fbpx
KEDAI berpapan tanda jahitan pakaian di Belfield Street (kini Jalan Sultan Yusuf) ini didakwa bekas atau tapak kedai gambar Mikasa diusahakan oleh peniaga Jepun zaman lampau sebelum tentera Jepun menyerang Tanah Melayu.

Tinggalan perisik Jepun kosaku di Tanah Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kegiatan perisikan Jepun atau kosaku di Tanah Melayu yang berselindung di sebalik perniagaan antara faktor yang memudahkan serangan askar negara itu semasa Perang Dunia Kedua.

Pergaulan mereka dengan penduduk setempat juga memudahkan lagi kerja-kerja pengumpulan maklumat ini dijalankan kerana tidak timbul perasaan curiga, malah kehadiran peniaga-peniaga Jepun ini misalnya tukang gunting ke kawasan perkampungan disambut baik.

Di Ipoh misalnya, terdapat empat kedai gambar, tiga kedai dobi, sebuah salon dan enam buah hotel milik peniaga Jepun selain empat orang doktor gigi dan lima orang tukang jahit.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

Perlahan-lahan Takushiro mengayuh basikal Raleigh berwarna hitam itu menelusuri denai kampung. Sesekali dia tersenyum ke arah beberapa kanak-kanak tidak berbaju yang sedang mencari sesuatu dalam belukar berhampiran.

Kelibat lelaki berusia awal 30-an itu yang berbasikal dengan kotak kayu diikat kemas di belakang kenderaan roda dua tersebut hanya diperhatikan oleh beberapa pemuda kampung yang berselisih dengannya tanpa skeptikal.

Penduduk kampung mengenali lelaki ini sebagai Takushiro San iaitu seorang tukang gunting yang fasih berbahasa Melayu pelat Jepun dan tidak lokek dengan senyuman.

Ramai penduduk kampung mendapatkan khidmat Takushiro untuk menggunting rambut. Selalunya dia yang ringan mulut akan mengisi masa berbual-bual kosong tentang keadaan setempat selain sesekali bercerita tentang kampungnya di Urayasu, tidak jauh dari Tokyo.

Bagaimanapun, Takushiro bukan hanya datang ke kampung-kampung untuk menggunting rambut, sebaliknya dia juga mengumpulkan maklumat sebelum disampaikan kepada pihak perisikan tentera Jepun berpusat di Thailand.

NOR HISHAM (kiri) memakai pakaian tentera Jepun dalam satu babak lakonan di sekitar kaki lima kedai yang dikatakan bekas premis diusahakan peniaga Jepun di Ipoh, Perak.

Sepanjang lima tahun menetap di Ipoh, Perak, itulah pekerjaan dirinya sehinggalah dia meninggalkan bandar ini beberapa tahun sebelum meletus Perang Dunia Kedua.

Walaupun babak Takushiro itu hanyalah olahan penulis, tetapi kegiatan perisikan Jepun di Tanah Melayu sebagaimana dilakukan lelaki ini memang berlaku.

Kegiatan perisikan Jepun atau kosaku di Tanah Melayu yang berselindung di sebalik perniagaan antara faktor yang memudahkan serangan askar negara itu semasa Perang Dunia Kedua.

Pergaulan mereka dengan penduduk setempat juga memudahkan lagi kerja-kerja pengumpulan maklumat ini dijalankan kerana tidak timbul perasaan curiga, malah kehadiran peniaga-peniaga Jepun ini misalnya tukang gunting ke kawasan perkampungan disambut baik.

Di Ipoh misalnya, terdapat empat kedai gambar, tiga kedai dobi, sebuah salon dan enam buah hotel milik peniaga Jepun selain empat orang doktor gigi dan lima orang tukang jahit.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, kesan-kesan kegiatan perisikan dan perniagaan ini masih dapat dilihat sehingga hari ini.

PERKUBURAN rakyat Jepun di Buntong, Perak.

Menurut beliau, kebanyakan perniagaan ini berpusat di persimpangan Belfield Street dan Station Street atau kini dikenali sebagai Jalan Sultan Yusuf dan Jalan Dato’ Maharaja Lela.

“Kehadiran masyarakat Jepun di Ipoh bermula pada tahun 1893, ia ada dalam rekod kerajaan negeri Perak.

“Mereka perkenalkan perkhidmatan bas dari Ipoh ke Batu Gajah. Bermula dari situ, wujud orang Jepun di sini,” katanya kepada K2.

Difahamkan, pada tahun 1921 terdapat kira-kira 180 orang Jepun di Perak iaitu di Ipoh, Taiping dan Tanjung Malim.

Cerita Nor Hisham, pembukaan kedai gambar dan kedai gunting rambut merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat lantas memudahkan peniaga Jepun mendapat maklumat.

Katanya, maklumat-maklumat ini disalurkan kepada pihak perisikan tentera Jepun melalui surat atau telegram yang kemudian digunakan semasa perang.

“Ketika itu, ada kedai Kamata Dentist & H. Simoyama’s Dental Office, T. Tasaka’s Hairdressing Saloon, Mikasa Photo Shop, Hinode Photographer & I. Itoh Artistic Photographer.

“Selain menjalankan aktiviti ekonomi, perisik Jepun ini akan menyalurkan maklumat seperti peta dan gambar,” jelasnya.

SEBUAH kedai foto I.Itoh Artistic Photographer milik peniaga Jepun kelihatan beroperasi di Belfield Street, Ipoh sebelum Perang Dunia Kedua.

Perisik Jepun bernama Masaji Fukabori dikatakan pernah bekerja di kedai gambar Mikasa Photo Shop di Ipoh. Sepanjang bekerja di situ, dia juga secara diam-diam menghantar maklumat-maklumat sulit kepada pihak perisikan Jepun.

Menurut Nor Hisham lagi, kerajaan Jepun sememangnya menggalakkan aktiviti perisikan tenteranya selepas tamat Perang Dunia Pertama, bahkan ia dijalankan di seluruh Asia Tenggara.

Selain Ipoh, perisikan ini turut dilaksanakan di Taiping, Batu Gajah dan Kuala Kangsar.

Bukti kehadiran penduduk Jepun ini juga masih boleh dilihat. Terdapat sebuah tanah perkuburan di Buntong dekat Ipoh yang menempatkan lebih 100 kubur orang Jepun yang wujud sebelum dan semasa penduduk Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 hingga 1945.

Kebanyakan orang Jepun beransur-ansur menutup perniagaan dan berpindah ke negara lain kerana kesan boikot masyarakat Cina di Tanah Melayu susulan Perang China-Jepun pada tahun 1937.

“Bagi orang Jepun yang rasa terancam, mereka buat keputusan untuk tutup perniagaan dan hijrah ke Singapura,” katanya.

Pada tahun 1941, tentera Jepun menyerang Tanah Melayu termasuk Perak dengan Ipoh ditawan tentera Jepun pada 27 Disember tahun tersebut.

JEPUN mula menyerang dan menjajah Tanah Melayu pada Disember 1941.

Sementara itu, penyelidik Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Hairul Alias berkata, rangkaian perisikan Jepun di Tanah Melayu lebih memberi fokus pada kerja-kerja pengumpulan maklumat berkaitan ekonomi.

Jelas Hairul, mereka ini bukanlah perisik sebenar tetapi diberikan tugas untuk mengumpul maklumat-maklumat tertentu sepanjang menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat kemudian dihantar kepada pihak perisikan tentera Jepun yang membuat pengumpulan dan penilaian dari semasa ke semasa.

“Pihak Jepun berbuat demikian atas dasar menjaga keselamatan serta identiti warganya di sini, selain tidak mahu kegiatan pengumpulan maklumat tersebut dilihat ketara.

“Atas sebab itu jugalah komuniti peniaga Jepun di Tanah Melayu sangat menjaga kerahsiaan tentang kerja-kerja gelap mereka,” jelasnya.

Menurut Hairul, mereka juga tidak terlibat dalam tugas perancangan atau merangka strategi perang di Tanah Melayu, sebaliknya tugas itu dijalankan pihak atasan tentera Jepun berdasarkan analisa maklumat.

“Terdapat juga antara mereka yang memilih membuka kedai dekat pangkalan atau kem tentera bagi memudahkan kerja-kerja intipan termasuk ‘pasang telinga’ daripada interaksi tentera,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN