KOTA BHARU – Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di Panji di sini ditutup selama 14 hari bermula semalam bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan kes Covid-19 daripada terus menular.
Arahan penutupan sehingga 16 Jun ini dilakukan berdasar penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi tujuan sanitasi pejabat dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusof berkata, semua urusan berkaitan termasuk pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM), kenderaan perdagangan rentas negara, pembaharuan lesen vokasional dan urusan penjelasan saman tidak dilaksanakan untuk tempoh tersebut.
Katanya, sebarang janji temu boleh dilakukan menerusi JPJ Mobile yang ditempatkan di pekarangan pejabat atau boleh terus pejabat cawangan yang berdekatan seperti di JPJ Machang dan Gua Musang.
“Orang awam yang menjalankan urusan dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Mereka juga boleh memilih medium secara online bagi urus niaga persendirian di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh ketika ini melalui portal mysikap JPJ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebelum ini, hanya Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Kelantan ditutup kepada orang ramai selama 12 hari bermula 30 Mei lalu selepas kakitangan di kaunter itu dikesan positif Covid-19. – K! ONLINE






