fbpx

Dicemuh, dicela? Biarlah – Intan Najuwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN NAJUWA

PEJAM celik hampir setengah dasawarsa pelakon bertubuh genit Intan Najuwa melangkahkan kaki ke dunia glamor.

Dalam tempoh tersebut jugalah anak jati kelahiran Johor Bahru itu mula dihujani pelbagai kontroversi sepanjang menuai populariti atas nama seorang pelakon.

Itu lumrah sebagai anak seni. Perkara tersebut pasti tidak dapat dielakkan. Nampak indah namun hari-hari yang dilalui tidak selalunya cerah.

Akui Intan yang mula menempa nama menerusi drama Kekasih Paksa Rela itu, dia juga tidak terkecuali daripada dilanda pelbagai episod yang menjatuhkan imej.

Bermula dengan kisah dikehendaki polis sebagai saksi perbicaraan bagi sebuah kes yang enggan diingat kembali hinggalah tular gambar intim miliknya bersama hero Malaya, Zul Ariffin, tidak cukup dengan itu, kisah putus tunangnya masih diperkatakan.

Biarpun puas diperjelaskan, masih ada pihak mendakwa perpisahannya dengan ahli perniagaan berasal Kedah, Razarul Anwar Rusli berkait dengan pelakon berbadan sasa itu.

Satu persatu terpaksa ditelan Intan. Perit, namun dia tetap menggagahkan hati agar tidak hanyut daripada ditenggelami badai perasan.

AKUI Intan, kegagalan fasa pertunangan yang dilaluinya menjadi sebahagian daripada iktibar dalam relung hidupnya.

Pandang ke depan

“Jujurnya, andai saya tidak kuat menahan sepak terajang dunia glamor, barangkali saat ini saya sudah lenyap daripada industri hiburan.

“Setiap apa yang berlaku saya jadikan sebagai satu pengajaran dan iktibar. Bagi saya apa yang pernah dan telah berlaku, biarlah berlalu,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Intan, pendekatannya untuk tidak terlalu memikir dan mengambil perkara tersebut (kontroversi) sebagai perkara serius, memainkan peranan terhadap keberadaannya hingga ke saat ini.

Meneruskan perkongsian, pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid berkata, apa yang berlalu dalam roda kitaran kerjayanya banyak mematangkan dirinya untuk terus memandang ke hadapan.

Bagi pelakon yang memulakan karier lakonan bersama rumah produksi Metrowealth Pictures sejak usia 18 tahun itu, dia perlu lebih serius dan tidak memikirkan perkara-perkara negatif agar tidak merosakkan diri.

“Saya ambil pendekatan untuk tidak melayan perkara dan komen negatif terutama dalam platform media sosial.

“Saya lebih suka memandang ke hadapan dan malas nak hiraukan apa yang diperkatakan orang lain. Cukuplah saya sendiri yang tanggung, hadap dan selesaikan dengan cara sendiri,” katanya.

INTAN yang mula menjadi pelakon sejak berusia 18 tahun menafikan Zul Ariffin sebagai punca putus tunang dengan ahli perniagaan bernama Razarul Anwar Rusli.

Ujarnya lagi, apa yang membuatkannya terus kuat dalam industri ialah sokongan berterusan keluarga dan peminat yang tidak pernah putus.

Ditebak sedikit mengenai ikatan pertunangannya yang putus di tengah jalan dua tahun lalu, Intan akur dengan suratan takdir dan seboleh-bolehnya enggan diingati semula.

Katanya, walaupun pada awalnya dia sering dipersalahkan dan dikatakan menjadi punca terlerainya hubungan tersebut, Intan percaya ada hikmah menanti untuknya.

“Seboleh-boleh saya cuba elak untuk ingat semula perkara ini. Lagi pun benda sudah lama berlalu. Anggaplah bukan jodoh kami.

“Kami putus secara baik dan tiada permusuhan pun antara kami berdua. Kami nekad untuk membawa haluan hidup masing-masing dan itu yang sebaiknya,” tuturnya yang menegaskan langsung tidak pernah wujud rasa dendam antara dia dan bekas tunangnya.

Bagi Intan, usai perpisahan tersebut berlaku, kehidupannya lebih terisi.

Pelakon berusia 24 tahun itu jjuga selesa dan tenang menjalani hidup secara solo.

PELAKON drama Tak Sempurna Mencintaimu itu bersyukur rezekinya masih tidak putus walaupun tidak dapat berlakon rentetan pelaksanaan PKP saat ini.

Serik

Ditebak adakah dia serik untuk menyulam cinta, Intan menafikan perkara tersebut, namun dalam masa sama menyifatkan kehidupan yang dilaluinya kini jauh lebih baik.

Bagi selebriti yang pernah tercalon dalam kategori Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2017 itu, kini fokusnya hanyalah erjaya dan perniagaan yang diusahakan.

“Cakap pasal cinta, bukan serik atau apa. Cuma saya rasakan sudah tiba masanya untuk memberikan fokus kepada kerjaya dan bisnes sebagai keutamaan.

“Lagi pun, sementara masih muda dan diberikan kudrat, jadi lebih baik fokus diberikan kepada kedua-dua itu.

Bab jodoh, biarlah Dia yang tentukan,” katanya.

Ditanya aktiviti harian yang dilakukannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3.0 dilaksanakan, Intan hanya menghabis dan mencurahkan sepenuh masanya terhadap perniagaan produk rambut, Dicohaircare.

KEHIDUPAN Intan dalam laman sosial kini sering diperhatikan dan mengundang kritikan netizen.

Beritahunya, selain bisnes, dia memanjat rasa syukur atas rezekinya yang tidak putus dan masih mencurah-curah saat negara dibadai pandemik maut, Covid-19.

“Alhamdulillah. Biarpun aktiviti penggambaran tidak dapat dijalankan dan terpaksa ditangguhkan sementara waktu, rezeki tetap diberi dalam pelbagai bentuk.

“Selain bisnes, saya turut menjalankan beberapa kempen bagi beberapa jenama terkenal dalam laman sosial seperti Instagram.

“Bab lakonan, insya-Allah ada beberapa lagi projek yang sedang dan bakal hadir nanti,” ujarnya yang terpaksa menunda penggambaran drama 15 episod terbaharunya, Saat Kau Takluk Cinta Ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI