INGIN memartabatkan imej golongan wanita. Itu antara mesej utama yang diketengahkan menerusi drama terbaharu berjudul Hawa.
Menurut pengarahnya, Tam Suhaimi, mesej utama yang hendak dipaparkan dalam karya terbitan rumah produksi Infinitus tersebut ialah isu tipikal yang sering dilalui oleh golongan Hawa.
“Hawa mengisahkan tentang kehidupan seorang ibu, Hajah Imaan lakonan Hamidah Wahab dan tiga orang anak perempuannya iaitu Saadah (Nadiya Nisaa), Fauziah (Ruzana Ibrahim) dan Raudah (Bella Dowanna).
“Banyak konflik yang berlaku dalam drama ini dan kebanyakan tentang isu tipikal yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya dalam sidang akhbar Hawa secara virtual baru-baru ini.
Pemilihan pelakon, cabaran
Ditanya tentang pemilihan barisan pelakon Hawa, Tam bersyukur kerana berpeluang untuk bekerja bersama aktres dan aktor yang sudah memahami cara kerjanya sekaligus memberi hasil yang memuaskan hatinya.
“Alhamdulillah kesemua mereka berjaya merealisasikan sama seperti apa yang saya bayangkan dengan sangat cemerlang.
“Bagusnya dapat bekerja dengan mereka ini ialah lebih selesa dan mudah untuk berkomunikasi. Semuanya membantu lagi dalam melancarkan penggambaran yang dilakukan bermula Februari hingga April lalu,” katanya.

Bercerita tentang cabaran yang dilalui untuk naskhah terbaharu ini, Tam memberitahu, isu wanita bukanlah satu masalah besar baginya.
“Sejak saya terlibat dalam dunia pengarahan, majoriti drama yang dihasilkan ialah berkisarkan isu wanita jadi, memang tidak ada kesukaran sangat pun.
“Antara isu dalam Hawa ialah poligami, perceraian dan kecurangan. Ketika inilah pentingnya komunikasi antara kru dan pelakon. Perkongsian idea antara kami melancarkan lagi dalam setiap pengolahan idea setiap babak serta watak.
“Dengan adanya komunikasi yang baik, isu yang hendak dikupas dalam Hawa berjalan dengan baik,” kongsinya lagi.
Tutur Tam, penggambaran yang dijalankan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga antara cabaran yang perlu dihadapinya.
“Cabaran lain ialah penggambaran dijalankan dalam tempoh PKP dan semua prosedur operasi standard perlu dipatuhi.
“Apa pun syukur semuanya berjalan lancar dan semua SOP kami patuhi sepanjang tempoh penggambaran,” kata pemilik nama lengkap Nor Azemi Suhaimi itu.

Sama seperti pengarah lain, Tam berharap agar karyanya yang sudah ditayangkan pada 24 Ogos lalu itu diterima baik oleh penonton.
“Harap setiap kisah yang dipaparkan dalam Hawa dapat memberi pengajaran kepada para penonton terutama golongan wanita.
“Drama ini mungkin tidak sempurna tetapi isinya padat dengan perkara yang berguna dalam kehidupan seharian.
Cabaran
Tidak memandang ringan watak dijayakannya, Nadiya sentiasa percaya bahawa setiap karakter yang diberikan kepadanya mempunyai yahap kesukaran tersendiri.
“Pada awalnya saya nak bawa watak sebagai Saadah seperti ahli kumpulan usrah tetapi selepas mendapatkan nasihat, pandangan saya berubah 180 darjah.
“Watak saya nampak tipikal tetapi realitinya saya perlu bermain dengan emosi dan menerapkan pengalaman hidup di dalamnya.
“Sebagai pelakon, saya berpendapat Hawa merupakan naskhah kritikan sosial berkaitan dilema kaum wanita di negara ini,” ujarnya.
“Secara keseluruhan, saya berpendapat tidak salah sekiranya seorang manusia khususnya wanita hendak mengekspresikan emosi dan pendapat mereka. Inilah antara yang kami mahu ketengahkan dalam drama ini,” ujarnya lagi.
Hawa yang sudah menemui penonton sejak minggu lalu itu kini hangat ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam menerusi slot MegaDrama.