fbpx
Gambar hiasan

Buruh paksa Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Segelintir majikan bukan sahaja tidak membayar gaji dan memaksa pekerja asing mereka bekerja melebihi 12 jam sehari, malah mangsa akan dipukul serta di­ugut untuk di­serahkan kepada pihak berkuasa jika melawan.

Majikan terbabit dipercayai telah mengambil kesempatan ketika pandemik Covid-19 me­landa negara sejak setahun lalu de­ngan menjadikan migran sebagai buruh paksa dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Situasi itu terbukti berdasarkan rekod Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang mendedahkan seramai 76 mangsa telah diselamatkan sepanjang 2020 sehingga April lalu.

Daripada jumlah itu, kebanyakan mangsa yang menjadi buruh paksa adalah warga Indonesia.

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, rata-rata mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun yang bekerja dalam sektor perkilangan melibatkan pembuatan pelitup muka selain pembantu rumah.

Menurutnya, siasatan mendapati, hak mereka telah dinafikan majikan dari segi pembayaran gaji, persekitaran kerja yang tidak kondusif selain dipaksa bekerja melebihi 12 jam sehari.

“Mangsa yang tidak mahu be­kerja akan dipukul. Jika cuba melarikan diri, mereka akan di­ugut kononnya boleh ditangkap pihak berkuasa dan kemudian dihantar pulang sehingga tidak dibenarkan memasuki semula negara ini.

“Kita tidak menolak kemungkinan kekurangan pengetahuan mengenai undang-undang negara ini berhubung hak sebagai pekerja membuatkan mereka mudah dieksploitasi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Fadil Marsus

Fadil memberitahu, isu gaji adalah salah satu indikator kepada aspek eksploitasi buruh paksa dalam siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Katanya, siasatan yang dijalankan turut mendapati, majikan menggunakan alasan kononnya akan menjelaskan pembayaran gaji sepenuhnya selepas kontrak mereka tamat.

“Ada majikan yang memperdayakan migran ini dengan memaklumkan gaji bulanan mereka telah dihantar kepada keluarga di kampung halaman, sedangkan ia hanya alasan.

“Lebih malang apabila dokumen perjalanan diri terutama pasport mangsa ‘ditahan’ majikan yang menyebabkan mangsa tidak berani untuk melarikan diri.

Sebahagian pekerja warga asing yang dieksploitasi di Taman Chi Liung, Klang sebelum diselamatkan D3 Bukit Aman pada 29 April lalu.

“Mereka ini menjadi orang yang daif apabila berpandangan majikan boleh menyimpan pasport dan gaji mereka sehingga tamat kontrak,” ujarnya.

Menurutnya, kegiatan buruh paksa lebih banyak berlaku di kawasan bandar.

Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan, seramai 672 individu telah ditangkap terma­suk terlibat dalam kes berkaitan eksploitasi pekerja seks sejak 2019 sehingga April lalu.

“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 445 kes direkodkan de­ngan jumlah orang yang diberikan perintah perlindungan sementara adalah seramai 1,986,” katanya.

Pada 30 April lalu, Kosmo! me­laporkan tindakan kejam majikan yang mengurung pekerjanya terbongkar selepas 22 warga ­asing diselamatkan di sebuah restoran di Taman Chi Liung, Klang.

Siasatan mendapati ­mangsa hanya dibayar gaji RM10 sehari untuk 12 jam waktu bekerja dan akan dihukum potong gaji sekiranya mengambil makanan ­berlauk.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN