fbpx
KEJADIAN ternampak ‘kelibat’ kanak-kanak berlari dalam pesawat memberikan kesan mendalam pada diri Zam. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Ternampak hantu budak berlari dalam pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENAIKI kapal terbang ke mana-mana destinasi adalah impian setiap orang untuk merasai sendiri pengalaman mempelajari budaya asing, selain menikmati pemandangan mengujakan.

Selama ini, tidak pernah terjangkau dalam fikiran kita bahawa kapal terbang yang berada di awan biru juga menyimpan pelbagai kisah misteri menyeramkan bagi sesiapa yang mengalaminya.

Itulah yang pernah terjadi kepada seorang bekas pramugara sebuah syarikat penerbangan di negara ini yang hanya mahu dikenali sebagai Zam.

Menurutnya, kejadian itu berlaku 20 tahun lalu yang mana pada ketika itu beliau baru memulakan kerja.

“Sepanjang lebih dua dekad bertugas sebagai kru kabin, terdapat pelbagai peristiwa aneh yang saya alami.

“Antara kejadian misteri yang sukar saya lupakan adalah ketika bertugas untuk penerbangan tempahan khas bagi menghantar dan membawa pulang jemaah haji,” cerita anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Jelasnya, kesemua peristiwa itu berlaku ketika penerbangan pulang dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada waktu malam.

Menurutnya, salah satu kejadian menyeramkan yang pernah ditempuh adalah ketika membawa pulang jemaah haji ke tanah air.

Pada ketika itu, kesemua penumpang terdiri daripada remaja dan orang dewasa dan tiada seorangpun kanak-kanak.

Jelasnya, ketika menghidangkan makan malam untuk para penumpang, tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang kanak-kanak berlari-lari dalam pesawat tersebut.

“Paling menyeramkan, ketika menghampirinya, kanak-kanak itu ghaib secara tiba-tiba dan saya terasa dilanggar olehnya,” ujar lelaki itu sambil memberitahu, perjalanan dari Jeddah ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang sembilan hingga 10 jam.

Dalam pada itu, kata Zam, kejadian misteri seterusnya adalah ketika penerbangan pulang ke Kuala Lumpur selepas menurunkan jemaah haji dan ketika itu dalam pesawat hanya ada anak kapal.

“Kami tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan dari tempat duduk penumpang, tetapi apabila diangkat tiada sebarang balasan kedengaran.

“Berasa curiga dengan panggilan tersebut, saya ke bahagian penumpang untuk memeriksa dan terkejut melihat lampu menyala di salah satu tempat duduk,” terang bapa kepada dua orang cahaya mata itu.


KEJADIAN misteri dan menakutkan turut terjadi dalam pesawat yang terbang tinggi di awan biru. – GAMBAR HIASAN

Pada mulanya dia menyangka itu hanya kejadian biasa dan bertindak memadam lampu tersebut, tetapi ia menyala semula dengan sendiri walaupun hampir tiga kali menutupnya.

Dengan semena-mena, bulu romanya meremang dan dia bergegas memaklumkan perkara itu kepada seorang kru kabin senior.

“Dia suruh saya bertenang. Rupa-rupanya sebelum ini pernah terjadi kejadian ‘tetamu tidak diundang’ itu dan kami diarahkan melayannya seperti penumpang lain.

“Dalam keadaan menggigil, saya membawa segelas air dan membiarkan lampu itu menyala sehingga mendarat di Kuala Lumpur,” katanya.

Sehingga kini, dia tidak tahu siapa sebenarnya penumpang misteri tersebut dan difahamkan syarikat penerbangan lain juga mengalami peristiwa serupa.

Seperti biasa, apabila diceritakan kepada rakan-rakan lain, ternyata mereka juga mengalami perkara sama.

Mereka menasihatkan Zam supaya tidak terlalu memikirkan perkara itu, makhluk ghaib ada di mana-mana.

Apa yang penting perlu menjalankan tugas dengan baik serta jangan terlalu takut dengan mereka.

Tidak kurang juga ada yang berseloroh dengan mengatakan, ia (mahkluk itu ) ingin berkenalan dengan Zam.

Walau apapun terjadi, peristiwa-peristiwa tersebut merupakan asam garam bergelar anak kapal dan mereka perlu tempuhi dengan berani serta berlapang dada.

————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN