PENGALAMAN seorang lelaki dari Klang, Selangor terserempak dengan puntianak di atas sebatang pokok di tepi jalan besar telah mengubah hidupnya 360 darjah.
Dia yang sebelum ini tidak percayakan hantu di zaman media sosial sering mentertawakan rakan-rakan yang menceritakan pengalaman bertemu hantu termasuk puntianak.
Dia kini sudah insaf dan tidak mahu bercakap besar lagi memandangkan peristiwa bertemu puntianak pada tengah malam beberapa bulan lalu benar-benar memberi kesan mendalam dalam dirinya.
Lagipun, selepas kejadian itu, dia mengalami demam panas selama tiga hari kerana terkejut.
———————————————————————————————————-
SEBELUM ini, seorang lelaki yang tinggal di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor hanya tertawa dan mengatakan karut apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya menceritakan pengalaman seram disakat hantu.
Bagi Mohd. Nazri Akib, 60, dia tidak pernah percayakan cerita mengenai kewujudan hantu atau jembalang yang dikhabarkan seseorang kepadanya memandangkan sepanjang hidupnya tidak pernah berjumpa dengan makhluk itu.
Bagaimanapun, pengalaman terserempak sendiri dengan puntianak pada satu malam telah mengubah hidup dan pendiriannya terhadap dunia makhkluk halus.
Katanya, pernah seorang rakan memberitahu ternampak kelibat puntianak di atas sebatang pokok besar yang merimbun berhampiran kawasan belukar di jalan besar dari Klang menghala ke Kuala Langat.
Merdengar sahaja cerita itu, katanya, dia terus ketawa berdekah-dekah sambil mengatakan ia hanyalah ilusi semata-mata.

MOHD. NAZRI menunjukkan lokasi dia terserempak dengan puntianak di atas dahan pokok pukul 12 tengah malam beberapa bulan lalu di tepi jalan besar dari Klang menghala ke Banting.
“Saya katakan padanya, mana ada hantu pada zaman media sosial ini sambil menepuk meja dan ketawa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujarnya, rakannya itu memberitahu, dia disakat puntianak pada waktu tengah malam ketika berhenti di kawasan pokok besar itu selepas motosikalnya mengalami kerosakan dan terkejut apabila ternampak kelibat makhluk berpakaian putih duduk di atas dahan pokok.
“Akibatnya, rakan saya membuka langkah seribu tanpa menoleh ke belakang lagi. Motosikalnya ditinggalkan di situ begitu sahaja.
“Rakan saya cuma terdiam apabila ceritanya ditertawakan. Sebelum beredar dengan nada seakan-akan marah, dia berharap agar saya juga bertemu dengan puntianak ketika melalui kawasan tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun dia menganggap pengalaman sahabatnya sebagai bayangan orang takut sahaja, hatinya seakan-akan meronta-ronta untuk melihat sendiri makhkluk yang diceritakan kepadanya itu.
Tanpa berfikir panjang, dengan berani pada malam itu, Mohd. Nazri menuju ke kawasan yang diceritakan rakannya seorang diri dengan menunggang motosikal pada pukul 12 tengah malam dan bertekad tidak mahu pulang selagi tidak bertemu makhluk halus tersebut.
K
atanya, jalan di laluan tersebut ketika itu sangat sunyi dan cahaya lampu jalan agak suram.
“Ketika saya menanti dalam dua tiga minit, tiba-tiba ternampak kelibat makhluk berpakaian serba putih duduk bercelapak di celah dahan pokok.
“Tubuh saya mula berpeluh disebabkan makhluk yang mirip gambaran puntianak dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam itu seakan memerhatikan saya.
“Saya terus mendapatkan motosikal dan cuba memecut pergi dari situ, tetapi tangan saya menjadi lemah dan seolah-olah ‘kaku’,” katanya.
Jelasnya lagi, puntianak itu tiba-tiba turun dari pokok tersebut dan berada kira-kira dua meter dari tempat dia berdiri.
Pada ketika itulah, katanya, dia dapat melihat dengan jelas rupa puntianak tersebut yang berambut panjang dan mukanya seperti hitam dan berpakaian serba putih.
Entah dari mana, kata Mohd. Nazri, dia mendapat kekuatan dan berjaya memecut motosikalnya dari kawasan berkenaan.
“Makhluk tersebut mengekori saya buat seketika sebelum tiba-tiba hilang di sebalik pokok.
“Ekoran terkejut selepas bertemu puntianak, saya demam panas selama tiga hari.
“Sejak peristiwa menyeramkan itu, saya tidak lagi melalui kawasan tersebut pada di sebelah malam. Masih jelas terpapar di depan mata, puntianak tersebut seakan-akan marah tempatnya diganggu,” ujarnya.
Kini katanya, dia tidak lagi suka bercakap besar dan sombong berkaitan makhkuk halus kerana telah mengalaminya sendiri.














