fbpx
CIKGU El atau El Gamillo Habibun Tan turut dinobatkan Anugerah Guru Juara Digital oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menewaskan 29 calon lain di seluruh negara baru-baru ini.– Foto PUTQRA HAIRRY ROSLI

Cikgu El model pendidik Malaysia era pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

El Gamillo Habibun Tan, 40, yang merupakan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok, Marang, Terengganu memahat kejayaan tersendiri apabila dinobatkan pemenang Anugerah Cikgu Juara Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Mei lalu. Anak Melayu dari Johor itu juga merupakan antara 72 guru tempatan diiktiraf Microsoft sebagai Pakar Pendidik Inovatif Microsoft. Mesra disapa Cikgu El, pendidik bertauliah diiktiraf Google, Microsoft dan Apple itu juga tersenarai pendek sebagai antara tenaga pengajar digital terbaik dunia pada tahun lalu, namun majlis anugerah yang sepatutnya diadakan di Sydney, Australia pada Mac tahun lalu telah dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

KERAJAAN amat memerlukan sokongan tenaga pengajar berkelayakan bagi menyegerakan proses pendigitalan dalam bidang pendidikan untuk penyediaan pembelajaran norma baharu sewaktu penularan pandemik Covid-19 masa kini.

Syukur semakin ramai pendidik yang menyahut seruan Kementerian Pendidikan itu termasuk El Gamillo Habibun Tan, 40, yang merupakan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok, Marang, Terengganu.

Bahkan, El Gamillo memahat kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Cikgu Juara Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Mei lalu.
El Gamillo juga merupakan antara 72 guru tempatan yang diiktiraf oleh syarikat teknologi terkemuka, Microsoft sebagai Pakar Pendidik Inovatif Microsoft (MIE) sejak dua tahun lalu.

Mesra dipanggil Cikgu El, dia turut berjaya menamatkan kursus pensijilan antarabangsa daripada Google sekali gus melayakkan guru Bahasa Melayu tersebut sebagai Jurulatih Bertauliah Google (Google Certified Trainer) pada tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Cikgu El juga bergiat aktif dalam platform digital bersama kumpulan Apple Professional Learning System yang memberinya pendedahan menggunakan sistem dan teknologi Apple sebagai bahan pengajaran di dalam bilik darjah.

“Saya mula berkecimpung dalam pendidikan digital pada tahun 2013 ketika berkhidmat di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Marang. Pada waktu itu, peranan saya ialah menghasilkan bahan-bahan digital untuk kegunaan guru.

“Kira-kira dua tahun kemudian, saya mula menerima jemputan di seluruh negara untuk berkongsi ilmu tentang teknik pengajaran menggunakan platform online,” katanya ketika ditemui Panorama di rumahnya di Kampung Rusila, Marang baru-baru ini.

CIKGU El aktif dalam memperkasa pengajaran menggunakan alat bantu digital.

Cikgu El berkata, kedudukannya sebagai pendidik bertauliah diiktiraf Google, Microsoft dan Apple membuka ruang kepadanya untuk melakukan perkongsian berbayar menerusi medium forum, ceramah dan latihan.

Jelas anak Melayu berasal dari Johor itu, fokus perkongsiannya sejak enam tahun lalu meliputi pendedahan tentang kelebihan teknologi, cara penggunaan digital dalam pendidikan selain penerangan penggunaan aplikasi seperti Kahoot yang boleh dimuat naik menerusi telefon pintar dan komputer.

“Saya juga menyalurkan pelbagai perkongsian berhubung penggunaan teknologi digital sebagai alat bantu pengajaran kepada rakan-rakan guru lain menerusi saluran YouTube, Streamyard, Webinar dan Zoom.

“Selain itu, saya juga diberi tanggungjawab untuk mencari guru-guru berpotensi untuk diketengahkan bagi siaran langsung saluran khas televisyen Pendidikan, DidikTV oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, sepanjang penglibatan Cikgu El sebagai tenaga pengajar digital, beliau pernah menerima beberapa pengiktirafan seperti Anugerah Pegawai Cemerlang, Anugerah Digital Terengganu, Anugerah Ikon Cikgootube selain diangkat sebagai Jurulatih e-Pembelajaran Terengganu.

Tambahnya, Microsoft juga telah pun menyenarai pendek namanya sebagai antara tenaga pengajar digital terbaik dunia pada tahun lalu, namun majlis anugerah yang sepatutnya diadakan di Sydney, Australia pada Mac tahun lalu telah dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

PEMBINAAN studio mini PdPR di SK Jambu Bongkok diusahakan Cikgu El menggunakan wang sakunya sendiri.

“Alhamdulillah, terbaharu pada pertengahan Mei lalu saya diumumkan pemenang Anugerah Cikgu Juara Digital anjuran MDEC setelah mengetepikan 29 calon lain di seluruh negara.

“Pengiktirafan itu diberi berikutan inisiatif saya membina sebuah studio mini Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk kegunaan pelajar serta guru di SK Jambu Bongkok,” katanya.

Cikgu El berkata, studio mini tersebut dibina di dalam sebuah bilik darjah di sekolahnya dengan menggunakan wang sakunya sendiri.

Jelasnya, ia dilengkapi beberapa kemudahan asas antaranya set pencahayaan, dinding kedap bunyi dan teknologi skrin hijau.

“Niat saya semasa membina studio mini itu cuma satu iaitu memudahkan proses PdPR untuk guru dan murid di sekolah saya.

“Saya juga berharap ia dapat menjadi medium melatih murid-murid saya untuk lebih kreatif dan kritis dalam mendepani situasi global yang tidak menentu pascapandemik pada masa akan datang,” ujarnya.

CIKGU El tidak pernah lelah untuk mencurahkan ilmu digital kepada anak muridnya agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa kini.

Luah Cikgu El, dia berasa bertanggungjawab untuk menyediakan murid-muridnya dengan kemahiran teknologi yang sangat penting terutama pada era digital kini bagi membolehkan mereka lebih bersedia mendepani dunia luar kelak.

Tegasnya, situasi hari ini sudah berubah dan sebagai guru yang menyedari hakikat ketidaktentuan pasaran pekerjaan masa depan, dia mahu mencurahkan sebanyak mungkin ilmu kemahiran yang tidak terdapat dalam buku teks kepada anak-anak muridnya.

Dalam pada itu, Cikgu El berkata, golongan pendidik antara yang paling terkesan sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19 mulai awal tahun lalu.

Jelasnya, suasana bekerja yang berubah 360 darjah memaksa ramai guru turut sama mengubah teknik pengajaran.

“Saya akui, ramai guru negara ini masih bergelut melaksanakan PdPR biarpun mereka rata-ratanya masih muda dan celik teknologi maklumat.

“Sebab itu setiap kali dijemput berceramah di Institut Pendidikan Guru (IPG), saya selalu tekankan agar bakal guru tidak boleh terlepas pandang akan kepentingan pendidikan digital untuk digunakan di dalam dan luar bilik darjah,” katanya.

Cikgu El berpandangan golongan guru wajar mengambil peluang meningkatkan skil digital dan teknik mengajar bagi memastikan tiada anak murid yang tercicir dalam pelajaran ketika situasi serba mencabar ini.

Menurutnya, pelbagai aplikasi online boleh dimanfaatkan dalam sektor pendidikan sebagai kaedah pengajaran berkesan kepada anak murid di peringkat rendah mahupun menengah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN