fbpx
UJAR Dr. Abd. Rahim, pemberian vaksin harus bersasar dan perlu diberi keutamaan kepada calon SPM.

Fikir risiko murid, tangguh buka sekolah 1 September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Wawancara minggu ini menemu ramah Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Abd. Rahim Razalli yang menyarankan agar pembukaan sekolah pada 1 September ini ditangguhkan hingga hujung tahun memandangkan kes positif Covid-19 harian semakin meningkat hingga mencecah angka 20,000.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan agar pemberian vaksin perlu diutamakan kepada calon peperiksaan seperti mereka yang bakal Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau turut menyentuh tentang PdPR yang perlu dilakukan penambahbaikan demi kelancarannya pada masa depan.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

 

SEJAK 15 bulan lalu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meneruskan proses pembelajaran murid-murid sekolah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat sehingga mencecah angka harian lebih 20,000 kes positif.

Baru-baru ini, KPM mengeluarkan kenyataan, sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Sekolah-sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran bersemuka mulai 1 September ini berikutan majoriti tenaga pengajar sudah divaksinasi.

Bagaimanapun terdapat pihak yang meminta perkara itu ditangguhkan terlebih dahulu ke satu tarikh yang difikirkan munasabah, memandangkan kes positif Covid-19 harian semasih banyak, selain kes kematian juga terus meningkat.

Bagi membincangkan isu ini secara lebih mendalam, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim menemu ramah Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Abd. Rahim Razalli bagi mendapatkan maklumat lanjut.

KOSMO! AHAD: Sehingga 16 Julai lalu, seramai 253,366 guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Mungkin sebab itu, KPM berpendapat sekolah boleh dibuka untuk pembelajaran secara bersemuka bermula 1 September ini secara berperingkat. Bagaimana Prof. melihat perkembangan ini?

PROF. MADYA DR. ABD. RAHIM: Bagi mengulas perkara ini, kita harus lihat kepada tiga dimensi iaitu dari sudut perkembangan positif, peratusan guru dan pelajar yang telah divaksin serta aspek risiko.
Dari sudut positif, pembukaan sekolah pada 1 September nanti memberi kelegaan kepada guru, pelajar dan ibu bapa kerana dapat belajar secara bersemuka.

Menurut kajian, kaedah pembelajaran bersemuka adalah terbaik dan efektif berbanding PdPR.

Justeru, vaksinasi kepada pelajar dan guru sangat penting sebagai perisai untuk melindungi diri daripada pandemik Covid-19.

Selain itu, kita melihat perkembangan pembangunan vaksin. Sebagai contoh, syarikat Pfizer mengeluarkan vaksin untuk mereka yang berusia 17 tahun ke bawah.

Ia merupakan salah satu cara untuk meyakini semua pihak bagi mengadakan sesi secara bersemuka.

Berbicara aspek risiko pula, yang perlu dilihat adalah berapa bilangan pelajar yang akan dimasukkan ke dalam satu kelas pada 1 September nanti dan begitu juga proses lain.

Apa dirisaukan bukanlah guru-guru, tetapi murid yang tidak menerima vaksin untuk melindungi diri mereka atau orang lain. Kita sedia maklum, anak-anak di bawah usia 17 tahun ke bawah tidak divaksin dan mereka terdedah serta berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19. Apa pandangan Prof. dalam hal ini?

Pertama sekali, kita kena yakin dengan pengumuman Menteri Kesihatan baru-baru ini bahawa beliau akan pastikan semua guru akan mendapat dos kedua apabila mereka mengajar secara bersemuka pada 1 September nanti.

Selain itu, perkembangan terkini vaksin yang mana kerajaan meluluskan vaksin Pfizer untuk diberikan kepada calon peperiksaan merupakan langkah sangat baik.
Rakyat perlu memberi sokongan kepada pembelian vaksin untuk pelajar 17 tahun dan ke bawah sekiranya pihak kerajaan sudah bersedia untuk berbuat demikian.

Di sini, saya cadangkan pemberian vaksin harus bersasar serta diberi keutamaan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam hal ini juga, pembelajaran secara bersemuka perlu diberi keutamaan kepada calon bakal menduduki peperiksaan, pelajar mengambil subjek amali dan aktiviti di makmal, manakala bagi pengajian berbentuk konsep serta teori dijalankan secara PdPR.

MENURUT Dr. Abd. Rahim, hasil kajian mendapati, ibu bapa golongan B40 lebih prihatin dan peka kepada PdPR berbanding M40.

Ada pihak mencadangkan sesi PdPR dilakukan sehingga hujung tahun ini sebelum pembelajaran secara bersemuka dilakukan berikutan kes positif dan kematian akibat pandemik Covid-19 semakin meningkat pada masa ini. Pada pandangan Prof., bilakah waktu sesuai untuk pembukaan sekolah?

Melihat kepada situasi Covid-19 pada masa ini yang mencecah 20,000 kes sehari, saya amat bersetuju jika sesi bersemuka ditangguhkan sehingga penghujung tahun ini.

Pun begitu, berbalik kepada isu yang saya telah ulas di atas, KPM harus mengutamakan golongan sasaran seperti bakal calon peperiksaan kerana mereka perlu mengikuti sukatan pelajaran mengikut masa ditetapkan.

Kita juga harus melihat dua perkara iaitu kesediaan guru seperti sistem penggiliran mengajar yang mana mereka perlu berada di sekolah bagi sesi pengajaran secara bersemuka dan fleksibel jadual waktu pengajaran.

Kedua, kita kena lihat kategori yang harus diberi keutamaan bagi pembelajaran bersemuka seperti subjek amali, sains dan robotik.

Sebenarnya, proses pembelajaran secara PdPR di sekolah tidak boleh disamakan di institusi pengajian tinggi. Ini kerana, kebanyakan guru dan murid belum bersedia menghadapi situasi pembelajaran yang memerlukan daya fokus tinggi.

Sebagai contoh, untuk pentaksiran pembelajaran dalam talian masih kurang sistem sokongan untuk melaksanakannya sehingga guru dan pelajar terpaksa bergantung kepada beberapa platform seperti Google Meet dan Zoom.

Namun, penggunaan platform tersebut mempunyai banyak halangan seperti memerlukan data internet yang sangat besar, kekurangan akses dan peralatan elektronik.
Penggunaan data yang besar dan pembelian peralatan itu memerlukan kos untuk ditanggung ibu bapa.

Terdapat juga rungutan daripada segelintir murid pada sesi PdPR yang menyatakan kurang selesa dengan sesi berkenaan dari segi pemahaman pengajaran yang diberikan. Apa sebenarnya yang berlaku kepada murid-murid ini?

Pada pandangan saya, pembelajaran secara bersemuka lebih selesa dan efektif tidak kira murid sekolah ataupun pelajar universiti.

PdPR sangat mencabar untuk mereka memahami sesuatu isi pelajaran yang disampaikan sehingga ada yang tertekan dan membosankan.

Sebagai contoh, di dalam kelas, murid boleh bertanya terus kepada guru dan pengajar boleh menerangkannya dengan lebih jelas tanpa sebarang halangan.

Berbeza dengan PdPR, mereka terhalang dengan gangguan internet dan ada ketika hanya menggunakan aplikasi WhatsApp kerana jika menerusi video, perlu menggunakan data besar yang menelan kos tinggi.

Ayat yang ingin diguna dan ditanya di WhatsApp adalah tidak sama dengan lisan, begitu juga penerangan daripada guru sehingga ia menjadi semakin mencabar dan memberi tekanan kepada kedua-dua pihak.

Begitu juga subjek dengan mata pelajaran berkaitan dengan angka dan konsep susah untuk ditunjuk. Contohnya pengiraan matematik, pengaplikasian pengkomputeran, uji kaji kimia serta robotik.

PdPR juga mempunyai masalah untuk melaksanakan penilaian kepada pelajar. Kita boleh memberikan modul bercetak, tetapi maklum balas terhadap modul agak sukar diperoleh semula.

Begitu juga bahan dimuat naik oleh guru sukar untuk murid menjawab kerana jawapan harus diisi dan perlu di muat naik dan dihantar yang juga perlukan kemudahan internet.

Sebenarnya, ramai murid tidak bersedia dalam PdPR kerana kekurangan akses internet di rumah, terutamanya mereka yang tinggal di pedalaman.

BANYAK pihak meminta agar pembukaan sekolah secara bersemuka dibuat selepas hujung tahun ini ekoran kes positif Covid-19 harian mencecah angka lebih 20,000.

Sejak PdPR diperkenalkan, sejauh mana ia berjaya mencapai matlamat untuk memberikan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan berbanding secara bersemuka kepada murid?

Jika ingin lihat keberkesanan, ia harus dibuat kajian menyeluruh untuk membuat perbanding antara kaedah PdPR dan bersemuka.

Apa yang saya lihat adalah menerusi PdPR, guru berjaya menggunakan teknologi dengan baik dan kreatif dalam menyampaikan ilmu selari dengan Pendidikan Abad ke-21 (PAK 21) dan IR.4.0.

Murid juga berjaya melaksanakannya dengan baik walaupun terdapat pelbagai halangan pada awalnyha. Mereka kini dilihat boleh menyampai dan membentangkan idea secara langsung dan mengakses bahan secara online.

PdPR banyak membekalkan ilmu baharu dan guru pula berperanan sebagai pemudah cara, tetapi kesannya kepada pelajar tidak sama.

Untuk melihat secara lebih mendalam kepada murid, ia harus dibuat kajian menyeluruh meliputi konstruk yang terdapat dalam PdPR itu sendiri seperti faktor demografi.

Ini termasuk latar belakang murid, status sosio ekonomi, kategori atau golongan keluarga, lokasi tempat tinggal dan lain-lain yang berkaitan dengan pelaksanaan PdPR.

Ingin saya kongsikan, hasil kajian skala kecil yang dilakukan oleh salah seorang pelajar Ijazah Sarjana Pendidikan di UPSI, ia mendapati ibu bapa B40 lebih prihatin dan peka kepada PdPR berbanding M40.

Bagi murid tahun 1 dan 2, mungkin ada sedikit masalah memahami pengajaran menerusi PdPR memandangkan usia begitu muda. Bagaimana Prof. melihat pencapaian mereka dalam sesi PdPR?

Pada pandangan saya, PdPR untuk murid tahun 1 dan 2 ini hanya berkesan dalam bentuk visual, tetapi mereka sukar menguasai konsep dan pemahaman.

Bagi pengajaran Matematik, kemahiran asas bermula dengan membilang yang memerlukan murid mengenal benda sebelum ke konsep atau simbol.

Justeru, pembelajaran secara PdPR kepada murid Tahun 1 khususnya amat mencabar apabila ada kemahiran dalam matematik yang memerlukan murid perlu memegang bahan untuk menerangkan konsep bilangan dan angka.

Begitu juga dalam kemahiran bahasa, murid perlu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran ini sukar dilaksanakan secara PdPR.

Selain itu, PdPR juga memberi cabaran kepada guru untuk melaksanakan prabacaan dan tulisan. Jika secara online, mereka hanya nampak tulisan di komputer dan bukan tulisan tangan sebenar.

Guru-guru juga akan melakukan pelbagai aktiviti seperti menyanyi, berlakon dan sebagainya supaya murid cepat faham, tetapi tiada aura itu jika menerusi PdPR.

Pembelajaran PdPR menghalang murid tahun 1 dan 2 untuk memahami sesuatu perkara dengan mendalam.

Lebih membimbangkan bagi murid berkeperluan khas kerana mereka banyak menggunakan deria untuk belajar, tetapi perkara itu menjadi sukar dalam pembelajaran online.

Bagaimanapun, dengan usaha gigih dan kaedah multisensori serta gaya belajar bercirikan visual, auditori dan kinestatik yang digunakan oleh guru Pendidikan khas dalam PdPR membantu mereka meneruskan pembelajaran dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN