fbpx
ASNA NABIHAH berkata pakaian diperbuat daripada fabrik nanas tidak mendatangkan alergi kepada kulit seseorang.

Inovasi benang fabrik daripada daun nanas hasilkan produk kraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT sahaja perkataan nanas, bayangan aneka juadah enak pasti terlintas di fikiran. Sama ada dimakan begitu sahaja mahupun diletakan dalam masakan dan kuih-muih, nanas berjaya membangkitkan selera individu menerusi keunikan rasanya.

Di sebalik populariti yang dikecapi buah tropika itu, sayang sekali, tumbuhan tersebut hanya dilihat sebagai sumber makanan.

Usai buah diambil dan dikopek, kulit, daun serta pokoknya dibuang begitu sahaja.

Melihat nilai yang ada pada tumbuhan tersebut terutamanya pada bahagian daun, ia memberi ilham buat seorang gadis, Asna Nabihah Aziz, 30, untuk menerokai tumbuhan tersebut seterusnya menghasilkan produk kraf tangan.

Hampir tidak percaya apabila melihat variasi produk menarik yang dihasilkan anak kelahiran Pontian, Johor ini.

Siapa sangka sisa tumbuhan yang lazimnya dibuang itu mampu menghasilkan barangan cantik dan menarik seperti rantai kunci, buku dan bingkai gambar.

Lebih menakjubkan bukan sahaja produk kraf tangan, Asna Nabihah yang hanya bermula dengan penanda buku yang diletakkan benang daripada nanas pada tahun 2007 turut berjaya menghasilkan tekstil dan selendang daripada daun nanas.

ANTARA produk yang terhasil daripada daun nanas.

Biarpun masih muda, namun dia berjaya menghasilkan lebih 20 jenis kraf di bawah jenama Palmy pada tahun 2018, selain memenangi pelbagai pengiktirafan iaitu Anugerah Emas Industri Petani (2019), Anugerah Perak Hari Inovasi (2019), Anugerah Kecemerlangan Pop Up Asia (2019) dan banyak lagi.

“Seperti yang diketahui umum, Johor merupakan pengeluar nanas terbesar di Malaysia.

“Jadi, saya mahu orang yang datang ke sini mampu mendapatkan cenderamata berasaskan nanas selain daripada makanan berasaskan buah ini sendiri,” katanya membuka bicara.

Mendapat inspirasi menghasilkan barangan kraf tangan daripada kedai-kedai kraf tangan, laman sosial dan pembuat kraf dari dalam dan luar negara, graduan kelulusan Kejuruteraan Perniagaan dari UniKL ini telah berkecimpung dalam industri tersebut sejak berusia 17 tahun lagi.

“Ketika kecil, ibu dan ayah sering membawa saya bercuti. Ketika dewasa pula, saya berpeluang untuk bercuti bersama rakan-rakan dan pada waktu itulah saya menyedari kraf tangan yang dijadikan cederamata sudah banyak berubah.

“Jika dahulu, kebanyakan kraf tangan dihasilkan sendiri oleh orang tempatan, tetapi kini kebanyakannya datang dari negara luar seperti China, Indonesia dan Thailand.

“Saya lihat kraf tangan mereka hampir serupa, cuma yang membezakannya ialah namanya ditukar kepada Malaysia, negeri-negeri mahupun daerah-daerah di sini,” katanya.

Melihatkan situasi tersebut, Asna Nabihah terpanggil untuk mewujudkan produk buatan Malaysia dari bahan mentah sehinggalah ke cetakan di negara ini.

DAUN akan melalui proses pengeringan sebelum dihantar kepada tukang tenun untuk menghasilkan fabrik.

Bermula dengan mengikuti kelas di Kraftangan Malaysia cawangan Johor Bahru sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia kemudian mula membuat demonstrasi di Petrosains Johor Bahru dan di kampung-kampung.

Bercerita lanjut, menurut Asna Nabihah lagi, produk pertama yang berjaya dihasilkannya ialah benang nanas menggunakan daun yang mana ia memerlukan kajian selama tujuh tahun.

“Proses ini memakan masa yang agak panjang kerana saya hanya berkesempatan melakukan kajian sewaktu cuti semester ketika mengikuti pengajian diploma dan ijazah sarjana muda. Bagaimanapun, hasilnya ternyata berbaloi dengan apa yang diperoleh sekarang.

“Pertama kali bermain dengan pokok tersebut, saya baru berusia 17 tahun dan masih muda ketika itu. Jadi, pada waktu itu, saya sering merungut apabila perlu menjalani proses yang panjang dan sukar seperti menyiat daun nanas, membuang duri sehingga tangan luka serta melecet.

“Tetapi disebabkan saya sudah mengikat kontrak belajar dengan kraf tangan, saya gagahi juga sehingga ia dapat disempurnakan,” katanya.

Setiap bulan, Asna Nabihah menggunakan satu hingga lima tan daun nanas yang diperoleh dari ladang-ladang nanas berdekatan, selain yang berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia untuk menghasilkan produk.

Sebelum produk-produk tersebut dihasilkan, gadis ini perlu mengekstrak daun untuk dijadikan benang fabrik. Tidak semudah yang dilihat, Asna Nabihah mengambil masa selama tiga bulan untuk menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan tersebut.

ASNA NABIHAH banyak melakukan eksperimen ke atas daun-daun nanas.

Walaupun keseluruhan proses untuk menghasilkan produk tersebut sedikit sukar memandangkan benang mudah putus, namun gadis ini puas apabila melihat hasil kraf tangan yang dihasilkan.

“Sebelum fabrik nanas dihasilkan, daun tersebut akan diracik terlebih dahulu secara manual bagi membuang klorofil dan hanya serat benang yang diambil. Ia kemudian dikeringkan sebelum dihantar kepada penenun untuk ditenun.

“Selalunya 100 kilogram sisa pertanian daun nanas boleh menghasilkan sekilogram benang dan daripada jumlah itu, ia dapat menghasilkan 10 meter kain.

“Bagi mengekalkan keaslian fabrik, saya hanya menggunakan warna semula jadi daripada kayu bakau atau warna benang nanas iaitu warna putih gading,” katanya.

Ceritanya lagi, selain dijual secara ela untuk dijadikan sebagai baju kemeja, baju kurung dan pakaian pengantin oleh para pelanggannya, fabrik yang dihasilkan daripada daun nanas itu juga digunakan Asna Nabihah untuk menghasilkan pelbagai produk lain seperti hiasan dinding, beg duit, beg syiling dan tas tangan.

Lebih menarik, gadis ini juga mampu menghasilkan selendang.

Begitupun, jika mahu dijadikan sebagai selendang, benang tersebut perlu ditenun secara selang-seli bersama benang kapas bagi menghasilkan hasil yang lebih halus.

Diperbuat 100 peratus daripada bahan organik, selendang yang dihasilkannya dijual antara RM200 hingga RM500 sehelai.

Selain memenuhi pasaran tempatan, produk yang dihasilkan Asna Nabihah juga bakal dijual di pasaran dalam talian antarabangsa seperti di etsy, amazon dan ebay.

Bercerita lanjut mengenai fabrik daripada daun nanas, menurutnya, tumbuhan tersebut mempunyai kelebihan tersendiri kerana benangnya bersifat natural tanpa bahan kimia.

Lantaran itu, produk yang dihasilkannya selamat digunakan untuk mereka yang menghidap ekzema memandangkan sifat kain tersebut yang mempunyai pengudaraan yang bagus untuk kulit seseorang.

Bersyukur kerana banyak mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, Asna Nabihah merancang untuk membuka franchise bagi produk-produk eko, selain membuka sebuah galeri di Kuala Lumpur pada satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN