fbpx
VIOS GR-S yang diinspirasikan daripada festival perlumbaan kereta Gazoo Racing ini merupakan varian tertinggi Vios yang mula diperkenalkan pada penghujung tahun lalu.

Vios GR-S bukan sembarangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOYOTA Vios yang mula diperkenalkan di seluruh dunia pada tahun 2002 merupakan sebuah sedan dalam segmen B.

Model ini turut dikenali dengan nama Yaris sedan dan Belta di beberapa negara lain. Generasi pertama Vios di Malaysia mendapat sambutan menggalakkan sejak ia diperkenalkan.

Pada penghujung tahun lalu, UMW Toyota Malaysia telah memperkenalkan varian tertinggi Vios iaitu Vios GR-Sport (GR-S) untuk pelanggan di Malaysia.

Penulis difahamkan, model itu dihasilkan menerusi penglibatan Toyota Vios dalam acara perlumbaan Vios Challenge di Festival Toyota Gazoo Racing di negara ini.

REKA bentuk hadapannya yang sporty.

GR ialah merujuk kepada Gazoo Racing. Festival Gazoo Racing dilangsungkan sebagai arah tuju global yang mencerminkan aspirasi Toyota untuk menganjurkan sukan permotoran melalui penglibatan model itu dan beberapa model Toyota lain.

Ia kemudiannya diterjemahkan kepada penghasilan produk yang lebih baik yang terbentuk daripada kekuatan serta kreativiti tenaga kerjanya. Maka terhasillah varian-varian berprestasi, GR.

UMW Toyota Motor mempunyai barisan produk yang kuat untuk pasaran tempatan bagi segmen kenderaan berprestasi di Malaysia antaranya GR Yaris dan GR Supra.

Dari sudut ketahanan, ia telah dibuktikan Vios sejak dilancarkan 19 tahun lalu. Tambahan pula, model Vios juga telah digunakan dalam siri pelumbaan Vios Challenge yang berlangsung bukan saja di Malaysia, bahkan di Thailand dan Filipina.

Penulis dimaklumkan, apa yang dilakukan oleh Toyota terhadap Vios GR-S adalah untuk membawanya ke satu tahap berbeza, bukan versi edisi khas yang lazim dilakukan di Malaysia dengan keutamaan kepada perubahan kosmetik semata-mata.

JENTERA sedan ini direka dengan menonjolkan ciri sporty dalam masa yang sama mementingkan keselesaan.

Varian GR-S itu dibangunkan dengan membawa DNA Gazoo Racing yang memberi tumpuan kepada penghasilan sebuah kereta lengkap dengan kenikmatan pemanduan pada harga mampu milik.

Vios GR-S bukan semata-mata mempunyai lencana GR, tetapi spesifikasi pada model itu membuatkan ia layak untuk menyarung lencana berprestasi tersebut.

Menurut Duta GR, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel, walaupun Vios GR-S bukanlah jelmaan sepenuhnya jentera lumba Vios Challenge, pengalaman luas dalam perlumbaan itu serta pengetahuan teknikal yang diperoleh telah dipindahkan kepadanya.

“Ia boleh dikatakan sebagai bayangan kepada jentera lumba Vios Challenge. Walaupun Vios GR-S menawarkan pengalaman pemanduan kereta bersifat sporty yang mengujakan, ia juga tidak berkompromi dalam aspek keselesaan. Ia versi jentera lumba diperhalusi yang memberikan anda yang terbaik pada kedua-dua aspek itu. Memang seronok memandunya,” katanya semasa majlis pelancaran Vios GR-S sebelum ini.

Kereta itu merupakan model pertama Toyota bervarian GR-Sport atau GR-S yang dikeluarkan oleh UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di kilang Bukit Raja, Klang.

LOGO GR tersulam pada perehat kepala di tempat duduk di ruang dalam kereta.

Perbezaan daripada varian-varian ialah ialah Vios GR-S menampilkan aerokit agresif yang memiliki bentuk bampar depan mirip GR Yaris. Sementara itu, bampar belakangnya lengkap dengan diffuser, spoiler hitam, skirting sisi, cermin sisi berwarna hitam berserta rim bersaiz 17 inci dengan tayar 205/45.

Sistem suspensi dengan talaan sport pula memberikan kendalian, kestabilan dan keselesaan ketika memandu pada kelajuan tinggi. Model ini menggunakan enjin 1.5 liter dengan kod 2NR-FE, sama dengan varian lain tetapi apa yang membezakannya ialah Vios GR-S hadir dengan transmisi CVT 10 kelajuan bersama mod sport. Gabungan itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 107PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 140Nm pada 4,200rpm.

JARUM merah dengan animasi GR pada paparan meter optitron mempesona,

Masuk ke ruang kabin, Vios GR-S menawarkan ruang dalaman lebih selesa dengan latar warna hitam berbenang merah pada kerusi kulitnya, logo GR yang tersulam pada perehat kepala, stereng tiga jejari berbalutan kulit, tombol gear berbalutan kulit dan pengalas kaki yang mampu memberikan aura pelumba kepada si pemandu.

Bukan itu sahaja, butang penghidup enjin juga berlogo GR sementara panel meter optitron datang dengan jarum merah. Paparan dengan pelbagai maklumat bersaiz 4.2 inci tersebut turut hadir dengan animasi GR.
UMW Toyota menawarkan dua warna Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic untuk pilihan pembeli varian GR-S.

Promosi terkini yang ditawarkan UMW Toyota ialah yuran tempahan serendah RM500 yang boleh dibuat secara online. Terdapat juga showroom maya untuk memudahkan orang ramai meninjau kenderaan ini dalam suasana pandemik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN