MODEL ES dan LS merupakan model pertama yang dilancarkan ketika jenama Lexus diperkenalkan di dunia pada tahun 1989. Sejak itu, ES menjadi model paling laris kerana lebih 2.65 juta unit telah terjual di sekitar 80 buah negara.
Pada tahun 2019, Lexus telah melancarkan model generasi ketujuh dan menjadi penanda aras sebuah sedan segmen D mewah kerana rekaannya lebih menonjol berbanding generasi sebelum ini.
Di Malaysia, model dengan kod XZ10 itu sebelum ini hanya ditawarkan dalam varian Premium dan Luxury sahaja.
Baru-baru ini Lexus Malaysia telah melancarkan model ES250 versi dipertingkatkan bagi tahun 2021 dengan turut memperkenalkan varian F Sport.
Lexus ES250 dengan varian F Sport mempunyai gaya lebih sporty dengan aksesori tambahan yang mencerminkan karakter varian tersebut.
Jika kita bandingkan dengan model ES generasi terdahulu, model 2021 ini 66 milimeter (mm) lebih panjang, 46mm lebih lebar dengan jarak antara roda 51mm lebih panjang dan 5mm lebih rendah.

Penambahbaikan utama yang dilakukan termasuklah menyuntik penampilan lebih segar, selesa serta aspek keselamatan yang dipertingkat.
Kesempurnaan kejuruteraan serta penggayaan yang ada pada Lexus ES250 akan memenuhi selera tinggi sesiapapun. Digabung dengan keterperincian dan kecemerlangan yang berterusan, peningkatan nampak terserlah pada model dikemas kini ini.
Rekaan dengan bayangan gaya sebuah coupe memberikan satu kelebihan kerana imej sporty jelas kelihatan selain tampil lebih segar.
Walaupun rekaan spindle grill masih membawakan imej visual khusus Lexus, elemen yang ada padanya telah diubah dengan semakin kurang palang melintang serta corak L yang memberi penekanan kepada aliran lateral.
Varian F Sport mempunyai corak mesh yang terdiri daripada elemen L bersilang dengan kemasan warna gelap. Belahan pada setiap sudut wajah depan juga mengenakan kemasan mesh hitam tetapi dengan bukaan lebih lebar berbanding dua versi lainnya.
Untuk melengkapi gril depan yang dikemasi kini, lampu utama juga menerima sentuhan baharu dengan menggunakan ultra-compact 3-beam LED projector dan rekaan lampu nyalaan siang baharu (DRL).
Kemasan luaran varian itu turut disertakan spoiler belakang, emblem F Sport dan rim khas bersaiz 19 inci dengan tona warna Dark Premium Metallic.

Penulis dimaklumkan khas untuk varian ini dua warna eksklusif ditawarkan seperti Heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake. Namun, Lexus Malaysia turut menawarkan warna lain Sonic Iridium, Sonic Titanium,
Graphite Black Glass Flake, Sonic Chrome dan Red Mica Crystal Shine sebagai pilihan warna tambahan yang turut boleh didapati pada varian lain.
Lexus ES250 F Sport ini menggunakan enjin 2.5 liter petrol dan transmisi lapan kelajuan automatik. Gabungan itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 204hp pada 6,600rpm dan tork maksimum 247Nm pada 5,000rpm.
Transmisi tersebut menggunakan pengubah tork ultranipis dan klac multiplat terkunci sekali gus memberikan rasa sistem dual klac dengan kelancaran pengubah tork automatik.
Sistem berkaitan yang dikenali sebagai Direct Connected Downshift membolehkan transmisi untuk melangkau gear ketika bukaan besar pendikit dikesan seperti ketika sedang memotong di lebuh raya.
Lexus memberitahu, kereta ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 9.1 saat dan kelajuan maksimum sehingga 210km/j.
Elemen utama pada Lexus ES250 ialah platform Global Architecture-K (GA-K). Lebih daripada sekadar pencapaian kejuruteraan, platform GA-K termasuk casis yang diperbuat daripada beberapa logam teguh pelbagai gred dapat memperkukuh struktur sedia ada.

Platform ini juga memperkaya kriteria prestasi teras untuk memberikan kestabilan pemanduan yang terbaik ketika di jalan lurus, keyakinan ketika di selekoh serta kemampuan membrek yang tidak perlu diragui.
Ruang dalaman dengan kemasan aluminium sama ada dalam balutan Flare Red atau Black hanya dikhaskan untuk varian F Sport. Bahagian kokpitnya dikemas kini dengan paparan multimedia baharu untuk operasi lebih lancar.
Skrin sentuh warna penuh 12.3 inci telah dialih kedudukannya agar 112mm lebih dekat dengan penumpang dan dicondongkan lima darjah ke arah pemandu. Sistem multimedianya termasuklah servis tunjuk arah.
Model baharu ini juga didatangkan dengan sistem generatorionNanoe-X yang memperbaiki kualiti udara dalam kabin selain menjadi model Lexus pertama yang memperkenalkan ciri ini sebagai penawaran standard.
Bagi varian F Sport, ada ciri eksklusif sebagai penekanan watak lebih sporty. Bahkan jam analog dengan pencahayaan pada papan pemuka mempunyai grafik bentuk L yang unik sementara meternya mempunyai gelung logam elektrik boleh alih dengan kesan 3D.
Stereng tiga jejari F Sport balutan kulit, tombol gear yang juga berbalutan kulit serta pedal sport dan perehat kaki aluminium merupakan sebahagian daripada pakej F Sport.
Sebagai tambahan, untuk perlindungan lebih baik daripada ditunda atau dicuri, sistem sekuriti pada Lexus ES250 disertakan sensor khas. Ini akan mengesan sekiranya kenderaan dalam kedudukan condong sewaktu ingin ditunda dan siren dengan bateri dalaman tersendiri akan membunyikan penggera.
Lexus ES 250 F Sport dijual pada harga bermula RM345,134 (harga atas jalan tidak termasuk insurans dan dengan pengecualian SST hingga hujung tahun ini).














