fbpx
DION Cools menasihatkan Luqman agar memanfaatkan peluang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu daripada pemain-pemain profesional berpengalaman di kelab Liga Pro Belgium.

Pesanan Dion Cools buat Luqman Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Manfaat peluang keemasan beraksi di Belgium

IMPIAN Malaysia menyaksikan bintang muda, Luqman Hakim Shamsudin mempunyai karier cemerlang di Belgium dan mencipta nama di bumi Eropah bukan angan-angan kosong apabila semua pihak sudi bekerjasama merealisasikan impian itu.

Terbaharu, pemain berdarah kacukan Malaysia dan Belgium, Dion Johan Cools memberikan kata-kata semangat kepada penyerang berusia 18 tahun itu yang telah menandatangani kontrak lima tahun dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

Bek kanan yang dilahirkan di Kuching, Sarawak itu menyifatkan Luqman perlu memanfaatkan peluang ketika ini dengan terus menimba ilmu demi ilmu daripada pemain-pemain profesional berpengalaman di kelab Liga Pro Belgium tersebut.

“Kamu perlu mempunyai mentaliti yang betul dan kamu perlu bekerja keras untuk mengecapi kejayaan. Jangan terlalu cepat mengharapkan sesuatu.

“Ambil masa dahulu supaya kamu dapat menyesuaikan diri kerana ini adalah proses pembe­lajaran baharu dalam suasana dan budaya yang berbeza.

“Malangnya saya berada di Denmark sekarang dan tidak dapat bertemu anda secara fizikal di sana nanti. Apa pun saya me­ngucapkan tahniah dan selamat datang ke Belgium, Luqman,” katanya eksklusif kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dion, 24, memulakan karier profesional bersama OH Leuven pada 2014 sebelum berhijrah ke kelab gergasi Belgium, Club Brugge dari 2015 hingga 2020 dan kini menyertai juara Liga Super Denmark, Midtjylland sejak awal tahun ini.

Dia juga pernah bermain enam perlawanan peringkat ­kumpulan Liga Juara-Juara sewaktu me­­wa­­­kili Brugge menentang gergasi-gergasi Eropah seperti Real Madrid, AS Monaco, Borussia Dortmund, Leicester City dan Porto.

Pemain yang sering dikaitkan dengan spekulasi menyarung jersi Harimau Malaya itu, amat berharap Luqman dapat menguasai bahasa majoriti di Belgium iaitu Flemish, bahasa Belanda yang sering dituturkan oleh rakyat negara berkenaan.

“Jika mampu bertutur ­Flemish dan Inggeris, ia amat membantu dari segi komunikasi serta penya­tuan kamu dengan rakan-rakan sepasukan dan tempatan di sana. Saya percaya kamu akan menikmati Belgium dan Eropah.

“Saya sedia membantu walaupun dari jauh. Keluarga saya dan semua warga Malaysia di sana lebih daripada bersedia untuk membantu jika kamu memerlukan bantuan,” jelasnya.

Sebagai rekod, Luqman berjaya memikat perhatian Kortrijk yang dimiliki taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang mewakili Akademi Mokhtar Dahari dan skuad bawah 16 serta 19 negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN