Perkhidmatan tersebut buat masa ini diberikan secara percuma, tetapi bagi menampung kos pengurusan dan operasi, pihak Jawi bercadang mengenakan caj yang rendah iaitu sekitar RM1 sehingga RM6 mengikut kategori permohonan bagi sekilogram.

Dalam pada itu, salah seorang pekerja di pusat tersebut Muhammad Faiz Muhamad Asri, 25, memberitahu, membuat kerja-kerja pelupusan al-Quran bukanlah satu tugas mudah kerana memerlukan kesabaran.
“Antara cabaran yang kami hadapi ialah suhu pembakaran yang panas, berhabuk, perlu menjemur al-Quran yang basah kerana ditenggelami banjir agar ia benar-benar kering supaya mudah untuk dibakar dan memastikan setiap cebisan kecil al-Quran tidak terkecuali melalui proses pelupusan.
“Tidak kurang juga ada yang menghantar buku-buku agama bercampur ayat-ayat al-Quran sehingga kami perlu membuat pengasingan untuk setiap helaian muka surat itu bagi memastikan teks tertulis al-Quran sahaja dibakar,” katanya.
Tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan Islam, Kolej Universiti Islam Melaka itu, dia berasa puas kerana dapat menyumbangkan tenaga kepada masyarakat dan agama dengan menjaga kemuliaan al-Quran itu apabila ia dilupus dengan cara yang betul.
“Saya tidak rasa bosan bekerja di sini walaupun tidak gah seperti pekerjaan lain yang dilakukan rakan sebaya kerana tujuan utama adalah untuk melakukan amal jariah.
“Saya juga melihat kesedaran masyarakat semakin meningkat dalam menjaga kesucian al-Quran,” ceritanya.














