fbpx

Balada sulung Amelina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMELINA

MENGGAYAKAN busana ranggi bertema jumpsuit berona hitam dengan olahan gaya rambut ponytail ala Ariana Grande, pada rembang petang tempoh hari si ratu dangdut Amelina dikerumuni para wartawan bagi meraikan kedatangan buah tangan baharunya, Ada Untukmu.

Menariknya, lagu ciptaan sepenuhnya Aepul Roza tersebut merupakan naskhah perdana berentak balada yang dirakamkan pemilik nama sebenar, Norazlina Amir Sharipuddin itu, selepas lebih dua dasawarsa berpayungkan muzik dangdut dalam kariernya.

Bukan beralih arah

Kata Amelina, 46, percubaan merakamkan lagu berentak balada bukanlah bermakna dia sudah meninggalkan dunia dangdut yang sangat sinonim dalam hidupnya sejak mula bergelar anak seni.

“Bukan beralih arah atau berhijrah sepenuhnya. Saya cuma ingin mencuba sesuatu yang baharu. Saya buat semua ini pun untuk peminat.

“Tambahan pula, lapan minggu bertanding dalam Gegar Vaganza musim kelima (GV5), banyak ilmu yang saya telah pelajari. Jadi, sementara masih ‘basah’ dengan ilmu GV5, lebih baik saya rakam sebuah lagu untuk peminat yang banyak memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya,” katanya seraya memberitahu rakaman Ada Untukmu dijalankan sekitar Januari tahun lalu.

Ditanya bagaimana seorang pendangdut sepertinya menghadirkan emosi balada terutama ketika menyanyikan lagu berkenaan di atas pentas, jawab Amelina, tugas tersebut agak sukar kerana dangdut sangat sebati dalam dirinya.

 

 

TIDAK menaruh impian tinggi melangit untuk menamatkan zaman janda dalam tempoh terdekat, Amelina bagaimanapun mengharapkan doa yang baik-baik daripada peminat seandai masih ada jodoh untuknya.

“Rentak balada menekankan penghayatan jiwa. Dangdut lain pula ceritanya. Menyanyikan lagu berentak balada lebih ke arah menceritakan sesuatu kepada pendengar.

“Lontaran suara juga perlu lebih mantap dan teratur. Sewaktu memulakan proses rakaman, saya terpinga-pinga namun Aepul banyak membantu ketika di dalam studio.

“Lagu ini lagu baharu, berbeza dengan lagu orang lain yang pernah saya nyanyikan ketika di pentas GV5 atau di mana-mana persembahan. Mungkin ada mudah terima, mungkin juga sebaliknya.

“Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan, balada yang mahu saya kongsikan dan sampaikan lebih cenderung ke arah pop Indonesia. Lebih kurang begitulah,” kata wanita kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu.

Berat badan

Demi single yang mempertaruhkan jatuh bangunnya dalam industri, Amelina nekad menurunkan berat badan agar penampilannya lebih anggun dan kembali ‘bergetah’.

Dalam tempoh yang agak singkat dia berjaya menurunkan lebih lima kilogram (kg).

“Berat badan saya turun daripada 70 kg kepada 64 kg. Sekarang saya kena lebih berdisiplin dalam soal makanan dan gaya hidup.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula diwartakan, saya agak tertekan dan berat badan sedikit naik, namun apabila keadaan kembali terkawal, saya nekad untuk terus berdisiplin dan turun berat lebih banyak,” tuturnya.

Terlanjur berbicara soal imej diri, Amelina berkata, dia inginkan penampilan baharu sesuai dengan produk seni yang dikongsi dengan peminat.

“Saya nak juga nampak muda macam orang lain (tertawa), bukan muda sangat pun, namun saya cuba bawakan penampilan lebih segar untuk single baharu ini dan khas buat para peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan,” luahnya.

 

OGOS 2020 merakamkan sejarah tersendiri buat Amelina apabila buat julung kali melancarkan sebuah lagu balada setelah 27 tahun bergelar penyanyi dangdut.

 

Teman lelaki

Melihat senyuman menguntum di bibirnya, Amelina nyata tidak mampu menyembunyikan status hatinya yang sedang ditawan.

Tanpa banyak desakan, wanita anak enam itu mengesahkan sedang fasa mengenali hati budi seorang lelaki berstatus ahli perniagaan.

Pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin, 46, itu bagaimanapun enggan memperincikan gerangan lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

“Jujurnya, kami sedang mengenali hati budi. Kalau ada jodoh, insya-Allah. Doakan sahaja yang baik-baik.

“Kalau orang tanya, adakah tahun ini saya akan berkahwin, saya tiada kuasa untuk memberikan jawapan. Allah Maha Kaya, soal jodoh ialah ketentuan-Nya,” kata Amelina.

Bercakap tentang keseriusan, pelantun lagu Asyik itu tidak menolak ada menyimpan hasrat untuk berkahwin sekali lagi, namun anak-anak menjadi keutamaan.

“Anak-anak selesa dengan dirinya. Orang (lelaki) yang ingin hidup dengan saya, perlu terima orang di sekeliling saya.

“Dia tidak kuat cemburu dan tidak sombong. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” ujarnya ringkas.

Lama dahulu, Amelina pernah mendirikan rumah tangga dengan Reduan Mahmood namun perkahwinan penuh cerita tersebut berkecai pada 2016.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur Athirah, 19, Putera Al Affiq, 18, Putera Al Asyraff, 17, Puteri Nur Asyurah, 15, Putera Al Arffa, 13, dan Putera Al Amzar, 8.

Sementara itu, lagu Ada Untukmu boleh dilayari dan dimuat turun secara rasmi menerusi semua platform digital antaranya Spotify, Joox, Kkbox dan iTunes bermula 7 Ogos lalu.
Klip muziknya pula telah dilancarkan dalam saluran YouTube Nova Music pada hari yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI