fbpx
GAMBAR kenangan Mohd. Yassin (depan, empat dari kiri) dan Halijah (depan, enam dari kiri) bersama anak-anak serta cucu mereka.

‘Saya tak tahu di mana dapat Covid-19’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPIN – Tidak pernah terba­yang oleh seorang wanita apabila terpaksa berhadapan satu ­situasi luar jangkaan apabila 21 ahli keluarganya disahkan telah di­jangkiti Covid-19.

Lebih menyayat hati apabila ibu bapanya, Mohd. Yassin Mansor, 74, dan Halijah Amin, 70, turut terkorban angkara virus pembunuh itu.

Noorsafurah Mohd. Yassin, 35, berkata, enam daripada lapan beradiknya telah dijangkiti Co­vid-19 termasuk dirinya yang merupakan anak ketujuh.

Pada mulanya dia membe­ritahu, kakaknya yang menetap di Seremban bersama seorang menantu lelaki serta dua anak­nya termasuk seorang yang sedang mengandung yang terlebih dahulu dijangkiti Covid-19 pada Mei lalu.

Bagaimanapun, pada 24 Jun lalu, Noorsafurah yang bekerja dalam sektor swasta pula me­ngalami gejala demam sebelum tekak serta hidungnya mulai berasa perit pada 27 Jun lalu.

“Kemudiannya saya melakukan ujian calitan di Hospital Tampin dan keesokan harinya iaitu pada hari jadi saya, keputusan saringan keluar dan saya di­sahkan positif Covid-19.

“Saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh dijangkiti kerana sebelum ini, saya hanya berulang-alik ke tempat kerja dan membawa ibu ke pusat vaksin di Gemas pada 22 Jun lalu.

“Bapa pula ketika itu baru sahaja keluar dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah setelah menerima rawatan atas pelbagai penyakit termasuk diabetes,” katanya ketika ditemui di Pekan Tampin di sini semalam.

Noorsafurah yang baru sahaja kematian suami akibat jangkitan paru-paru setahun lalu berkata, setelah dia disahkan positif Co­vid-19, kesemua 23 ahli keluarga yang menetap bersama serta tinggal berdekatan rumahnya kemudian diarahkan menjalani ujian calitan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 17 daripada ahli keluarga termasuk ibu bapa serta empat anaknya yang berusia antara empat hingga 12 tahun turut positif Covid-19.

“Abang ipar saya yang bertugas sebagai frontliner juga positif Covid-19, tetapi kesannya tidak teruk kerana dia sudah lengkap dua dos suntikan vaksin dan hanya dikuarantin di rumah,” ujarnya.

Noorsafurah berkata, pada 28 Jun, hasil ujian calitan mendapati, bapanya juga positif koronavirus dan kemudian dibawa ke HTAN sebelum dipindahkan ke Hospital Jelebu kerana memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, bapanya disahkan meninggal dunia pada 3 Julai lalu.

“Kejadian ini benar-benar mengejutkan kami sekeluarga. Betapa sedihnya saya kerana saya memang tinggal bersama bapa di Rumah Rakyat Repah di sini walaupun sudah berkahwin.

“Saya lihat bagaimana ayah mempunyai semangat yang begitu kuat melawan sakitnya setelah disahkan mempunyai ketumbuhan di otak pada tahun 2007, namun meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya.

Menurut Noorsafurah, ibunya pula disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban tiga hari selepas kematian bapanya.

“Ada juga yang menimbulkan prasangka bahawa saya menjadi penyebab semua ini terjadi sehingga mengorbankan nyawa ibu bapa saya.

“Namun, saya kuatkan diri dan adik-beradik saya juga memberi kata-kata semangat untuk saya lebih positif menghadapi ujian ini.

“Saya amat berharap agar orang ramai dapat terus mematuhi prosedur operasi standard dan lokasi paling selamat ketika ini adalah di rumah ma­sing-masing,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN