fbpx
IBU kepada empat orang cahayamata ini juga merupakan presiden kelab permotoran, UKM Bikers.

Motosikal besar juga dunia untuk wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIRINYA sering dilihat di kaca televisyen dan dada akhbar atas semangatnya membincangkan isu-isu semasa berkaitan masalah kesihatan masyarakat di negara ini secara serius dan terperinci.

Sebut sahaja nama Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, ramai yang mengenalinya sebagai Pakar Kesihatan Awam.

Di sebalik kesibukan beliau yang juga merupakan Timbalan Dekan di Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ibu kepada empat orang cahaya mata itu sebenarnya aktif dalam kelab motosikal berkuasa tinggi.

Beliau adalah Presiden bagi kelab motosikal berkuasa tinggi UKM Bikers.

Bercerita kepada Aura, menurut wanita yang berasal dari Johor ini, beliau mula berjinak-jinak dengan aktiviti permotoran yang sering dimonopoli golongan lelaki ketika masih di bangku sekolah lagi.

“Pada waktu itu, motosikal yang dinaiki tidaklah besar seperti sekarang. Sebagai contoh, pada zaman tersebut, motosikal seperti Yamaha RXZ dan Suzuki Panther merupakan ikon dan agak trendy.

“Biasanya saya menunggang motosikal untuk ke kelas dan memudahkan pergerakan kerana ia lebih murah berbanding kereta.

“Bagaimanapun, dengan peningkatan tahap ekonomi masa kini menyaksikan pasaran motosikal lebih luas. Kenderaan tersebut mempunyai lebih banyak varian dengan pelbagai kuasa, saiz, bentuk dan kesesuaian enjin,” ceritanya.

BUKAN sekadar hobi, UKM Bikers turut memberi input berguna kepada umum tentang dunia
permotoran.

Ketika masih baru berjinak-jinak dengan dengan dunia permotoran, wanita ini mengakui pernah terlibat dalam kemalangan, selain kulitnya
terbakar akibat terkena ekzos motosikal. Paling teruk apabila kakinya juga pernah patah selepas terbabit dengan kemalangan.

Tidak menjadikan kejadian itu sebagai titik noktah, Dr. Sharifa masih berani mengendalikan kenderaan itu dan menunggang motosikal yang lebih tinggi CC sehingga ke hari ini.

Aktif dalam aktiviti permotoran berkuasa tinggi, Dr. Sharifa mengakui, golongan wanita masih kurang melibatkan diri dalam dunia tersebut
atas sebab-sebab tertentu.

“Bermotosikal ini dikatakan aktiviti yang kurang selamat berbanding kereta. Dari segi kecederaan atau kemalangan, kenderaan ini sangat berisiko tinggi.

“Tidak dinafikan mungkin disebabkan risiko-risiko ini jugalah, menyebabkan keluarga atau komuniti seperti ibu bapa, suami dan keluarga kurang memberi sokongan kepada wanita untuk menyertainya.

“Tidak kurang juga ada yang beranggapan minat terhadap kenderaan ini juga kadang-kala mengundang pandangan sinis daripada masyarakat setempat yang menganggap ia hanyalah membazir masa, wang dan tumpuan,” jelasnya.

Dr. Sharifa bagaimanapun bersyukur kerana minatnya dalam aktiviti tersebut disokong sepenuhnya oleh keluarga.

Bahkan, selain berkonvoi bersama rakan sekerja menerusi UKM Bikers, dia juga sering berkonvoi bersama suami dan anak lelakinya.

“Ketika berkonvoi, saya cuba untuk mengisi masa tersebut dengan aktiviti komuniti selain menjaga batas sebagai seorang wanita berkeluarga.

“Bagi saya, aktiviti bermotosikal ini mempunyai manfaat tersendiri. Selain dapat mengurangkan stres, ia juga merupakan antara aktiviti riadah yang baik untuk minda dan terapi jiwa.

“Ini kerana, sewaktu menunggang, kita berasa rapat dengan alam dengan menikmati pemandangan yang indah ciptaan Tuhan,” kongsinya.

Katanya, bukan sekadar hobi dan mengisi masa lapang, sebaliknya kelab permotoran UKM Bikers dapat dijadikan sebagai platform untuk menyampaikan maklumat mengenai kaedah permotoran selamat dan berhemah kepada masyarakat, terutamanya dalam kalangan belia di negara ini.

“Negara kita mencatatkan kematian tertinggi akibat cara menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya. Ini bukan sahaja kerana sikap penunggang motosikal itu sendiri, tetapi juga akibat sikap tidak endah pengguna jalan raya lain.

“Sebagai penunggang motosikal, kita hendaklah membawa imej bersih dan bertindak menurut undang-undang.

“Isunya disini, kena perbetulkanmpersepsi masyarakat terhadap ‘mat motor’ yang dianggap membahayakan orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN