fbpx
BOT yang digunakan suspek untuk membawa dadah ke tengah laut.

Guna Orang Asli seludup dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sikap lurus bendul dan taat setia kepada ketua yang dimiliki sebahagian Orang Asli menyebabkan mereka menjadi sasaran sindiket untuk me­lakukan kegiatan penyeludupan dadah di kawasan maritim negeri Selangor.

Ahli-ahli sindiket dikesan turut merekrut Orang Asli yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, bekerja sebagai nelayan dan juga penganggur untuk menjadi transporter mereka.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Mari­tim Mohd. Rosli Kassim berkata, ahli-ahli sindiket akan berpura-pura mendekati Orang Asli de­ngan menyalurkan bantuan atau sumbangan wang ringgit untuk memikat hati sebelum merekrut mereka dalam diam-diam.

Menurutnya, sindiket terbabit turut menyediakan kelengkapan logistik seperti bot, enjin bot, bahan bakar dan wang pendahuluan sebagai duit poket menyebabkan mereka mudah terpedaya dengan tawaran itu.

“Kebanyakan Orang Asli berpendidikan rendah dan sangat lurus. Ini menyebabkan mereka mudah dipergunakan sindiket.

“Orang Asli secara tradisinya amat setia kepada ketuanya dan mereka akan menyimpan rahsia ‘seketat-ketatnya’.

“Malah, saya sendiri pernah berjumpa dengan Orang Asli dan meminta mereka menyalurkan maklumat (berkaitan kes penyeludupan), namun agar sukar untuk mereka memberitahu sebarang maklumat,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Mohd. Rosli berkata, pengliba­tan segelintir Orang Asli dalam kegiatan itu terbongkar apabila dua beranak termasuk seorang daripada mereka mati selepas bot yang dinaiki bertembung dengan bot APMM Selangor.

Dalam kejadian pukul 11 malam pada 30 Mei lalu di kedudukan 3.4 batu nautika dari barat daya Sungai Kapar Kecil, Klang, APMM turut menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang turut bersengkokol dengan dua beranak terbabit.

Mohd. Rosli berkata, sebelum kejadian itu, APMM telah menjejak dan cuba memintas dua beranak itu, namun gagal apabila mereka memasuki lorong-lorong bakau di sekitar Pelabuhan Klang dan Pulau Ketam.

Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan selepas bot yang dinaiki terlibat kemala­ngan.

“Siasatan terhadap anak pe­rempuan kepada seorang lelaki Orang Asli yang mati itu mendapati, kegiatan penyeludupan dadah telah dilakukan sejak tiga tahun lalu.

“Mereka direkrut oleh sindiket dari Lembah Klang yang datang ke rumahnya di pesisir pantai di sekitar Tanjung Harapan.

“Kerja mereka sangat mudah iaitu cuma menghantar dadah jenis syabu di tengah laut yang telah ditetapkan lokasi perjum­paan dengan transporter dari Indonesia,” ujarnya.

Rosli memberitahu, sindiket akan membayar RM5,000 bagi sekali penghantaran dan suspek yang mati itu pula akan memberikan RM500 kepada anaknya kerana sanggup menemaninya.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan keluar dari jeti yang sah dan meletakkan dadah di bawah jaring seperti ingin keluar menangkap ikan di laut.

“Sindiket menggunakan Orang Asli kerana mereka tidak dicu­rigai oleh pihak berkuasa.

“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat Orang Asli lain turut terlibat kerana kepakaran mereka dalam ilmu laut menjadikan mereka sandaran baharu bagi sindiket penyeludupan dadah,” ujarnya.

 

PATI balik kampung bawa syabu, raih untung berganda

SHAH ALAM – Maritim Malaysia (APMM) Selangor mengesan tindakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ‘mengeksport’ dadah jenis syabu dari Malaysia ketika pulang ke negara asal.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, tindakan itu seolah-olah sebagai serampang dua ma­ta kepada mereka dalam meraih keuntungan berganda.

Menurutnya, selain dapat menampung semula kos bayaran kepada sindiket ketika menyusup keluar dari negara ini secara ha­ram, PATI terbabit mampu meraih pendapatan lumayan hasil jualan barangan terlarang itu di negara asal mereka.

“Syabu amat bernilai di Indonesia kerana harganya mampu mencecah tiga kali ganda berbanding di negara ini.

“Ini ditambah dengan permintaan tinggi negara tersebut. Dadah itu biasanya diselitkan di dalam beg pakaian mereka,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Jelas beliau, pihaknya pernah merampas tiga kilogram syabu daripada PATI dalam kejadian di Pulau Ketam dan Morib dekat sini pada dua tahun lalu.

Katanya, terdapat juga PATI bersengkokol dengan sindiket di negara ini dengan menyorokkan dadah di dalam speaker radio di but kenderaan dalam operasi yang dilakukan APMM bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Tanjung Layang, Kuala Langat pada Jun 2019.

“Jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah sentiasa berevolusi dengan Maritim Malaysia sentiasa mempertingkatkan rondaan serta pencegahan termasuk dalam aktiviti penyusupan masuk dan keluar PATI di negeri ini,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN