PETALING JAYA – Angkara Covid-19, seramai 1,517 daripada lebih lima juta pelajar di seluruh negara telah kehilangan insan tersayang mereka iaitu ibu atau bapa atau kedua-duanya sejak Mac tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, walaupun jumlah itu kecil, namun pihaknya akan tetap memberi keutamaan kepada pelajar yang terlibat untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.
Menurutnya, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan sekolah sentiasa bertindak segera jika mendapat maklumat mengenai pelajar-pelajar yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.
“Sokongan kebajikan yang diberikan kepada pelajar bukan sahaja dalam bentuk material (seperti bantuan kewangan, barangan dapur, bantuan zakat dan sebagainya), malah merangkumi sokongan emosi.
“Kutipan derma kilat antara tindakan awal yang sering diusahakan oleh pihak sekolah melalui kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, KPM telah menubuhkan satu pasukan khas iaitu Kebajikan Murid Guru di peringkat kementerian bagi memastikan tindakan segera dapat diambil kepada mereka yang terkesan.
“Pihak kementerian juga meningkatkan kerjasama dengan agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar satu penyelesaian yang menyeluruh dapat dilaksanakan bagi membantu pelajar yang terkesan,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, bagi memastikan emosi atau psikologi pelajar tidak terganggu, sesi bimbingan dan kaunseling akan terus dilaksanakan oleh guru bimbingan kaunseling sama ada secara bersemuka atau dalam talian sehingga emosi pelajar itu kembali stabil.
Katanya, pelbagai bantuan akan disalurkan dengan segera antaranya Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan bantuan bekalan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan bagi mereka yang layak serta penempatan murid ke asrama bawah KPM.
“KPM turut menjalin kerjasama dengan penghulu, ketua kampung atau perumahan dan agensi lain seperti JKM dan pihak pengurusan zakat bagi memastikan kebajikan murid terus terbela,” ujarnya.-K! ONLINE















