KUALA LUMPUR – “Kami bahagia hidup begini. Dapat makan lima kali sehari dan jika bernasib baik, ada hari orang beri wang saku pula.”
Kata-kata itu datang daripada gelandangan yang ditemui di sekitar ibu negara iaitu di Masjid Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Lebuh Pudu, Jalan Chow Kit, Jalan Petaling, Jalan Sri Amar dan Jalan Putra.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kebanyakan gelandangan menjadikan kawasan tumpuan untuk mendapatkan bantuan seperti makanan, pakaian dan kemudahan asas.
Seorang gelandangan yang dikenali sebagai Saiful, 48, berkata, dia langsung tidak sedih atau serik meneruskan kehidupan di jalanan tanpa ahli keluarga.
“Saya seronok, bebas dan ramai kawan. Saya dan rakan-rakan tidak perlu risau tentang makanan kerana memperolehnya secara percuma setiap hari.
“Kami makan lima kali sehari (di jalanan) pemberian pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kadangkala orang ramai beri wang kepada kami. Restoran pula beri rokok,” ceritanya.
Dakwanya, sepanjang hidup di jalanan, dia bersarapan nasi lemak atau mi di Pudu Sentral pada pukul 9 pagi.
Menurut Saiful, dia akan makan tengah hari nasi berlauk ayam atau ikan di Bukit Bintang atau Jalan Barat Pudu.
“Minum petang pada pukul 5.30 petang pula disediakan berhampiran Bangkok Bank dan makan malam pula di hadapan Anjung Singgah,” dakwanya.
Jelasnya, gelandangan tidak risau tentang pakaian kerana banyak pihak memberi baju dan seluar kepada mereka.
“Gelandangan menumpang basuh pakaian di surau atau masjid di sekitar ibu negara,” katanya.
Ketika diminta menceritakan mengenai kisahnya menjadi gelandangan, Saiful mendakwa:
“Saya datang dari Sabah dua tahun lalu untuk cari kerja, tetapi masih belum dapat yang bagus. Walaupun begitu, saya tidak mengemis dan mendapat duit dengan menjual tin kosong,” dakwanya.
Seorang lagi gelandangan, dikenali sebagai Khiang, 58, berkata, dia berasal dari Pulau Pinang dan pernah berniaga pakaian.
Dakwanya, dia jatuh muflis apabila perniagaan itu bankrap menyebabkan dia hilang tempat tinggal dan sumber pendapatan.
“Saya tidak kisah hidup gelandangan dan tidur beralaskan kotak di hentian bas sejak setahun lalu. Kami tidur beramai-ramai takut orang jahat ganggu. Kadangkala ada orang curi beg kami,” dakwanya.
Tambahnya, jika sakit ada NGO membawa doktor memberi rawatan dan ubat kepada gelandangan pada hujung minggu.
Saiful dan Khiang mendakwa mereka menetap di salah sebuah pusat transit gelandangan yang disediakan kerajaan di ibu negara.
Sudar, 50-an, pula berkata, dia bahagia dengan cara hidup sedemikian sejak 10 tahun lalu.
“Saya dibuang keluarga kerana terlibat dengan dadah. Kini saya tidak lagi ambil dadah.
“Isteri saya pun sudah lima tahun meninggal dunia. Jika ada peluang saya ingin tinggal dengan anak tetapi mereka bimbang sebab saya ada rekod dadah,” dakwanya.
Dakwa Sudar, disebabkan itu dia terpaksa hidup sebagai gelandangan dengan tidur beralaskan kotak di kaki lima.
“Saya bekerja di pasar Chow Kit dan duit yang saya dapat digunakan untuk beli keperluan diri dan makanan. Setakat ini saya bahagia hidup begini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi gelandangan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 43, berkata, sebelum ini dia pernah tinggal di asrama pekerja di Pasar Borong Selayang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bila PKP, saya terpaksa kembali ke kaki lima di Jalan Lebuh Pudu kerana rindukan kawan-kawan di sini.
“Saya tiada kawan di sana (Pasar Borang Selayang), semua kawan-kawan tinggal di sini. Kami sudah macam keluarga,” dakwanya.














