fbpx

Syuk mengaku pernah curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYUK SAHAR

KUALA LUMPUR – Selepas hampir sebulan mendiamkan diri, penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar akhirnya tampil menjelaskan dakwaan mengatakan pernah berlaku curang terhadap isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshafera.

Menurut Shuk atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 34, dia bukan sengaja mahu mendiamkan diri, sebaliknya ketika kontroversi sebaliknya hangat diperkatakan, dia sedang melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarganya.

“Ketika benda itu (isu curang) berlaku, saya dan isteri serta anak dalam perjalanan pulang ke kampung di Pulau Pinang untuk menyambut hari raya dan disebabkan itu saya ambil keputusan untuk berdiam diri.

“Sepanjang waktu itu, isteri dan saya tak pernah berenggang. Alhamdulillah, hubungan kami baik-baik sahaja. Sebagai seorang lelaki, ketua keluarga dan suami, kita tidak mungkin lari daripada buat kesilapan.

“Saya mengaku yang saya pernah kenal insan terbabit dan isteri pun mengetahui perkara itu. Sebenarnya masalah tersebut sudah lama diselesaikan antara kami,” katanya.

Shuk ditemui pada majlis santai bersama media anjuran Hot FM & Kool FM yang diadakan di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur, malam tadi.

Jelasnya lagi, dia banyak belajar daripada insiden tersebut dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

“Walau bagaimanapun, saya tak tahu apa motif individu terbabit yang menyebarkan perkara itu. Saya sudah pun berbincang dengan isteri dan ambil keputusan untuk tidak mengulas lebih lanjut.

“Apa yang dah berlaku sudah berlalu dan saya nak fokus kepada keluarga serta kerjaya sahaja sekarang ini,” ujarnya.

Pada hujung Julai lalu, nama Shuk menjadi bualan hangat apabila didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita dikenali sebagai Fara Salleh.

Kisah mengenai kecurangannya didedahkan oleh seorang pengguna dalam laman Twitter bersama bukti menerusi beberapa keping foto.

Menurut Shuk, kontroversi mengaitkannya cukup memberi pengajaran. Perkara tersebut diakui memberikan tamparan buat sepanjang bergelar anak seni.

“Biarpun saya seorang pelawak dan selalu dilihat bergurau namun saya juga manusia biasa. Kalau kita terhantuk mesti akan rasa sakit. Isu ini memang buat saya ‘down’ namun saya ambil semua perkara itu daripada sudut positif.

“Saya menjadi lebih menghargai isteri dan keluarga. Saya akan pertahankan keluarga sampai bila-bila. Saya belajar daripada kesilapan dan akan lebih berhati-hati selepas ini dalam berkawan,” jelasnya lagi.

Shuk berkahwin dengan Rossalennah pada 20 Disember 2015 di kediaman keluarga isterinya di Sandakan, Sabah.

Hasil perkahwinan, Shuk dan isteri dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 3, dan Aimy yang kini berusia setahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN