fbpx
FLAT Sri Sabah di Kuala Lumpur antara kawasan perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 3 Julai lalu. – Gambar hiasan

Flat padat lubuk Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh RASDAN AHMAD, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI dan MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

PETALING JAYA – Kawasan penempatan penduduk terutama di perumahan flat dan pangsapuri di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berpotensi untuk menjadi lubuk kepada penularan jangkitan Covid-19.

Situasi bertambah buruk apabila kebanyakan flat dan pangsapuri di kedua-dua negeri itu dikesan menjadi tumpuan warga asing yang bekerja di kilang-kilang berhampiran untuk tinggal dengan men­yewa rumah.

Selain keadaan rumah yang sempit, penghuni flat dan pangsapuri juga terpaksa berkongsi kemudahan lain di bangunan berkenaan seperti lif dan tangga, sekali gus mendedahkan risiko berlakunya penularan Covid-19.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kebanyakan perumahan flat menjadi tumpuan golongan berpendapatan rendah dan warga asing asing kerana kos sewanya yang agak murah.

Seorang penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kuala Lumpur, Azrin Muhammad, 34, berkata, penem­patan seumpama itu memang cukup popular dalam kalangan golongan bujang dan warga asing untuk dijadikan kediaman.

Jelasnya, untuk mendapatkan sewa murah, sebuah rumah itu akan dikongsi penghuni yang ramai sehingga melebihi 10 orang.

“Apa yang merisaukan apabila rumah yang kecil didiami oleh jumlah penghuni yang ramai.

“Keadaan ini yang membimbangkan, sebab ramai warga ­asing bekerja di kilang dan tapak pembinaan. Saya risau, virus ini boleh merebak dengan mudah dan turut mengancam penghuni warga tempatan,” jelasnya kepada Kosmo! semalam.

KEPADATAN penduduk di kawasan penempatan seperti rumah flat dan pangsapuri di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor dibimbangi menjadi tempat penularan Covid-19. – GAMBAR HIASAN

Bagi seorang penduduk di Flat Sri Sentul, M. Gopalan, 52, dia cukup bimbang dengan situa­si berkenaan apabila banyak rumah flat telah dihuni oleh warga asing dan menjadi tempat mereka berkumpul.

“Sebagai contoh di kawasan rumah saya, setiap hujung ming­gu saya dapat lihat ramai individu yang tidak dikenali datang. Saya tidak tahu mereka dari mana, tetapi semuanya berkumpul dalam satu rumah.

“Saya bimbang mereka yang datang ini akan mencetuskan jangkitan di perumahan berke­naan. Mereka juga jarang mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang betul,” jelasnya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa buah rumah yang menjadi tempat mengasuh kanak-kanak turut dikhuatiri menjadi punca penyebaran pendemik ini.

“Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka kebanyakannya adalah orang luar dan ba­nyak yang bekerja di kilang. Kami risau sekiranya mereka adalah pembawa dan anak-anak mereka bergaul dengan anak-anak kami di sini,” katanya.

Di Selangor, tinjauan di beberapa buah flat dan pangsapuri di sekitar Shah Alam dan Klang mendapati, ramai penghuni sewenang-wenangnya melanggar SOP termasuk bebas berkeliaran di kawasan sekitar.

Apa yang memeranjatkan apabila ada segelintir ibu bapa berani membenarkan anak mereka bermain di padang permainan, manakala penghuni warga asing pula gemar melepak beramai-ramai di kawasan perumahan itu.

Menurut seorang penduduk dikenali sebagai Azlee, 25, dia sendiri pernah menegur beberapa remaja yang melepak di bawah rumahnya, tetapi tidak diendahkan.

“Remaja ini memberi alasan mereka bosan, tetapi mereka tidak tahu perbuatan itu boleh menyebabkan berlakunya penyebaran Covid-19.

Sementara itu, seorang penduduk flat dikenali sebagai Shamsuddin, 35, berkata, situasi paling sukar apabila penduduk terpaksa berkongsi kemudahan seperti tangga dan lif dengan penghuni lain yang tidak diketahui status kesihatan mereka.

“Kami tiada pilihan lain ke­rana ini sahaja laluan yang ada untuk kami turun dan naik ke rumah. Biasanya, lif akan penuh pada waktu puncak dan ada dalam kalangan penghuni yang sanggup menggunakan tangga bagi mengelak bersentuhan,” jelasnya.

 

Ruang sempit, penduduk ramai boleh cetus jangkitan

 

PETALING JAYA – Penduduk yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah seperti flat dan Program Perumahan Rakyat (PPR) amat terdedah dengan jangkitan Covid-19 kerana kepadatan penduduk boleh mence­cah sehingga 10,000 hingga 15,000 orang.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, disebabkan kepadatan itu, kebanyakan perumahan itu kini diletakkan sebagai kawasan yang berisiko tinggi dan mudah terdedah dengan penularan Co­vid-19.

Beliau berkata, selain kepadatan penduduk, ruang sempit di kebanyakan kawasan ber­kenaan juga memudahkan penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk selain pergerakan keluar masuk penghuni yang tinggi setiap hari.

“Sebagai contoh, kita lihat kebanyakan rumah flat dan PPR ini sempit dan penghuninya pula ramai, rumah pula dekat-dekat (berhimpit), tiada ruang peng­udaraan yang sempurna.

“Pelbagai kemudahan dikongsi bersama seperti lif dan tangga. Jika tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) semasa menggunakan kemudahan ini, risiko penularan wabak ini semakin mudah,” katanya kepada Kosmo!.

DR. ZAINAL ARIFFIN

Zainal Ariffin berkata, keba­nyakan penduduk di kawasan perumahan yang padat bekerja di kawasan yang berisiko tinggi se­perti kilang dan berniaga di tepi jalan. Ini akan menyebabkan mereka terdedah untuk bertemu dengan orang ramai.

“Jika mereka ‘membawa’ pulang Covid-19 semasa balik ke rumah, sudah tentu penghuni lain termasuk ahli keluarga, jiran dan akan terdedah sama.

“Selain penularan dalam kawasan perumahan, ia juga boleh merebak ke kawasan komuniti setempat, contohnya jika penghuni ini keluar membeli di kedai atau keluar bekerja di kilang-kilang,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan komuniti kawasan perumahan ini supaya mengawal pergerakan keluar masuk dan selalu memantau SOP penghuni agar penempatan mereka tidak menjadi ‘lubuk’ Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN