TERKENA buatan orang merupakan satu istilah masyarakat dahulu kala melibatkan perbuatan sihir yang ditujukan kepada mangsa yang didengki seseorang.
Dalam dunia moden ini pun masih ada segelintir manusia yang berhati busuk dan sanggup menyusahkan hidup orang lain dengan berjumpa bomoh untuk menyihir orang lain termasuk melalui santau.
Seorang janda kaya melalui perkongsian cerita kolum Pengakuan minggu ini terseksa menghidapi penyakit misteri yang menyebabkan badannya lesu dan lemah, selain perutnya membuncit (membusung) secara tiba-tiba.
Dia terkejut apabila dikhabarkan terkena santau selepas bertemu seorang pengamal perubatan tradisional.
——————————————————————————————————————————————————–
BERGELAR ibu tunggal bukanlah mudah bagi Zai (bukan nama sebenar) kerana dia bukan sahaja perlu menggalas tugas berat untuk membesarkan lima anak setelah kematian suami, tetapi wanita itu juga berhadapan perbuatan jahat manusia.
Zai yang berusia 46 tahun tidak dapat melupakan peristiwa hitam setahun lalu apabila dia tiba-tiba ditimpa penyakit misteri sehingga pihak hospital tidak dapat mengesahkan punca penyakitnya itu.
Ekoran menderita sakit melampau, dia telah cuba mendapatkan rawatan di beberapa tempat termasuk hospital dan juga secara tradisional, tetapi tidak juga menunjukkan tanda sembuh, malah perut semakin membuncit atau membusung.
“Saban hari perut menjadi semakin besar dan saya juga berasa sangat lesu serta tidak ada selera makan sehingga badan menjadi lemah.
“Saya telah mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan di hospital, tetapi mereka sendiri tidak pasti bagaimana perut boleh menjadi sangat besar dan mengandungi cecair,” katanya memulakan bicara.

Jelas Zai, dia mula berasakan perubahan ketara pada dirinya itu selepas menjauhkan diri daripada seorang lelaki berusia lewat 50-an mempunyai dua isteri yang baru dikenalinya.
Pada awalnya Zai tidak menyukai lelaki yang hanya dikenali sebagai Man (bukan nama sebenar) itu, apatah lagi dia masih sayangkan arwah suami sehingga tidak membuka hati untuk berkahwin buat kali kedua walaupun menerima banyak lamaran.
“Sejak kematian suami lima tahun lalu, saya hanya beri keutamaan kepada anak-anak dan tidak pernah terlintas untuk berkahwin lagi.
“Peliknya selepas beberapa ketika, saya mula suka dengan Man walaupun tahu dia sudah beristeri dua,” ujarnya yang merupakan seorang janda kaya.
Perubahan sikap Zai itu disedari anak-anaknya kerana dia seolah-olah tenggelam dalam lamunan cinta sehingga lalai dengan tanggungjawab sebagai ibu dan sering keluar dengan lelaki berkenaan.
Bimbang dengan perkara tersebut, anak-anaknya memaklumkan kepada kakak sulung Zai dan dia telah dibawa berubat dengan pengamal perubatan tradisional.
Dia dimaklumkan telah dipukau oleh Man sehingga sanggup berhabis ribuan ringgit bagi mengikut kehendak lelaki itu.

Lelaki itu dikatakan mahu mengikis harta Zai dan berusaha untuk mengahwini wanita tersebut dengan melakukan pelbagai helah.
Tidak mahu terus dipergunakan, Zai menjauhkan diri daripada Man sehingga membuatkan lelaki itu berang dan dikatakan berjumpa bomoh untuk menyihir janda kaya itu melalui santau.
“Selepas tidak lagi bertemu Man, badan saya berasa lemah dan sangat panas walaupun telah menghidupkan pendingin hawa, manakala perut pula semakin membuncit.
“Saya terpaksa melalui pembedahan untuk membuang cecair di dalam perut,” ujarnya yang kini masih meneruskan rawatan susulan.
Peristiwa hitam itu membuatkan Zai berasa perit dan berhati-hati dengan lelaki.
Dia juga berpesan kepada wanita di luar sana agar sentiasa berhati-hati supaya tidak berlaku perkara buruk seperti dirinya.
















