BERPELUANG berkunjung ke Taman Eko-Rimba Kledang Saiong di Persiaran Meru Utama, Ipoh, Perak membuatkan Izah Faisal cukup teruja kerana dia bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam semula jadi dan udara segar, tetapi juga berpeluang melihat pelbagai spesies periuk kera.
Taman Nepenthes yang terletak di dalam taman eko-rimba tersebut memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat tumbuhan itu dengan lebih dekat dan menambah pengetahuan mengenai periuk kera.
Menurut wanita berusia 28 tahun itu, dia berasa bertuah dapat melihat pokok periuk kera dengan lebih dekat buat pertama kali kerana ia banyak tumbuh di dalam hutan dan hampir pupus ekoran kegiatan manusia yang menggunakan kelongsongnya untuk pelbagai kegunaan.
“Sebelum ini, saya pernah melihat lemang diperbuat daripada periuk kera dan tidak tahu ia sebenarnya mempunyai banyak spesies serta saiz.
“Setelah sampai di Taman Nepenthes, para petugas banyak berkongsi pengetahuan mengenai periuk kera. Ini membuatkan saya bertambah teruja untuk mengetahui tentang tumbuhan ini dengan lebih lanjut,” ceritanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

yang merupakan periuk kera terbesar dari Sumatera dan juga di taman tersebut.–Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI
Tambahnya, penubuhan taman itu merupakan usaha sangat baik untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dan menambah pengetahuan mengenai tumbuhan hutan berkenaan.
Izah berkata, taman itu juga sangat selesa dan sesuai untuk dijadikan tempat pembelajaran tanpa perlu meredah hutan semata-mata ingin melihat spesies periuk kera.
“Generasi muda perlu didedahkan dengan aktiviti sebegini agar mereka lebih menghargai khazanah alam.
“Mereka perlu dididik untuk mencintai dan menjaga kelestarian alam kerana ia nadi kehidupan sejagat,” ujar anak kelima daripada enam beradik itu.
Sementara itu, Pengawas Hutan, Nurul Munirah Husna Hamdan berkata, terdapat sekitar 70 spesies periuk kera di Taman Nepenthes yang berasal dari Asia Tenggara seperti Indochina, Myanmar, Vietnam, Thailand, Australia, Indonesia dan Malaysia.
“Antara spesies yang ditanam di sini ialah nepenthes ampullaria, nepenthes khasiana, nepenthes mirabilis, nepenthes bicalcarata serta nepenthes xcantleyi iaitu hibrid antara nepenthes bicalcarata dan nepenthes gracilis.
“Spesies istimewa yang boleh dijumpai di Taman Nepenthes ialah nepenthes sumatrana iaitu periuk kera terbesar dari Sumatera. Ia paling besar di sini dengan saiz kendinya boleh menakung air 1 liter,” katanya yang bertanggungjawab menguruskan tanaman periuk kera di taman tersebut sejak setahun lalu.
Terangnya, habitat periuk kera adalah di kawasan tanah rendah pada ketinggian 0 hingga 1,500 meter (m) dari aras laut dan tanah tinggi iaitu 1,500m hingga 3,500m.
Terdapat tiga jenis tanah rendah yang menjadi habitat tumbuhan itu iaitu tepi sungai, tanah pamah dan pesisir pantai.
Bagi tanah tinggi pula, kawasan bukit serta pergunungan dengan suhu rendah sesuai untuk pertumbuhannya.
“Walaupun hidup di tanah rendah dan tinggi, tetapi dari segi bentuk fizikalnya sama sahaja cuma yang membezakannya ialah kendi berpaut di dahan pokok berdekatan dengannya atau kendi terletak atas permukaan tanah.
“Pokok periuk kera boleh mencapai ketinggian sekitar 2 hingga 10m “ ulasnya yang berasal dari Batu Gajah, Perak.
Berkongsi mengenai penjagaan pokok periuk kera, Nurul Munirah Husna memberitahu, pihaknya sentiasa memeriksa kelembapan tanah dan kebiasaannya menyiram dua kali sehari bergantung kepada cuaca.

Pada waktu siang, pokok tersebut memerlukan kelembapan tanah sekitar 70 peratus dan malam pula pada tahap maksimum.
“Kami juga merapikan pokok sebanyak tiga atau empat kali seminggu, manakala rumput dibiarkan tumbuh dengan kemas kerana tumbuhan tutup bumi itu penting sebagai penanda aras kelembapan tanah.
“Pihak kami juga menjalankan kerja-kerja mengawal anai-anai dan rumpai atau kulat untuk menjaga kesihatan pokok periuk kera secara optimum,” tutur anak kedua daripada tiga beradik itu.
Di samping itu, pihaknya juga melakukan semaian anak benih daripada biji benih dan keratan batang.
Semaian biji benih itu memerlukan masa sekitar 18 bulan untuk membesar serta dua bulan untuk mengeluarkan tunas baharu sekiranya menggunakan kaedah keratan batang.
Pokok periuk kera mempunyai hayat yang panjang dan sukar mati kerana akarnya kukuh di dalam tanah serta banyak dahan bercabang.
“Cabang pokok yang rosak atau mati akan dipotong dan pada tempat sama, tumbuh tunas baharu.
“Jangka hayat kendinya sekitar empat hingga lima bulan,” ulasnya.

Nurul Munirah Husna memberitahu, pembentukan kendi periuk kera itu terjadi sekiranya tanah tidak cukup nutrien. Ia akan bertindak mencernakan serangga kecil menggunakan enzim untuk mendapatkan zat.
Justeru, kandungan nutrien tanah akan dikurangkan agar kendi terbentuk bagi menjalankan fungsinya mencukupkan zat pokok periuk kera.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Hutan Lipur dan Eko-pelancongan, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Siti Aisyah Yaacob berkata, Taman Nepenthes yang terletak dalam Hutan Simpan Kledang Saiong itu mula beroperasi sejak tahun 2014.
“Objektif penubuhan taman ini untuk mewujudkan satu kawasan khas bagi memberi peluang kepada masyarakat mempelajari mengenai tumbuhan periuk kera seperti cara penjagaan dan pengenalan setiap spesies.
“Sejak tujuh tahun lalu, taman ini menjadi tempat rujukan pelajar dan pencinta alam dari dalam serta luar negara,” katanya.
Tidak ketinggalan, taman tersebut juga menjadi lokasi popular ibu bapa untuk membawa anak-anak beriadah bagi memupuk kecintaan terhadap alam sekitar.
Pengunjung boleh masuk ke taman itu yang merupakan salah satu tarikan di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong dengan bayaran RM2 bagi semua peringkat usia.
“Kami menyediakan sistem pengecaman QR kod dan juga kod NFC di setiap pokok periuk kera yang mana pengunjung boleh imbas untuk mendapatkan maklumat mengenainya.
“Petugas juga akan mengiringi pengunjung untuk memberikan taklimat, berkongsi maklumat dan menjawab pelbagai pertanyaan berkaitan periuk kera,” tuturnya.
Taman Nepenthes berkeluasan 0.25 hektar itu beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.















