KEUNIKAN seni bina lama di negara ini cukup memukau pandangan hinggakan pengkaji dari Barat pun datang untuk meneliti keutuhan dan keunikannya yang tersendiri.
Itulah antara kelebihan balai Undang Lenggeng yang masih utuh tak lapuk ditelan zaman. Terletak di Kampung Pantai, ia turut dikenali sebagai rumah gadang yang berfungsi sebagai tempat tinggal, dewan mesyuarat keluarga dan aktiviti upacara adat.
Balai Undang itu dibina dengan kayu merbau dan cengal yang diambil dari Gunung Berembun sebelum ditarik keluar ke Kampung Pantai menggunakan kerbau dan gajah pernah digunakan sebagai balai Undang Yang Teramat Mulia (YTM) Datuk Klana Putra Bahi iaitu Undang Sungai Ujong Ketiga.
Ia dibina bercirikan rumah tradisi Melayu Negeri Sembilan.
—————————————————————————————————————————————-
PERJALANAN penulis dari pekan Lenggeng menuju ke Seremban, Negeri Sembilan menggunakan Jalan Jelebu cukup menenangkan sanubari.
Sepanjang laluan tersebut mata penulis dijamu dengan suasana perkampungan Melayu lama dengan deretan rumah lama, pohon hijau serta kawasan berbukit-bukau.
Ketika melalui Kampung Pantai, mata penulis tertarik dengan kewujudan sebuah rumah kayu bersaiz lebih besar berbanding kediaman-kediaman lain di sekelilingnya.
Selepas diselidiki, penulis terkejut apabila mengetahui rumah kayu berona gelap kehitaman itu mempunyai nilai sejarah yang sangat besar kepada Negeri Sembilan.
Malangnya, nilai warisannya tidak diketahui ramai termasuk masyarakat setempat terutama dalam kalangan generasi muda kerana kurang diketengahkan.
Hakikatnya, seni bina balai Undang tersebut tersemat rapi dalam naskhah Pusat Kajian Melayu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Malah, ia sering menjadi lokasi para pengkaji tempatan dan luar negara termasuk dari Belanda untuk mengkaji keunikan seni binanya.
Menurut pemilik rumah berkenaan ketika ini, Datuk Lela Bangsa, Abdul Razin Abdul Aziz, rumah itu pernah dijadikan balai Undang yang didiami oleh beberapa pembesar Sungai Ujong.
“Sebenarnya, ramai tidak tahu bahawa rumah ini berfungsi sebagai balai Undang yang menyimpan banyak sejarah khususnya buat penduduk Kampung Pantai dan masyarakat Negeri Sembilan.
“Monumen ini turut dikenali sebagai rumah gadang yang berfungsi sebagai tempat tinggal, dewan mesyuarat keluarga dan aktiviti upacara adat,” katanya ketika ditemu bual Panorama baru-baru ini.

Menurut sejarah, tapak berkenaan pernah digunakan sebagai balai Undang Yang Teramat Mulia (YTM) Datuk Klana Putra Bahi iaitu Undang Sungai Ujong Ketiga.
Pada tahun 1841, binaan rumah tersebut telah didirikan sebelum dijadikan balai Undang YTM Datuk Klana Putra Mohd. Yusof iaitu Undang Sungai Ujong Ketujuh. Menjelang tahun 1881, rumah itu diperbesar selepas fungsi Undang bertambah serta dijadikan kediaman rasmi Datuk Klana Petra dan Kompleks Kerajaan Luak Sungai Ujong.
Abdul Razin menjelaskan, balai Undang itu turut digunakan oleh Undang Sungai Ujong Kelapan, YTM Datuk Klana Petra Maamor sehingga tahun 1910.
“Rumah ini berfungsi sebagai balai Undang dan kediaman rasmi sehingga tahun 1910 sebelum kerajaan negeri membina kediaman rasmi Undang di Ampangan.
“Ini merupakan satu-satu balai undang lama yang masih kekal utuh dan terus mengekalkan ciri-cirinya sehingga ke hari ini,” jelas lelaki berusia 63 tahun itu.
Abdul Razin yang merupakan cucu kepada Petra Maamor berkata, balai Undang itu bukan sahaja menjadi kediaman pemerintah, malah sebagai pusat politik, ekonomi dan peperangan.
Beliau menambah, salah satu ciri unik pada balai Undang tersebut adalah tiga pucuk meriam tembaga yang digunakan dalam upacara adat istiadat masyarakat tempatan.
“Sebenarnya meriam ini ada lima beradik, namun dua lagi telah dipindahkan ke Balai Undang Batu 9, Pantai. Meriam ini mempunyai nilai warisan yang ukup besar.
“Zaman dahulu, meriam tembaga ini digunakan bagi pengumuman hari-hari penting kepada masyarakat seperti ketibaan Ramadan serta sambutan hari raya” terangnya.
Ketika ini, balai Undang itu berfungsi sebagai Telapak Waris Klana di-Hilir Luak Sungai Ujong yang diketuai Lembaga Waris Datuk Maharaja Lela Abdul Mukti Abdul Aziz.
Menurut Abdul Razin, dia sudah bersedia untuk menerima kedatangan pelawat ke balai Undang tersebut sebagai usaha untuk mengetengahkan warisan lama kepada generasi muda. Justeru kini, rumah itu menjadi tarikan terbaharu di Lenggeng yang boleh dikunjungi orang ramai.

Jelas Abdul Razin, sebelum ini rumah berkenaan tidak menerima sebarang kedatangan pelawat memandangkan rumah ini didiami oleh keluarga serta seorang kakaknya.
Sementara itu, seorang pengkaji sejarah, Negeri Sembilan, Dr. Faridzwan Abd. Ghafar berkata, balai Undang berkenaan dibina bercirikan rumah tradisi Melayu Negeri Sembilan.
Katanya, monumen itu dengan bumbung panjang yang sedikit melentik pada hujungnya dengan lantai bertingkat berbeza dengan ciri binaan Minangkabau.
“Rumah berukuran 22 meter panjang, manakala panjang dari depan hingga ke belakang adalah 25 meter dan berketinggian lapan meter. Ia dibina tanpa paku sebaliknya hanya menggunakan sistem pasak dan tanggam. Bumbungnya ada lentik sedikit dan tidak terlalu ketara seperti Minangkabau. Ia juga banyak ukiran awan larat dan ukiran motif tumbuh tumbuhan. Ukiran ini banyak digunakan dalam seni ukir Melayu tradisional. Panel dinding kayu diukir dan berbentuk cembung menandakan itu adalah balai Undang,” tegasnya.
Uniknya, ia dibina oleh dua orang tukang kayu hebat dari Kelantan dan Negeri Sembilan dengan menggunakan lukisan lakaran di atas tanah sahaja.

Balai Undang itu dibina dengan kayu merbau dan cengal yang diambil dari Gunung Berembun sebelum ditarik keluar ke Kampung Pantai menggunakan kerbau dan gajah.
Kayu-kayu tersebut kemudian dibelah menggunakan kapak sebelum dijemur sehingga masak bagi membolehkannya tahan daripada panas dan hujan sehingga kini.
Tambahnya, pada zaman dahulu, hanya balai Undang dan istana dibenarkan mempunyai ukiran awan larat dan dinding cembung sebagai perbezaan dengan rumah orang biasa.
Balai Undang tersebut dibahagikan kepada serambi hujung, serambi tengah, serambi pangkal, ruang rumah ibu, bilik tidur utama, bilik tidur tetamu, ruang tengah, bilik dapur, dapur basah dan bilik air.
Serambi hujung bagi kegunaan Undang Luak dan Lembaga Waris dan Lembaga Tiang Balai Undang, manakala serambi pangkal untuk Buapak dan orang kenamaan jemputan.
“Bagi serambi tengah, ia biasanya digunakan oleh Datuk-Datuk Lembaga Tiga Persukuan Pantai, Lembaga Persukuan Lenggeng dan Setul (Nilai) serta para ulama. Ruang rumah ibu untuk ibu soko iaitu Waris Kelana Putra dan Tok Puan. Ruang rumah tengah untuk kegunaan peribadi keluarga Undang dan lebih kepada santai.

“Rumah ini ada ruang pameran yang menyimpan barang peribadi selain berfungsi sebagai menara tinjau untuk Undang melihat kelibat orang keluar masuk,” katanya.
Antara peristiwa bersejarah yang berlaku di situ termasuk Undang menerima sistem Residen British dan persetujuan masuk ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Begitu juga persetujuan Undang Sungai Ujong membentuk pemerintahan moden serta persetujuan melantik dan menabal Tuanku Muhammad sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan.














