KAJANG – Taktik sindiket rokok seludup menjadikan rumah teres dua tingkat sebagai stor penyimpanan terbongkar apabila diserbu pasukan polis dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, kelmarin.
Rumah teres yang dilengkapi pengawal keselamatan di Jalan Kajang East, di sini merupakan milik salah salah seorang suspek yang berusia 34 tahun.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Azri Ahmad berkata, melalui hasil risikan selama sebulan, polis membuat serbuan ke dua lokasi berasingan di sekitar Semenyih dan Kajang melalui Op Kontraban.
“Serbuan pertama dilakukan sekitar pukul 1 petang dan berjaya memberkas seorang lelaki berusia 36 tahun bersama 550 karton rokok yang disimpan di dalam sebuah kenderaan.
“Hasil daripada maklumat suspek pertama, pasukan sekali lagi membuat serbuan di rumah teres terbabit yang dijadikan stor penyimpanan dan merampas 12,912 karton rokok,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, total keseluruhan nilai rampasan rokok melalui kedua-dua serbuan adalah berjumlah RM3 juta termasuk nilai cukai.
“Semakan mendapati sindiket berkenaan telah bergiat aktif hampir empat tahun lalu, mereka membawa masuk kira-kira 43 jenama rokok itu dari Indonesia dan Vietnam melalui jalan laut.
“Rokok tersebut diedarkan untuk pasaran kawasan Kajang, Semenyih, Nilai dan Bangi dan mereka mampu mengaut keuntungan kira-kira RM30,000 sebulan,” ujarnya. – K! ONLINE














