SIAPA sangka, sekeping gambar hitam putih sekumpulan pelajar bertudung membawa tuah kepada seorang jurugambar sambilan, Wan Mohd. Fadzli W. Samsudin, 39, apabila dia memenangi tempat pertama bagi kategori potret (melibatkan muka manusia) dalam pertandingan fotografi, The VII Jalon Angel International Photography anjuran San Jorge University di Sepanyol baru-baru ini.
Lelaki yang berasal dari Besut, Terengganu itu telah menewaskan 2,300 peserta dari 94 negara seperti Sepanyol, Rusia, Iran, Perancis, India, Bangladesh, Argentina, Mexio, Colombia dan Itali.
Ia sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai €1,000 euro (RM4,921), sijil penyertaan dan trofi arca edisi terhad oleh artis dari Sepanyol iaitu Jesus Garcia.
Kejayaan sekeping gambar bertajuk Hijab Girl bagi edisi ketujuh penganjuran pertandingan fotografi itu nyata melonjak populariti Wan Mohd. Fadzli atau dikenali sebagai Palie Massa yang menjadi jurugambar sambilan sejak 14 tahun lalu.
“Saya terkejut dan tidak menyangka memenangi pertandingan ini kerana bersaing dengan para peserta dari pelbagai negara yang bukan calang-calang orang.
“Sebelum ini saya pernah menyertai beberapa pertandingan di luar negara tetapi ini kali pertama saya muncul juara,” katanya kepada K2.
Tambah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, kemenangan tersebut merealisasikan impiannya untuk memenangi pertandingan fotografi di peringkat antarabangsa.

Palie memberitahu, sebelum menyertai pertandingan berprestij itu, dia melihat foto-foto pemenang edisi terdahulu yang kebanyakan dari luar negara dan memaparkan budaya masing-masing.
Lantas ia memberi ilham kepada Palie untuk mengetengahkan budaya dan cara hidup kita sebagai orang Islam.
“Sehubungan itu, saya mempertaruhkan gambar sekumpulan pelajar perempuan dari Maahad Darul Quran Rusila, Kuala Terengganu yang pernah dirakam pada awal tahun 2019.
“Gambar ini ternyata memenangi hati juri kerana mereka merasakan ia sesuatu yang unik termasuk dari segi susunan komposisi foto,” tutur pereka grafik di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu.
Dia yang juga kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi Visual dan Media Baharu di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam berkata, gambar tersebut dirakam sewaktu dia terserempak dengan sekumpulan pelajar perempuan di sebuah pasar pagi di sekitar Masjid Rusila, Kuala Terengganu.
Bagi merakam gambar kandid itu, dia menunggu sekitar setengah jam untuk mendapatkan waktu yang tepat.
Baginya, kemenangan itu merupakan ‘buah’ daripada kesabaran dan jerih perih dalam bidang fotografi yang dipelajarinya sendiri tanpa mengenal erti putus asa.
Terdahulu, pada tahun 2018, Palie pernah memenangi beberapa pertandingan di dalam negara antaranya FaveKad Malaysia Patriotism Photography Contest dengan mempertaruhkan foto anak-anak kampung meraikan Hari Kemerdekaan.

Lelaki yang berjiwa patriotik itu memenangi tempat pertama menerusi foto yang menyentuh hati itu.
“Kanak-kanak di kampung mungkin tidak dapat menyertai perarakan kemerdekaan di bandar, namun mereka juga mempunyai cara menzahirkan rasa cintakan negara,” ulasnya tentang foto tersebut.
Bekerja sebagai pereka grafik di beberapa buah syarikat selama 17 tahun, tidak menghalang Palie meneruskan minatnya dalam bidang fotografi.
“Menjadi rutin saya untuk keluar rumah seawal pukul 7 pagi bagi merakam gambar di sekitar rumah yang terletak berdekatan pantai.
“Kebiasaannya saya akan merakam gambar pak cik menjala ikan, bot-bot nelayan dan matahari terbit. Walaupun tempat sama setiap hari tetapi momen rakaman itu berubah-ubah,” jelasnya yang kini tinggal di Kampung Gong Datok, Kuala Nerus, Terengganu.
Mengimbau perjalanan awal Palie dalam bidang fotografi, ia bermula sewaktu menuntut di UTM apabila dia asalnya sekadar ingin mencuba merakam gambar menggunakan kamera sahabatnya.
Tanpa disangka percubaan tersebut menerbitkan minat dalam seni fotografi. Pada peringkat awal, Palie menjadi jurugambar untuk Kelab Kaunseling dan Kerjaya yang disertainya.

Dia menjadi semakin serius dalam bidang fotografi pada tahun 2007 apabila menetap di Terengganu.
“Ketika itu saya mengikuti satu kumpulan jurugambar yang dikenali sebagai Forum Digital Mukmin.
“Forum tersebut diasaskan oleh Ustaz Azhar Idrus yang sangat meminati seni fotografi,” terangnya yang gemar merakam subjek seperti landskap, fotografi jalanan dan human interest.
Di awal penglibatannya, Palie membeli kamera terpakai Canon 400D berharga RM2,500 menggunakan wang simpanan dan pemberian ibunya.
Bersama Forum Digital Mukmin itu dia dan rakan-rakan jurugambar yang lain akan keluar bersama-sama untuk merakam gambar dan berkongsi idea.
“Saya berpegang kepada kata-kata jurugambar Perancis, Henri Cartier-Bresson iaitu 10,000 gambar pertama adalah yang terburuk.
“Oleh itu, selama setahun saya merakam pelbagai gambar untuk membetulkan kesilapan dan melatih ‘mata seni’,” ulasnya yang kini juga merupakan pengajar sambilan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi subjek Kokurikulum Fotografi dan juga tenaga pengajar Program Empower ECER Hulu Terengganu dan Program Empower ECER-UiTM Marang.
Dia kemudian memberanikan diri menerima tawaran perkhidmatan rakaman gambar perkahwinan bersama rakan.
Kini, Palie mempunyai studionya sendiri yang ditubuhkan pada tahun 2010 dikenali sebagai Massa Studio. Studio tersebut menawarkan khidmat jurufoto dan juruvideo untuk perkahwinan serta pelbagai acara.
Selain itu, Palie juga sering menerima undangan daripada agensi kerajaan, swasta, sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk berkongsi ilmu fotografi.
“Untuk kekal lama dalam bidang fotografi ini ia memerlukan minat serta kesabaran tinggi dan bukannya mengejar populariti atau wang semata-mata.
“Sebagai jurugambar juga kita jangan mudah berputus asa dan perlu mempertingkatkan ilmu kerana teknologi kian berkembang,” ujarnya.
Pali yang juga pengasas laman Facebook Republik Kakifoto itu juga sanggup mengembara di beberapa buah negara seperti Vietnam, China, India, Kemboja dan Arab Saudi semata-mata untuk merakam gambar.
“Projek terbaharu saya ialah bual bicara santai bersama seorang bekas jurugambar, ABeKu mengenai seni di Malaysia dan Jom Lepok Dulu Show yang diadakan setiap hari Ahad pada pukul 9 malam.
“Video rakaman boleh ditonton di saluran YouTube Palie Massa,” katanya.














