“Emak saya sebenarnya buta huruf. Emak tidak pernah bersekolah dan semua bahasa kiasan itu digarap daripada persekitarannya, pengalaman hidupnya membesar dalam komuniti Baba dan Nyonya, Cina dan Melayu.
“Emak tidak boleh berbahasa Tamil, dia hanya tahu beberapa perkataan kasar yang mungkin akan digunakan untuk membalas ‘serangan’.
“Tetapi emak boleh bercakap Hokkien dan Hakka serta sangat bagus dalam penuturan dan penciptaan kiasan dalam bahasa Melayu sehingga diangkat sebagai ikon dondang sayang Melaka,” kata Indriani Pillay, 61, anak kedua kepada mendiang G. Meenachi kala mengimbau antara bait-bait kiasan ibunya yang masih segar dalam ingatan.
Ceritanya, Meenachi yang dilahirkan pada 13 Mei 1932 di Kampung Chetti, Gajah Berang ialah anak kepada pasangan Govindasamy Naiker Rajah@Tamby Licin dan Gurmah Amal Pathair, keturunan etnik Chetti sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
“INI sepotong pantun yang saya ingat sering diucapkan mendiang emak saya: Kalau tuan pergi ke laut, tolong belikan kepiting jantan, kalau tuan jadi rambut, saya jadi bunga siantan.
“Jika emak nampak pasangan yang curang pula, dia akan lontarkan pantun: Cempedak berbulu, durian berkaki, berkehendak dahulu, baru berlaki’, tajam sungguh kata-katanya, nasiblah si badan yang terkena ‘semburannya’,” kata Indriani Pillay, 61, anak kedua kepada mendiang G. Meenachi kala mengimbau antara bait-bait kiasan ibunya yang masih segar dalam ingatan.
Meenachi, 91, yang merupakan penggiat utama dondang sayang etnik Chetti Melaka menghembuskan nafas terakhirnya pada 5 Jun lalu di Hospital Melaka kerana sakit tua.
Dondang sayang ialah persembahan tradisional nyanyian berasaskan rangkap pantun Melayu yang kebanyakannya diamalkan etnik Melayu dan peranakan Cina atau India.

Tatkala bertanyakan rahsia kehebatan mendiang yang bukan sahaja pengamal dondang sayang etnik Chetti Melaka tertua, bahkan satu-satunya wanita etnik tersebut yang boleh membutirkan rangkap dondang sayang dan pantun secara spontan, Indriani hanya tersenyum.
“Emak saya sebenarnya buta huruf. Emak tidak pernah bersekolah dan semua bahasa kiasan itu digarap daripada persekitarannya, pengalaman hidupnya membesar dalam komuniti Baba dan Nyonya, Cina dan Melayu.
“Emak tidak boleh berbahasa Tamil, dia hanya tahu beberapa perkataan kasar yang mungkin akan digunakan untuk membalas ‘serangan’.
“Tetapi emak boleh bercakap Hokkien dan Hakka serta sangat bagus dalam penuturan dan penciptaan kiasan dalam bahasa Melayu sehingga diangkat sebagai ikon dondang sayang Melaka,” katanya.
Ceritanya, Meenachi yang dilahirkan pada 13 Mei 1932 di Kampung Chetti, Gajah Berang ialah anak kepada pasangan Govindasamy Naiker Rajah@Tamby Licin dan Gurmah Amal Pathair, keturunan etnik Chetti sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Meenachi membesar dalam keluarga yang mengamalkan nilai selektif di antara anak lelaki dengan perempuan, di mana dia tidak diberikan ruang untuk menimba ilmu pendidikan, sebaliknya hanya ‘diletakkan’ di dapur.
“Sejak kecil lagi pada usia 10 tahun tahun, emak telah menanamkan minat dengan bahasa kiasan dan dondang sayang ini kerana keluarga kami sering terlibat dengan acara keraian seni dan muzik. Datuk seorang pemain biola, manakala nenek biasanya akan bermain rebana.
“Ketika emak masih kecil, dia telah mengambil upah menjual kuih-muih di sekitar kampung dan pada suatu hari, dia ternampak anak-anak lain sebayanya belajar di sekolah Melayu.
“Emak cepat-cepat habiskan jualan untuk duduk berhampiran sekolah, kononnya ‘masuk’ kelaslah. Seminggu emak menjadi murid di tepi sekolah.
“Namun, suatu hari, moyang kami perasan dan memberitahu datuk mengenai perkara tersebut. Datuk kata kepada emak, buat apa belajar, nanti pandai tulis surat cinta bagi dekat lelaki’.
“Jadi, emak pun tidaklah meneruskan rutin tersebut dan hanya membuat kerja-kerja ‘orang perempuan’ serta menjadi buta huruf,” katanya sambil menambah moyangnya merupakan seorang penterjemah untuk Mahkamah Tinggi Melaka.

Meenachi kemudian berkahwin pada usianya 22 tahun dengan A. Sathasivam Pillay yang juga berketurunan Chetti. Mereka tinggal di Kota Laksamana, Melaka serta dikurniakan enam anak iaitu empat perempuan dan dua lelaki.
Keluarga Sathasivam merupakan penggiat seni kraf tangan sejenis patung hantu yang menjadi salah satu lambang budaya kaum Chetti. Secara langsung, Meenachi turut aktif dalam aktiviti kuil dan membantu suaminya menghasilkan patung-patung itu yang menjadi elemen utama upacara perarakan datuk chachar dalam perayaan tahunan Mengamay etnik Chetti.
Sathasivam kemudian meninggal dunia pada tahun 1997 akibat penyakit batu karang dan kesemua mereka dibesarkan Meenachi sebagai ibu tunggal. Meenachi berpindah semula ke tempat asalnya di Kampung Chetti.
Ketika menjalani kehidupan bergelar isteri, Meenachi mengambil peluang membetulkan pemikiran berat sebelah keluarganya dahulu dan menitikberatkan soal pendidikan setiap anak-anaknya.
“Pernah kami adik-beradik menghadapi masalah kewangan untuk membayar yuran sekolah dan emak terus mengambil upah memasak di rumah Baba Nyonya dengan berjalan kaki setiap hari sejauh kira-kira enam kilometer demi memastikan kami tidak keciciran.
“Mengenai pelapis dondang sayang, sejujurnya ia tidak mengalir dalam diri kami enam beradik kerana emak tidak menekankan perkara itu, sebaliknya menganggap ia keistimewaan semula jadi dirinya yang meminati seni tradisional itu meskipun tidak boleh membaca,” katanya yang merupakan bekas pensyarah di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.
Ujarnya, kesungguhan ibu memastikan anak-anak berjaya dalam pendidikan turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan pingat Ibu Contoh pada tahun 2006 oleh Kerajaan Negeri Melaka.
Mengulas lanjut, Indriani berkata, ibunya menjalani kehidupan penuh harmoni di antara kelompok etnik Baba Nyonya dan Chetti.

Ibunya mula disegani ramai kerana kepakarannya dalam perubatan tradisional termasuk merawat kayap dan membuat puluhan kuih serta masakan antaranya juadah rasmi etnik Chetti, nasi kembuli dan pachadi halia.
Meenachi bukan sahaja disegani kerana ilmu pengetahuannya dalam pelbagai cabang kemahiran tetapi dikenali ramai di peringkat kebangsaan kerana bakat luar biasanya dalam berdondang sayang.
“Dia tidak menjadikan kekurangan tidak boleh membaca itu sebagai penghalang minat mendalamnya dalam dondang sayang. Pada usianya 40-an, ketika anak-anak telah membesar, ibu mula kembali aktif dan menunjukkan bakatnya di majlis keraian. Kebijaksanaan emak menjual dan membeli pantun secara spontan juga menyebabkan dia sering mendapat jemputan sebagai ‘jurutol’ di majlis perkahwinan masyarakat setempat sehinggalah majlis-majlis rasmi Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Tambah Indriani, ibunya kembali mencari rentak dengan melibatkan diri bersama-sama penggiat dondang sayang yang lain termasuk Baba Kim Teck, Baba Boon dan dua lagi rakan Melayunya.
Meenachi kemudian mula dikenali dengan panggilan Nenek Muda dan mendapat tawaran dalam bidang lakonan. Beliau terlibat dalam telemovie bertajuk Baba & Nyonya, yang disiarkan di TV1 pada tahun 1980-an bersama-sama dengan Datuk Kenny Chan and mendiang Chee Hood Siong.
Rancangan itu diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai siri paling lama berlangsung membabitkan 509 episod. Meenachi berjaya melakonkan kesemua babaknya secara spontan tanpa sebarang bantuan skrip.
Kebolehan Meenachi turut mendapat perhatian Kerajaan Pusat, malah pernah diberikan penghargaan oleh mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Melaka kesembilan.
Beliau kemudian menerima sebuah anugerah pada persembahan teater Cak Kun Cak yang diadakan di Panggung Seni Tradisional Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) pada 2019.
Kata Indriani, dia kini mengumpul maklumat untuk merangkumkan bait-bait kata mendiang ibunya untuk dijadikan buku sebelum dikongsikan kepada orang ramai.
“Pukul gendang pukul rebana, orang India berarak sami, luka di kaki bawa merana, luka di hati sampai ke mati,” kata Indriani dengan serangkap pantun yang pernah diungkap ibunya.














