FENOMENA aliran puing luar biasa yang membadai kaki Gunung Jerai di Kedah baru-baru ini telah membawa kepada kemusnahan dahsyat di kawasan sekitar.
Ini termasuk lokasi-lokasi rekreasi ikonik sehingga tragedi tersebut diramal mengubah morfologi atau struktur sungai di situ yang sebelum ini mengalir tenang kepada deras dan boleh mengganas.
Kejadian itu membawa kemusnahan teruk kepada beberapa kampung di daerah Yan termasuk membawa bersama kayu-kayu besar, selain meragut banyak nyawa orang yang berada di sepanjang laluannya.
Kejadian itu juga telah memusnahkan beberapa kawasan rekreasi ikonik di sekitar daerah Yan seperti Pusat Rekreasi Titi Hayun, Batu Hampar, Tupah dan Seri Perigi.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEBAIK terjaga daripada tidur, pemuda berusia 32 tahun itu tergerak hati untuk mandi bersama dua ahli keluarganya di sebatang anak sungai berhampiran rumahnya di Kampung Setol, Yan, Kedah.
Sungai terletak 100 meter dari rumah Fahizal Azron Padhil itu cukup terkenal dalam kalangan masyarakat setempat dengan kejernihan airnya yang mengalir perlahan dari puncak Gunung Jerai.
Seperti biasa, Fahizal Azron memilih untuk mandi di salah satu lubuk yang terbentuk secara semula jadi daripada susunan bongkah batu-batu besar dengan kedalaman satu meter.
Menjelang pukul 11 pagi, hujan mula turun renyai-renyai di kawasan sungai dikenali sebagai Sungai Kampung Setol itu sekali gus memaksa Fahizal Azron berhenti mandi dan pulang ke rumah.
Hujan yang berlarutan hingga hampir dua jam membuatkan pemuda tinggi lampai itu tiba-tiba berasa tidak sedap hati, lalu keluar kembali untuk menjengah anak sungai tersebut untuk melihat keadaan air.

Ternyata firasat Fahizal Azron tepat apabila berlaku fenomena aliran puing dengan aliran arus deras di sungai itu.
Pada awalnya, Fahizal, sebagai anak jati Yan menganggap fenomena sebegitu suatu yang biasa kerana ia sering terjadi di sekitar Gunung Jerai setelah hujan lebat.
Pun begitu, selepas 15 minit memerhati pergerakan air, dia berasa hairan apabila melihat kehadiran batang-batang pokok bersaiz besar yang dibawa oleh arus air dari hulu sungai.
“Fenomena kepala air ini perkara normal bagi kami yang tinggal di sekitar kaki Gunung Jerai. Ia berlaku apabila hujan lebat di puncak gunung serta aliran sungai menjadi laju dan besar.
“Tetapi pada hari itu, fenomena aliran puing yang berlaku di sini berbeza sama sekali. Bukan sahaja alirannya lebih laju dan besar, malah ia membawa bersama batang-batang kayu besar,” katanya ketika dihubungi K2.
Fenomena aliran puing itu semakin mengganas menjelang pukul 4 petang memandangkan awan gelap masih menyelubungi Gunung Jerai yang menandakan hujan lebat masih berlaku di situ.
Fahizal Azron terkejut apabila air sungai yang mengalir terlalu deras telah menyebabkan jambatan konkrit yang menjadi penghubung kampungnya ke jalan utama musnah.
Pekerja pembantu jualan itu menambah, buat pertama kalinya juga rumah yang didiami mereka sekeluarga sejak tiga dekad lalu dinaiki air setinggi 0.5 meter secara mendadak.

“Ini kali pertama sepanjang saya hidup, rumah dimasuki air setinggi paras lutut. Air ini naik dengan cepat hingga kami tidak sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik.
“Saya dapat melihat robohnya jambatan konkrit di depan rumah serta mayat salah seorang mangsa yang tersangkut di pokok pisang. Saya jadi trauma setiap kali hujan turun ketika ini,” ujarnya.
Itulah antara pengalaman tragis dilalui sebahagian penduduk di lebih 10 kampung di sekitar kaki Gunung Jerai sewaktu berlakunya fenomena kepala air luar biasa minggu lalu.
Ekoran kejadian itu, beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat sehingga mengakibatkan pokok tumbang, jalan runtuh, kereta hanyut dan titi musnah.
Malah, fenomena yang berlaku selama hampir tiga jam itu turut mengorbankan lima nyawa setakat ini, manakala seorang lagi mangsa masih hilang dipercayai dihanyutkan arus.
Kejadian kepala air dan banjir kilat itu disifatkan sesetengah pihak sebagai bencana terburuk dalam sejarah di kawasan Gunung Jerai.
Kejadian itu juga telah memusnahkan beberapa kawasan rekreasi ikonik di sekitar daerah Yan seperti Pusat Rekreasi Titi Hayun, Batu Hampar, Tupah dan Seri Perigi.
Titi yang menjadi simbol kemegahan Pusat Rekreasi Titi Hayun serta kawasan lubuk-lubuk yang menjadi tumpuan pengunjung mandi dan berkelah musnah akibat kejadian tersebut.
Salah seorang penduduk Kampung Seri Perigi, Wan Teh Wan Shaari, 54, pula bercerita, dia menyedari suatu keganjilan di Jeram Seri Perigi dua hari sebelum kejadian. Kawasan peranginan itu terletak kurang 200 meter dari rumahnya.

“Dua hari sebelum kejadian, saya terlihat sesuatu yang ganjil di kawasan Jeram Seri Perigi ini. Air di situ bertukar dari jernih ke coklat dan turun dengan sangat deras.
Tidak sangka pula, hal itu boleh membawa kepada terjadinya aliran puing luar biasa apabila hujan lebat,” ujarnya.
Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) turut mengesahkan berlaku taburan hujan lebat dan luar biasa dalam tempoh singkat di kawasan puncak gunung setinggi 1,207 meter itu.
Pengesahan itu dibuat berdasarkan laporan tinjauan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia yang mendapati terdapat hujan lebat luar biasa bermula kira-kira pukul 2.30 petang.
Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 mililiter (mm) dan Stesen Hujan Singkir Genting pula merekodkan kumulatif 172mm.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Hafizal Ismail berpendapat, fenomena aliran puing luar biasa itu berlaku disebabkan faktor semula jadi.
Katanya, kejadian tersebut berlaku mungkin disebabkan faktor daya tampung kawasan Gunung Jerai terhadap kadar serapan air hujan telah mencapai tahap maksimum.
“Saya difahamkan tidak ada sebarang aktiviti pembalakan, pemotongan bukit atau pembersihan kawasan di Gunung Jerai memandangkan ia telah diwartakan sebagai hutan simpan.
“Kejadian itu pertama kali berlaku, jadi saya beranggapan ia berlaku disebabkan faktor penerimaan hujan yang tinggi sehingga melepasi kadar daya tampung kawasan berkenaan.
“Apabila sudah tidak dapat tampung jumlah air hujan, itu yang menyebabkan berlaku hakisan tanah sehingga membawa kepada pokok tumbang. Kita boleh lihat, arus ini turun bersama batang-batang pokok. katanya.

Hafizal menjelaskan, kejadian tersebut akan meninggalkan kesan kepada alam sekitar termasuk mengubah keadaan morfologi sungai-sungai di sekitar Gunung Jerai.
Jelasnya, sungai yang sebelum ini mengalir tenang akan berubah menjadi lebih deras dan saiznya turut bertambah sekali ganda disebabkan musnahnya zon penampan semula jadi seperti batu atau kayu-kayu.
“Hasil perhatian foto yang tular, jelas kelihatan struktur sungai di kaki Gunung Jerai telah berubah. Jika sebelum ini air dan saiz sungai kecil, namun kini berubah menjadi lebih besar serta laju.
“Ini berlaku disebabkan zon-zon penampan yang terbentuk sepanjang sungai telah berubah wajah.
“Jadi, kita tidak akan nampak lagi lubuk-lubuk atau susunan batu besar yang sebelum ini jadi penampan air,” katanya.






