fbpx
JAAFAR terkejut apabila menyaksikan tujuh peserta kursus bermain-main di sebuah kawasan lapang sambil membawa tuala. –ILUSTRASI SHAH HASAN

7 puteri bunian marah tempat bermain diganggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ORANG tua-tua ada cakap, jika kita berada di tepi hutan dan sungai, kena jaga adab dan jangan bercakap besar, berkemungkinan ia juga dihuni makhluk lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Ini yang berlaku kepada sekumpulan remaja perempuan yang dirasuk 7 puteri bunian ketika menyertai satu kem bina semangat di Yan, Kedah.

Puteri bunian yang mendakwa datang dari Gunung Jerai itu marah selepas ada yang tidak menjaga adab seperti mandi-mandi di sungai ketika datang haid dan dikatakan mencemarkan tempat mereka selalu bermain.

—————————————————————————————————————————
SEPERTI malam-malam biasa, Jaafar Man, 62, pemilik Kem Kenari Nature Park di Yan, Kedah mengambil angin dan melihat sekeliling kawasan kem tersebut.

Pada malam itu, kem milik pesara guru berkenaan dihuni kira-kira 80 peserta program motivasi terdiri daripada anak-anak kepada ibu tunggal yang juga merupakan penerima bantuan perniagaan oleh kerajaan.

Para peserta adalah terdiri daripada kalangan remaja perempuan belasan tahun yang ditempatkan di situ sepanjang program berlangsung.

Sebaik sahaja selesai rutinnya itu, Jaafar membuat keputusan untuk pulang, namun langkahnya terhenti apabila melihat tujuh peserta kursus kelihatan gembira bermain di kawasan lapang kem tersebut.

Menurutnya, dia berasa pelik kerana hanya tujuh peserta itu berada di situ bermain sambil membawa tuala dalam satu bulatan kira-kira pukul 9 malam.

“Saya menghampiri kumpulan remaja perempuan tersebut yang masih memakai baju-T kursus, namun wajah mereka berubah menjadi ayu dan sangat cantik,” katanya ketika menceritakan semula kejadian yang berlaku pada Disember 2010.

Katanya, dia kemudian memanggil tenaga pengajar kursus dan bertanya kenapa tujuh remaja terbabit bermain tanpa pengawasan di kawasan lapang tersebut.

Jelasnya, tenaga pengajar bagaimanapun terkejut dan turut terpinga-pinga apabila melihat tujuh remaja tersebut bermain di situ.

Seterusnya, cerita Jaafar, dia cuba berkomunikasi dengan remaja terbabit dan bertanya sama ada mereka mengenalinya atau tidak.

“Salah seorang daripada mereka menjawab kenal dan memberitahu, saya adalah tuan kem ini, lalu saya bertanya kenapa mereka tidak menyertai peserta kursus lain.

“Saya terkejut apabila mereka menjawab mereka bukan peserta kursus, sebaliknya datang dari timur,” ceritanya.

Tahulah dia sekarang, tujuh remaja terbabit kini dirasuk makhluk ghaib.

DI kawasan Sungai Batu Hampar, Yan, Kedah inilah dikatakan tempat puteri-puteri bunian bermandi-manda.

Menurut Jaafar, dia membalas tidak berapa tahu timur sebelah mana, sebelum salah seorang remaja yang berkelakuan seperti kakak sulung tiba-tiba marah.

“Ketika itu baru saya sedar bahawa timur yang dimaksudkan itu ialah Gunung Jerai. Tujuh wanita yang merasuk ke tubuh peserta itu adalah puteri bunian.

“Saya terus berbicara dengan bertanya siapakah mereka sebenarnya, lalu kakak sulung itu menjawab ‘ayahanda dan bonda kami sudah berkerajaan dan bertakhta berjuta tahun di puncak Gunung Jerai,” ujarnya.

Kata Jaafar, dia seterusnya bertanya jika benar mereka puteri bunian apakah nama mereka.

“Lantas yang sulung tadi beritahu namanya Puteri Naruna dan kemudian puteri keempat dan paling bongsu masing-masing memperkenalkan diri sebagai Puteri Sutera Putih dan Puteri Sireh. Empat lagi puteri enggan menjawab,” ceritanya.

Kata Jaafar, dia bertanya lagi mengapa mereka mengganggu peserta kursus dan puteri bunian itu memberitahu, kumpulan remaja itu mengganggu ketenteraman mereka ketika mandi di Sungai Batu Hampar berhampiran.

“Puteri itu beritahu, kumpulan remaja itu mandi di sungai dalam keadaan darah haid dan mengotorkan air di situ, selain itu mereka juga membawa pulang batu sungai.

“Sungai ini (terletak berhampiran kem) sudah menjadi tempat kami bermandi-manda sebelum kami pergi ke laut,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian memohon maaf kepada puteri bunian itu dan berjanji peserta kursus tidak akan mengganggu mereka lagi.

“Saya kemudian memanggil seorang ustaz dan adik saya yang pandai ‘berubat’ untuk mengubati tujuh remaja terbabit.

“Selepas dibacakan ayat-ayat al-Quran, tujuh remaja perempuan itu kembali sedar dan terus pulang ke tempat penginapan kerana berasa terlalu letih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN