Oleh PROF. MADYA DR. NORDIN MAMAT
SESI Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.
Ini bagi membolehkan sesi pembelajaran diteruskan meskipun negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19 yang tidak kunjung padam.
Cuma semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, terdapat suara-suara mengatakan, ibu bapa yang berada di sisi anak dianggap mengganggu pengajaran guru dan juga pembelajaran ketika sesi PdPR berlangsung.
Bagi menjawab persoalan ini, satu kajian dibuat tentang sejauh mana isu ini benar atau setakat cakap-cakap dalam kalangan ibu bapa atau guru-guru semata-mata.
Berdasarkan dapatan kajian, kebanyakan guru berpendapat bahawa ibu bapa perlu yakin dengan proses pembelajaran anak melalui PdPR.
Mereka sebaiknya tidak terlalu mengganggu privasi anak-anak dan guru semasa sesi berkenaan bagi melancarkan lagi proses pembelajaran.
Rata-rata ibu bapa pula berpendapat, mereka kena yakin pada guru dengan membiarkan anak-anak belajar dengan tenang tanpa sebarang tekanan atau gangguan.
Namun, agak berbeza pandangan sesetengah guru yang mengatakan, ibu bapa digalakkan untuk bersama anak-anak semasa sesi PdPR, terutamanya bagi murid tahun 1 dan 2.
Pada peringkat usia ini, kata mereka, anak-anak memerlukan bantuan ibu bapa dalam memahami apa yang diajar.
Ibu bapa boleh duduk bersama selagi tidak mengganggu sesi tersebut dan membantu membuat kerja rumah anak-anak.
Realitinya di sini, ibu bapa berada di sisi anak-anak semasa PdPR adalah satu keperluan kepada murid darjah 1 dan 2, manakala menjadi gangguan kepada anak-anak yang lebih besar.
Dalam isu ini, apakah punca dan jalan penyelesaian untuk menanganinya?
Berikut adalah dapatan daripada pandangan ibu bapa yang boleh dikategorikan kepada tiga iaitu pertama, mereka bersama anak-anak untuk mengajar kemahiran menggunakan peranti atau komputer, selain menguruskan diri sendiri.
Bukan semua kanak-kanak mempunyai kemahiran menguruskan diri dengan baik.

Begitu juga dengan menguruskan peranti atau komputer untuk mengikuti kelas PdPR, ada yang boleh melakukannya sendiri dan ramai sebenarnya tidak mampu berbuat demikian pada usia begitu muda.
Dalam hal ini, ibu bapa ada bersama anak-anak untuk memantau perjalanan kelas supaya tidak ada gangguan.
Sebagai contoh, ada ketikanya semasa menjawab soalan, guru tidak dapat mendengar apa yang murid pertuturkan dan ketika inilah, peranan ibu bapa dapat membantu perjalanan kelas menjadi lancar.
Kadang-kadang semasa guru mengatakan sesuatu, mereka tidak dapat mendengar dengan jelas.
Keduanya pula, anak-anak yang didampingi ibu bapa semasa PdPR adalah untuk memastikan mereka fokus dalam pembelajaran.
Perlu diingat, pada peringkat tahun 1 hingga 2, anak-anak cepat hilang fokus.
Justeru, kebanyakan ibu bapa yang mana anak-anak mereka berumur tujuh dan lapan tahun menjelaskan, perlu berada bersama kerana bimbang anak-anak mereka tidak belajar seperti diharapkan.
Tidak dinafikan, agak sukar bagi kanak-kanak tahun 1 dan 2 untuk fokus dalam PdPR kerana ini adalah norma baharu buat mereka.
Apatah lagi mereka hanya belajar bersemuka beberapa bulan sahaja semasa sesi persekolahan formal.
Seterusnya, jika anak-anak sudah boleh menguasai kemahiran menguruskan peranti atau komputer, ibu bapa akan membiarkan mereka mengikuti sesi PdPR tanpa ditemani, biasanya bagi yang berumur 10 dan 11 tahun.
Jangan lupa, kita perlu mengajar anak-anak menguruskan diri seperti masa belajar mereka melalui jadual, menerapkan etika ketika belajar dan membimbing penggunaan komputer semasa sesi PdPR.
Apa yang paling penting adalah mengajar anak-anak kita tentang fokus yang selalunya melalui ganjaran positif.
Sebagai ibu bapa, kita semua masih belajar mengendalikan pembelajaran secara online.
Begitu juga dengan guru, PdPR adalah perkara baharu dalam dunia pendidikan di negara ini.
Jangan beranggapan semua guru mempunyai kebolehan menguruskan semuanya dengan baik dalam tempoh singkat.
Seperti anak-anak dan ibu bapa, guru-guru sebenarnya masih dalam proses belajar dalam membina bahan bantu PdPR.
————————————————————————————————————————
PROF. Madya Dr. Nordin Mamat ialah
Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris,Tanjung Malim, Perak.















