PUTRAJAYA – Mana-mana pengusaha dobi di Semenanjung Malaysia dan Sabah yang menggunakan sistem gas berpaip terutamanya gas petroleum cecair (LPG) untuk mesin pengering dan pemanas air di kedai dobi perlu mendapatkan kelulusan dan lesen gas sah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).
ST dalam kenyataan akhbar menjelaskan, ini bagi memastikan reka bentuk sistem gas berpaip di premis dipasang mengikut piawaian ditetapkan serta dapat dikendalikan dengan selamat.
Menurutnya, pada masa ini masih terdapat pengusaha dobi kurang kesedaran atau mengabaikan keperluan undang-undang dan pematuhan piawai keselamatan yang ditetapkan hingga menyebabkan berlakunya kes kemalangan, kebakaran atau letupan disebabkan oleh kebocoran gas.
“Ini termasuk kes kemalangan melibatkan letupan gas di premis dobi di Taiping, Perak pada Mei lalu apabila seorang pengguna telah tercedera.
“Daripada siasatan awal pihak ST, premis dobi tersebut beroperasi tanpa kelulusan dan lesen sah daripada pihak ST,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, ST menegaskan, kegagalan dan keingkaran mendapatkan kelulusan dan lesen gas dari ST adalah melanggar Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997.
“Kegagalan mematuhi Subseksyen 11(1) Akta Bekalan Gas 1993 boleh menyebabkan pengusaha dobi didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Mereka juga boleh didenda selanjutnya sehingga RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan dan mana-mana sistem perpaipan atau bahagiannya yang digunakan atau dicadangkan hendak digunakan dalam melakukan kesalahan itu juga boleh dilucuthakkan,” ujarnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929