PETALING JAYA – Siapa sangka kehidupan mewah dan serba lengkap yang dinikmati segelintir golongan berpendapatan tinggi bertukar 360 darjah apabila mereka kini terjerumus dalam kelompok rakyat susah kesan penularan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
Lebih menyedihkan, ramai dalam kalangan mereka yang sebelum ini bergaji belasan ribu ringgit terpaksa melalui kehidupan perit apabila rumah hampir dilelong selain terpaksa menjual kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi bagi kelangsungan hidup.
Bekas eksekutif sebuah syarikat penilaian risiko di Shah Alam yang dikenali sebagai Shaiful, 42, berkata, kehidupannya mula berubah selepas syarikat tempatnya bekerja ditutup atas sebab-sebab tertentu seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia kehilangan gaji bulanan sebanyak RM8,000, sekali gus memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga.
“Saya bernasib baik apabila isteri masih bekerja dengan pendapatan RM5,000 sebulan. Sebelum ini, saya perlu menyelesaikan komitmen bulanan hampir RM9,000 meliputi pinjaman rumah, kereta selain kos bayaran pusat jagaan bagi empat anak berusia tiga hingga 12 tahun.
“Tempoh tiga bulan pertama PKP cukup sukar apabila wang simpanan semakin susut sebelum saya berkecimpung dalam perniagaan cupcake dengan pendapatan RM500 hingga RM1,000 sebulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Shaiful yang tinggal di sebuah kondominium di Cyberjaya dekat sini berkata, kekangan kawangan yang berterusan menyebabkan dia berdepan masalah pembayaran pinjaman rumah sehingga kediamannya itu hampir dilelong hujung tahun lalu.
Namun katanya, dia agak bernasib baik apabila berjaya menstrukturkan semula bayaran menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan anggaran RM3,400 sebulan.
“Saya terus diuji apabila kereta jenis Peugeot 508 ditarik pihak bank selepas gagal melunaskan bayaran bulanan selama lima bulan.
“Paling perit apabila kami sekeluarga pernah mengikat perut selama sebulan dengan hanya makan nasi berlauk sardin dan mi segera,” ujarnya.
Di Kuala Lumpur, seorang bekas penyelia hotel bertaraf empat bintang dari Ampang, Zai Rashid, 43, berkata, dia dan keluarganya terpaksa melalui hidup secara ala kadar sejak setahun lalu selepas diberhentikan kerja.
“Orang nampak kehidupan kami senang, tetapi mereka tidak tahu kami pernah terputus bekalan makanan sehingga terpaksa menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di laman sosial untuk meminta bantuan.
“Sebuah kereta dan motosikal berkuasa tinggi milik suami juga dijual bagi melangsaikan komitmen bulanan kondominium,” katanya.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu mengakui, dia dan suami melakukan pelbagai usaha termasuk menjadi ejen jualan pelbagai produk selain bekerja sebagai penghantar barang.
Sementara itu, bekas pemilik syarikat agensi pelancongan dari Puchong, Ahmad, 45, turut mengakui kehidupannya telah berubah selepas kehilangan pendapatan kira-kira RM12,000 sebulan.
“Semasa pandemik, ada yang mungkin hilang separuh atau satu per empat pendapatan. Tetapi saya terus kosong. Perniagaan saya terjejas teruk dan perlu tanggung empat anak yang masih bersekolah.
“Kalau sebelum ini, rasa susah hidup di bandar mungkin boleh balik kampung dan mengusahakan tanah kebun, tetapi situasi sekarang tidak mengizinkan,” katanya yang kini mencari rezeki sebagai peniaga makanan.
Di George Town, Pulau Pinang, nasib malang turut dialami seorang eksekutif syarikat swasta, Ali Rezal, 32, apabila gajinya dipotong sejak setahun lalu ekoran pandemik Covid-19.
“Sudahlah gaji berkurangan 60 peratus, saya juga perlu menjelaskan hutang rumah dan kereta.
“Lebih terkesan apabila saya baru mendiami kondominium baharu di Bayan Lepas awal tahun ini. Jika saya tahu lebih awal, saya memang tidak akan beli rumah sebegini dan tinggal di rumah keluarga sahaja,” katanya.
Di Senai, Johor, bekas eksekutif kanan sebuah syarikat swasta di Senai, Mohammad Adnan, 45, berkata, kehidupannya sebelum ini agak selesa dengan gaji RM7,000 sebulan, tetapi terpaksa bergantung kepada duit simpanan selain pampasan akibat diberhentikan kerja.
“Saya buntu sebab perlu bayar komitmen bulanan hampir RM5,000 sebulan termasuk ansuran kereta, motosikal dan sebuah kondominium,” katanya.-K! ONLINE














