BANYAK pengeluar produk permainan dan makanan sejak dahulu menyasarkan golongan kanak-kanak sebagai potensi pelanggan mereka.
Ini kerana, golongan itu boleh mempengaruhi orang dewasa iaitu ibu bapa untuk membelinya, seterusnya menjadi pelanggan setia disebabkan iklan yang dipertontonkan membuatkan kanak-kanak begitu terpesona dengannya.
Namun perlu diingat, biarpun mereka kadangkala tidak dapat membezakan antara realiti iklan dengan kehidupan di dunia sebenar, tetapi lama-kelamaan kanak-kanak pasti sedar bahawa apa
yang ditonjolkan melalui iklan, sebahagiannya tidak sama dengan realiti kehidupan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
Oleh AFIZAN AMER
MEMBINA kesetiaan kanak-kanak terhadap sesuatu produk atau jenama di pasaran merupakan cabaran besar bagi pasukan pemasaran.
Persoalannya, apakah yang perlu dipenuhi dalam strategi untuk membuatkan kanak-kanak tidak beralih kepada jenama produk lain sebagai alat mainan dan sumber makanan mereka?
Selain itu, apakah gambaran yang disampaikan kepada mereka sehingga sesuatu jenama itu menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka pada usia kecil?
Dalam hal ini, para pengeluar produk permainan dan makanan perlu melihat bagaimana kanak-kanak dapat mengetahui dan mengingat jenama tertentu dalam tempoh lama.
Ramai pakar penjenamaan percaya, kesedaran jenama sangat penting dalam kalangan kanak kanak kerana dapat meningkatkan kemungkinan ia menjadi sebahagian daripada pemikiran pengguna.
Adakah anda mempunyai produk atau perkhidmatan yang disasarkan kepada kanak-kanak?
Berkaitan dengan strategi pemasaran yang dilakukan, adakah dengan hanya menghujani pemikiran mereka dengan iklan atau cuba menjadikan jenama relevan dengan kehidupan mereka sudah memadai?
Jawapannya adalah tidak kerana kita perlu sedar sejak awal, kanak-kanak hari ini mempunyai profil yang sama dengan kanak-kanak pada masa lalu iaitu mereka selalu ingin belajar perkara baharu, interaktif, selalu ingin bermain, ingin kelihatan hebat di mata rakan-rakan dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai pengeluar produk sama ada mainan atau makanan hendaklah membezakan strategi pemasaran ke atas kanak-kanak dan orang dewasa, terutamanya jika syarikat mempunyai tujuan untuk membina kesetiaan jenama bagi golongan terbabit.
Daripada sudut perspektif biologi, kanak- kanak merupakan manusia yang wujud antara peringkat kelahiran dan akil baligh.
Pada usia sebegini boleh dikategorikan sebagai tahap perkembangan otak anak-anak.
Pada tahap perkembangan kanak-kanak, otak mereka masih berkembang sehingga mengalami kesukaran untuk membezakan antara penampilan iklan dan kenyataan dalam kehidupan seharian.
Iklan sebenarnya dapat mengganggu pandangan kanak-kanak tentang dunia nyata.
Tambahan pula, mereka tidak dapat menilai tawaran diberikan oleh sesuatu jenama yang terdapat di pasaran.
Pada masa sama, pengeluar juga mengetahui daripada pemerhatian yang mereka lakukan, anak-anak semakin menjadi demografi yang amat penting kerana daya beli mereka sendiri.
Ini kerana, mereka mampu mempengaruhi keputusan pembelian sesuatu barangan oleh orang dewasa seperti ibu bapa.
Ini tentu saja memberikan impak positif kerana perlu diingat mereka adalah pengguna dewasa di masa depan.
Berdasarkan perkara-perkara ini, kejujuran dalam melaksanakan strategi pemasaran untuk mendekati kanak-kanak adalah sangat penting.
Ia perlu dilakukan dengan teliti dan berorientasikan jangka masa yang panjang.
Dalam pada itu, dengan pendedahan kepada maklumat dan kemajuan teknologi pada hari ini, cepat atau lambat, kanak-kanak dapat mengesan penipuan dalam strategi pemasaran sesuatu
jenama sepanjang mereka membesar.
Faktor penting yang kanak kanak lihat pada sesuatu jenama adalah berkaitan keaslian, titik pembezaan, idea segar, selain mesej yang disampaikan melalui saluran berbeza.
Memenuhi empat faktor di atas akan memberikan tindak balas yang kuat dan disukai oleh kanak-kanak.
Berinteraksi dengan kanak-kanak melalui fantasi dan sentuhan humor menjadikan sesuatu jenama produk seolah-olah ‘melekat’ dalam fikiran mereka.
Disamping itu, kanak-kanak juga berhak mendapat komunikasi pemasaran dengan etika tertinggi yang dapat dirumuskan oleh pemasar dan pengurus sesebuah jenama.
Ini kerana, untuk membina jenama terkemuka dan mewujudkan kesetiaan untuk generasi pemula atau awal banyak bergantung kepada perkara-perkara seperti ini.
Dalam hal ini, sekiranya seseorang pengurus jenama dapat mengekalkan faktor- faktor ini secara konsisten, jenama yang diuruskan pasti mendapat hasil yang lebih daripada sekadar kesetiaan.
Sebenarnya, kanak-kanak yang terlibat secara emosi dengan sesetengah jenama akan memupuk minat terhadap produk yang selalu mereka gunakan dalam kehidupan.
Semasa anak-anak ini mengalami alam remaja dan seterusnya, mereka ingin selalu berinteraksi dan menjadikan jenama yang diminati sejak kecil sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, membina hubungan yang bermakna dengan kanak-kanak dapat memberikan peluang yang tidak ternilai bagi seorang pengurus jenama dan pengeluar untuk
mewujudkan kesetiaan jenama dalam jangka masa panjang.
Pembentukan kedudukan jenama yang sangat jelas dalam fikiran kanak-kanak juga merupakan alat yang sangat berkesan untuk memenuhi keperluan emosi mereka.
Misalnya, sesuatu produk atau jenama yang menjadikan mereka kelihatan bergaya dan penuh keyakinan, selain dapat meningkatkan kreativiti dalam kehidupan berbanding kanak-kanak lain.
——————————————————————————–
AFIZAN AMER ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.














