GURUN – Jenazah warga emas, Sarah Jon,70, yang maut dipercayai akibat dikelar anak sendiri dalam kejadian di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Badak di sini hari ini.
Turut dikebumikan di tanah perkuburan sama ialah anak lelakinya berusia 31 tahun yang maut digilis lori tangki kira-kira sejam selepas kejadian kelar tersebut.
Proses pengebumian selesai kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Terdahulu, jenazah dua beranak itu dimandi dan dikafankan selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Jenazah dua beranak itu kemudian dibawa ke Masjid Pekan Gurun kira-kira pukul 4.15 petang untuk disembahyangkan.
Sementara itu, anak kedua mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dan kakaknya reda dengan ketentuan Ilahi apabila kehilangan dua ahli keluarga serentak.
“Kami berharap kejadian yang menimpa keluarga kami ini tidak lagi diperbesar-besarkan sebagai menjaga sensitiviti semua pihak.
“Jika terdapat gambar atau apa sahaja berkaitan kes ini kami berharap ia tidak lagi disebarkan,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan petang ini.
Kosmo! hari ini melaporkan kejadian tragis seorang anak dipercayai bertindak mengelar leher ibunya sendiri dalam kejadian di rumah mangsa di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang di sini.
Tragedi berdarah itu tidak berakhir di situ sahaja, apabila selepas kejadian, suspek pula maut digilis lori tangki dalam kemalangan ngeri, kira-kira satu
kilometer dari rumah mangsa. – K! ONLINE














