BERMACAM cara dan kaedah yang dilakukan oleh para peniaga untuk melariskan jualan lebih-lebih lagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan kerajaan bagi membendung penularan wabak maut itu.
Ini disebabkan jualan mereka mengalami kemerosotan yang teruk ekoran orang ramai tidak boleh merentas negeri dan daerah pada ketika itu.
Antara kaedah yang dilihat berjaya adalah seperti yang dilakukan pemilik perniagaan kereta terpakai, J&B Auto World Sdn. Bhd. (JB Auto World) yang berjumpa ‘sinar’ baharu jualan kereta melalui aplikasi TikTok.
Sehingga hari ini, akaun TikTok JB Auto World telah mencecah lebih 476,200 pengikut dan jualan kereta di syarikat itu turut menunjukkan peningkatan.
——————————————————————————————————————————–
MENGHARUNGI pandemik Covid-19 bukanlah suatu yang mudah, terutamanya bagi golongan peniaga di negara ini. Lebih-lebih lagi melibatkan perniagaan yang memang banyak bergantung kepada pertemuan empat mata dengan pelanggan untuk proses jual beli produk misalnya kereta.
Keadaan tersebut memaksa sesetengah peniaga merintis pelbagai cara untuk memastikan survival bisnes dapat diteruskan.
Semasa pandemik agak teruk melanda negara kira-kira hujung tahun lalu, sebuah syarikat jualan kereta terpakai beroperasi di Seri Manjung, Perak menarik perhatian netizen dengan pendekatan unik mempersembahkan lakonan di media sosial dan video-video yang dirakam pula menjadi tular.
Menerusi penggunaan secara efektif platform media sosial seperti TikTok, J&B Auto World Sdn. Bhd. (JB Auto World) bukan sahaja mampu mendepani cabaran berniaga pada musim Covid-19, bahkan turut menempatkan diri sebagai salah satu perniagaan kereta terpakai terkenal di negara ini.
TikTok sememangnya dilihat sebagai media sosial yang begitu ‘berkuasa’ mutakhir ini, justeru, kesempatan untuk memanfaatkan medium itu suatu yang boleh dianggap keputusan tepat.
Tertarik dengan pendekatan tersebut yang tidak banyak diguna pakai syarikat jualan kenderaan, K2 baru-baru ini telah menemu bual Pengarah Urusan yang juga pengasas syarikat itu, Jack Lee.
Jack berkata, pernah satu ketika perniagaannya terjejas apabila mereka perlu akur terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan tahun lalu.
Beliau mengakui ia merupakan antara cabaran yang terpaksa ditempuhinya kerana pada hari-hari biasa tanpa pelaksanaan PKP, syarikatnya mampu menjual antara 100 hingga 120 unit kereta terpakai sebulan.

Menurutnya, sebagai seorang ahli perniagaan, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan dan suatu alternatif perlu diambil bagi memastikan mereka mampu untuk terus bertahan dan keluar daripada situasi tersebut.
Mujurlah, katanya, syarikat itu mempunyai beberapa medium media sosial seperti TikTok yang akaunnya dibuka pada November 2020.
Bagaimanapun, ujarnya, suatu formula baharu perlu dihasilkannya sebelum memuat naik kandungan ke media sosial berkenaan kerana pelanggan tidak berminat untuk menonton kandungan yang bersifat terlalu ilmiah.
“Pada awalnya, kami tidak mempunyai hala tuju yang jelas, malah kandungan asal dimuat naik pula kurang mendapat sambutan daripada pengguna. Berbekalkan maklum balas tersebut, saya melakukan pelbagai kajian sebelum memutuskan bentuk kandungan bagi akaun tersebut.
“Antara perkara yang saya lakukan sepanjang melakukan kajian tersebut adalah dengan melihat video-video dihasilkan pencipta-pencipta kandungan media sosial yang lain,” katanya.
Pada masa sama, Jack berkata, dia juga menuntut ilmu keusahawanan daripada ahli perniagaan terkenal, Datuk Calvin Khiu.
Akhirnya, formula ataupun disifatkannya Jack sebagai ‘DNA’ yang dicari-cari ditemui dan bermula dari situlah, video-video berbentuk informatif, namun disampaikan dalam bentuk lakonan bersahaja oleh dirinya sendiri serta pekerja syarikat itu mula dimuat naik ke TikTok.
Menurut Jack, sebelum menghasilkan video, beberapa perkara perlu diambil kira olehnya, antaranya keperibadian menarik yang ditampilkan pelakon-pelakonnya.
Jelasnya, dia menggunakan khidmat antara empat hingga lima orang pekerja termasuklah dirinya sendiri sebagai pelakon.
“Visual ialah suatu elemen yang perlu diambil kira, jadi perwatakan menarik para pelakon perlu ditonjolkan menerusi video tersebut. Mereka perlulah berupaya menzahirkan karakter yang lucu, namun pada masa sama berupaya menginspirasikan pembeli menerusi personaliti ditampilkan.
“Ini kerana, pada akhirnya kita mahu menarik orang ramai melakukan urus niaga. Jadi, pelakon dipilih mestilah bertepatan dengan objektif tersebut,” katanya.
Berkat usahanya bersama-sama kakitangan syarikat itu, ujarnya, mereka berjaya meningkatkan jualan dalam tempoh PKP dan dijangka akan terus naik dari semasa ke semasa.

Menurut Jack, penggunaan TikTok disifatkannya sebagai serampang dua mata kerana pada masa sama membantu mengukuhkan jenama syarikatnya itu.
“Tidak dapat dinafikan, ia membantu kami melonjakkan jualan pada musim Covid-19, namun paling penting, kandungan video yang dihasilkan itu juga merupakan satu kaedah penjenamaan syarikat.
“Apabila suatu syarikat itu dikenali oleh orang ramai, disertakan pula dengan kualiti perkhidmatan ditawarkan, hal itu akan menghasilkan satu elemen penting dalam perniagaan iaitu kepercayaan.
“Saya boleh katakan sebanyak 80 peratus pelanggan kami dari seluruh negara membeli kereta terpakai menerusi medium online, manakala 20 peratus lagi datang ke bilik pameran kami bagi tujuan tersebut.
“Kepercayaan orang ramai ataupun pelanggan terhadap jenama kami adalah suatu yang amat penting,” katanya yang mengakui kaedah itu juga telah menjadikan jenama syarikatnya kini semakin dikenali dalam kalangan pengguna.
Dalam pada itu, Jack berkata, seorang peniaga terutamanya yang menjalankan perniagaan serupa dengannya tidak boleh menunggu pelanggan semata-mata.
Sebaliknya, mereka perlu menggunakan segala medium yang ada, bukan hanya bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata.

“Tidak kira online atau tidak, gunakan semua medium. Percayalah, anda pasti akan mendapat hasil yang diingini. Saya percaya pelanggan ada di semua platform media sosial.
“Sebagai contoh, di TikTok, kelompok pelanggan terdiri daripada mereka yang berusia muda. Jadi gunakan kaedah yang tepat bagi menarik golongan tersebut,” katanya.
Paling penting, katanya, adalah mengamalkan sikap jujur dalam berniaga.
Menurut Jack, sekiranya kenderaan yang dijual mempunyai kekurangan, peniaga mempunyai tanggungjawab untuk menceritakannya kepada pelanggan agar mereka faham.
“Aspek ini paling penting kerana akan berbalik semula kepada kita sekiranya menipu. Jangan semata-mata mahu melakukan jualan, kita berbohong kepada pelanggan.
“Kejujuran dalam perniagaan adalah kunci kepada kejayaan, jadi perlu ingat itu sentiasa,” ujarnya.
Jack memaklumkan, sehingga hari ini, akaun TikTok JB Auto World telah mencecah lebih 476,200 pengikut, Instagram (322,000 pengikut) dan saluran YouTube syarikat itu kini adalah melebihi 80,000 pengikut.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Nur Syazwani Muhamad Bakarudin, 23, berkata, kaedah pengiklanan kenderaan terpakai seperti diaplikasikan syarikat tersebut merupakan satu idea yang bagus.
Jelasnya, ini kerana hampir semua orang memiliki telefon pintar yang mempunyai akses kepada media sosial seperti TikTok.
“Saya sendiri akan menonton video dimuat naik. Saya begitu tertarik dengan lakonan serta cara mereka menjual kereta. Cara mereka memang unik,” kata jururawat berkenaan yang membeli Kia Cerato daripada syarikat tersebut menerusi kaedah online sepenuhnya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang peniaga, Hamizi Osman, 52, yang berkata, kaedah pemasaran dilakukan syarikat itu bertepatan dengan masa kini yang mengutamakan teknologi.
“Saya tidak ambil masa yang lama untuk membeli Toyota Hilux. Apabila mendapatkan maklumat secukupnya, saya terus mengunjungi premis mereka bagi melihat sendiri keadaan jentera tersebut,” katanya.















