MELAKA – Seorang penjaga pusat snuker dikenakan kompaun RM10,000, manakala empat pelanggannya dikompaun RM1,500 setiap seorang akibat degil melakukan aktiviti tersebut dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di Telok Mas, di sini, semalam.
Kesemua lelaki berusia antara 22 hingga 27 tahun itu dikenakan kompaun dalam Ops Pemantauan prosedur operasi standard (SOP) pada pukul 5.50 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, pemeriksaan SOP itu telah dilakukan oleh sepasukan pegawai serta anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
“Ketika serbuan dilakukan, kita dapati empat lelaki sedang seronok bermain snuker tanpa menghiraukan SOP dan tindakan kompaun sebanyak RM1,500 telah dikeluarkan kepada setiap mereka.
“Kita juga mengenakan kompaun berjumlah RM10,000 terhadap penjaga premis berkenaan yang berusia 27 tahun,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Perkara 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021.
Tambahnya, pihaknya juga mengesyaki pusat snuker terbabit telah beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
“Berdasarkan hasil soal siasat awal, penjaga premis tersebut mendakwa dia baru sahaja menjalankan operasi perniagaan snuker itu sejak dua hari lalu.
“Kita bagaimanapun telah merampas peralatan bermain snuker dan buku catitan bayaran pemain bagi tujuan siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Sukri berkata, semakan lanjut mendapati keempat-empat pelanggan yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Kesemua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001,”katanya.-K!ONLINE














