fbpx
ABDUL RAHIM (kiri) bersama sebahagian makanan yang terdapat di food bank Masjid Syed Mohamad Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah.

Food bank di 578 masjid elak asnaf kelaparan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK mahu melihat golongan asnaf kelaparan akibat terputus bekalan makanan kerana dihimpit kemiskinan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengambil inisiatif dengan melaksanakan food bank (bank makanan) di kesemua 578 masjid di Negeri Jelapang Padi itu.

Program dinamakan Food Bank atau Pusat Agihan Makanan Fakir dan Miskin yang pengagihannya diuruskan sendiri oleh pengurusan masjid memberi manfaat kepada kira-kira 208,080 buah keluarga asnaf di negeri itu dalam masa setahun. Turut dibantu mereka yang kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Bantuan tersebut ternyata dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. Salah seorang penerima bantuan, Nurul Shakirah Azizan, 34, dari Kuala Nerang misalnya bersyukur menerima sumbangan barang keperluan menerusi food bank di Masjid Ar-Rayyan, Felda Bukit Tembaga setiap bulan.

“Alhamdulillah, bantuan seperti beras, bihun, gula, kicap dan sardin ini membantu jimatkan perbelanjaan keluarga.

“Jadi, wang yang ada boleh saya dan suami, Mohd. Shukri Salleh, 36, belanja untuk keperluan lain,” ujarnya kepada Panorama.

Menurutnya, dia dan suami perlu menguruskan wang dengan baik kerana mereka menyara empat anak dengan menoreh getah.

 

 

SEBANYAK 578 masjid di Kedah menjadi tumpuan asnaf untuk mendapatkan bantuan makanan menerusi program dinamakan Food Bank.

“Pendapatan kami tidak menentu. Biasanya pendapatan antara RM700 hingga RM800 sebulan, kalau hujan boleh dapat kira-kira RM500 sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM10.5 juta setahun untuk melaksanakan program tersebut di seluruh masjid di negeri ini sejak dua tahun lalu.

Katanya, LZNK bertekad untuk mewujudkan food bank di semua masjid kerana tidak mahu ada lagi golongan asnaf yang kelaparan.

“Sebelum ini ada rungutan orang ramai tentang orang miskin di Kedah yang kadangkala terputus bekalan makanan, nak dapatkan makanan pun susah. Malah, ada rungutan sehingga peringkat ada orang Islam yang terpaksa ke gereja mendapatkan makanan. Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya, namun kita tidak mahu itu berlaku,” katanya.

Mengambil kira rungutan itu, LZNK mengambil langkah drastik melaksanakan food bank di masjid dengan projek perintis bermula di tiga daerah termiskin negeri ini iaitu di Sik, Baling dan Padang Terap.

“Seterusnya, kita perluaskan food bank ini meliputi 578 buah masjid seluruh negeri Kedah bermula tahun 2019 dengan setiap masjid menerima 30 set makanan pada setiap bulan yang dijangka memberi manfaat kepada 208,080 keluarga yang memerlukan bantuan ini,” ujarnya.

Jelasnya, sebanyak sembilan item diletakkan dalam set makanan iaitu beras, sardin, kicap, sos, gula, teh, minyak masak, biskut dan bihun.

“Pengagihan set makanan ini mengikut kreativiti masjid sendiri menerusi penolong amil dengan ada agihan dibuat mengikut keperluan atau bilangan keluarga penerima bagi mengelakkan pembaziran,” jelasnya.

Bukan sahaja memastikan asnaf tidak terputus bekalan makanan, program itu juga mendekatkan lagi golongan tersebut dengan masjid.

“Kita mahu rapatkan jurang masjid dengan semua terutama orang miskin, kita tidak mahu masjid dianggap tidak mesra pengguna dan sepi dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat,” katanya.

 

SYEIKH ZAKARIA menunjukkan item bahan makanan disediakan di food bank yang dapat memberi manfaat kepada 208,080 keluarga memerlukan di seluruh Kedah.

Selain itu, tambahnya, penglibatan pengurusan masjid dalam food bank juga mendekatkan lagi hubungan pihak tersebut dengan LZNK.

“Selepas ini, kita juga merancang untuk melaksanakan food bank ini menerusi penggunaan baucar dengan keluarga asnaf boleh mendapatkan barang makanan di kedai-kedai runcit terpilih. Kedai-kedai terpilih itu akan dipastikan berada di kawasan kampung terlibat bagi memudahkan golongan asnaf mengambil bantuan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan kepada food bank tersebut.

“Insya-Allah, LZNK turut akan mengagihkan sebanyak 45,000 ekor ayam kepada 15,000 keluarga asnaf yang menerima bantuan kewangan bulanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya yang memberitahu jumlah keseluruhan asnaf fakir dan miskin bagi tahun 2018 hingga 2021 di Kedah adalah seramai 76,078 orang.

Sementara itu, pihak masjid mengakui pernah menerima kedatangan sebilangan penduduk yang memohon bantuan kerana terputus bekalan makanan akibat kehilangan pendapatan secara mengejut ekoran pandemik Covid-19.

 

 

SEMBILAN item yang terdapat dalam set bantuan makanan food bank di masjid-masjid di Kedah.

Imam Masjid Halim Shah di Alor Setar, Muhammad Sayuthi Saipol Bahri berkata, pihaknya akan segera menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan.

“Jika mereka daripada anak kariah masjid ini, makanan dari food bank akan terus disalurkan sementara bagi anak kariah lain kita akan pastikan dia mendapat makanan daripada masjid di bawah kariahnya,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, pengagihan makanan food bank dibuat pihak pengurusan masjid dari rumah ke rumah penerima berkonsepkan ziarah bagi bertanyakan khabar.

“Kita menetapkan sebanyak 10 penerima tetap manakala 20 lagi secara pusingan kepada mereka yang layak,” jelasnya.

Ahli Jawatankuasa Masjid Syed Mohamad Al-Bukhary, Pantai Johor di Alor Setar, Abdul Rahim Tajudin pula memberitahu, pengagihan bekalan makanan oleh pihaknya dibuat di masjid.

“Penerima daripada golongan asnaf dalam kawasan kariah akan hadir ke masjid ini bagi mendapatkan sumbangan bekalan makanan menerusi food bank LZNK,” katanya.

Kongsinya, ada juga individu yang datang memohon bantuan makanan kerana terjejas ekoran Covid-19.

“Apa yang menghibakan, ada dalam kalangan mereka datang memberi sumbangan semula kepada masjid selepas kewangan mereka kembali stabil setelah bekerja,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN