LONDON – Itali mara ke final dengan langkah bergaya apabila sekali lagi menumbangkan Sepanyol di pentas Euro hasil kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepak penalti selepas terikat 1-1 pada masa tambahan di Stadium Wembley sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Azzurri merekodkan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir sebanyak empat kali dan berpeluang untuk menjulang trofi Euro buat kali kedua selepas kali pertama memenanginya 53 tahun lalu pada edisi 1968.
Pada perlawanan tersebut, Itali dilihat mengawal permainan dengan baik dan berpeluang untuk menjaringkan gol pada minit keempat, namun larian Nicolo Barella telah dikesan ofsaid.
Tersentak dengan keadaan itu, Sepanyol tampil dengan permainan lebih tersusun dan hampir membuka jaringan pembukaan pada minit ke-19, namun Mikel Oyarzabal gagal mencari penyudah terbaik.
Sepanyol yang dibimbingi Luis Enrique terus melakukan asakan pada 25 minit pertama perlawanan dan hampir merobek gawang Itali.
Bagaimanapun rembatan deras Dani Olmo dalam kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol Azzurri, Gianluigi Donnarumma.
Pada penghujung separuh masa pertama, Emerson hampir menjaringkan gol, tetapi rembatan kencangnya sekadar menuju ke palang gol sebelah kiri dan keputusan tanpa jaringan kekal pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Sepanyol tidak langsung mengendurkan serangan, bagaimanapun percubaan kapten Sepanyol, Sergio Busquets pada minit ke-52 sekadar melepasi palang gol.
Akhirnya, Itali berjaya mendahului perlawanan apabila rembatan kencang kaki kanan Federico Chiesa ketika melakukan serangan balas berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-61 dengan menewaskan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.
Bagaimanapun, Sepanyol berjaya mengheret perlawanan hingga masa tambahan selepas kemasukan penyerang sensasinya, Alvaro Morata pada babak kedua menjadi senjata berbisa skuad La Roja apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke ke-80.
Itali hampir mencetak kemenangan pada permainan masa tambahan tetapi jaringan Domenico Berardi terlebih dahulu dikesan ofsaid pada minit ke-110.
Kedua-dua pasukan akur masih gagal menjelmakan sebarang gol kemenangan dalam tempoh 120 minit masa tambahan dan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Pada penentuan sepakan penalti, Sepanyol dilihat gagal mengambil peluang atas kegagalan pemain pertama Itali, Locatelli menyempurnakan penalti selepas Simon bijak menyelamatkan rembatan rendah pemain itu.
Lebih malang, dua pemain Sepanyol iaitu Dani Olmo dan Morata turut gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus memberi kemenangan buat Itali dengan keputusan 4-2. – K! ONLINE