fbpx

Bayi disusukan rupanya anak orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KISAH dua pasangan suami isteri yang tertukar bayi mereka wajar dijadikan pengajaran semua pihak.

Semalaman tidur memeluk anak kecil, dibelai dan diberi susu, namun sebenarnya bayi yang baru lahir itu bukan anaknya.

‘Anak puan tertukar dengan bayi lain! Kata-kata ini mampu meruntun jiwa si ibu dan pastinya ia mimpi ngeri setiap pasangan suami isteri.

Situasi yang berlaku ke atas dua pasangan suami isteri di Lembah Klang wajar dijadikan pengajaran. Mujurlah kes pertukaran bayi itu disedari awal jika sebaliknya, bagaimanalah agaknya. Orang tua-tua kata, minta simpang.

Tindakan si ibu memeriksa tag nama pada kaki anaknya adalah tepat, namun lebih bagus jika dilakukan ketika berada di hospital. Sudah pasti kes membawa pulang bayi orang lain tidak akan berlaku.

Malah jika timbul rasa curiga melihat keadaan anak yang tidak sama sewaktu dilahirkan, bersuara dan bertanya, jangan didiamkan saja dengan membuat andaian sendiri.

Begitu juga dengan kakitangan hospital. Penulis percaya prosedur operasi standard penyerahan bayi pasti ada, namun mungkin kelalaian kedua-dua belah pihak menyebabkan ia terjadi.

Kes berkenaan bukan pertama kali dilaporkan. Malah mimpi ngeri ini juga dialami sepasang suami isteri di Port Dickson Februari lalu, apabila bayi seberat 3.1 kilogram yang menerima rawatan jaundis di hospital tertukar dengan anak pasangan lain.

Perkara itu disedari setelah pasangan berkenaan pergi ke hospital selepas tidak berpuas hati apabila diberitahu anaknya belum boleh pulang kerana berat badan turun.

Sememangnya, kes ini tidak boleh dipandang ringan. Sebelum ini, kita hanya melihat plot sebegini pada sinetron, bayi keluarga miskin tertukar dengan yang kaya dan hidup mewah. Namun khayalan yang ditunjukkan pada drama sememangnya berlaku.

Bayangkan jika si ibu atau bapa tidak cakna, sudah pasti mereka akan terpisah anak beranak. Bertahun atau mungkin tidak jumpa selamanya.

Pengalaman penulis di sebuah hospital mungkin boleh dijadikan panduan, setiap kali jururawat mahu menghantar anak ke dalam wad, dia akan membacakan nama dan nombor kad pengenalan si ibu yang tertera pada tag berkenaan.

Itu tanda anak itu milik si ibu. Biarlah sehari hampir sepuluh kali, namun rutin itu boleh mengelakkan kes pertukaran bayi terjadi. Malah sebelum pulang juga perkara sama dibuat.

Penulis percaya banyak fasiliti kesihatan buat begini. Keterujaan anda mungkin membawa padah. Mungkin selama ini kita ambil mudah dengan berasakan bayi tidak akan tertukar kerana dipakaikan tag, namun kita semua manusia.

Berhati-hatilah, dapat sahaja anak, cepat-cepat tengok tag. Jangan sampai mimpi ngeri ini berulang. Kepada petugas hospital juga, jadikan ia iktibar dan memperkemaskan lagi operasi.

Kerana satu kesilapan, ia boleh membawa kepada seribu kesengsaraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI