LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak akan meningkatkan penguatkuasaan sepanjang bulan Ramadan hingga menjelang perayaan Aidilfitri dengan operasi penguatkuasaan berorientasikan ‘Preventive SAR’ (pencegahan) bagi mencegah salah laku jenayah mahupun kejadian tidak diingini di laut.
Edaran pelekat ‘Preventive SAR’ yang ditampal pada bot-bot nelayan tempatan memuatkan maklumat mengenai pemakaian jaket keselamatan, pemasangan peralatan bantuan kecemasan di laut seperti Personal Locater Beacon (PLB) dan talian kecemasan untuk dihubungi.
Pada masa sama, difahamkan perairan negara turut berhadapan aktiviti pencerobohan perairan terutamanya oleh nelayan asing warga Indonesia serta aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Justeru, pengoperasian pada Ramadan ini dipertingkatkan dengan penugasan 24 anggota serta tiga buah bot iaitu Penggalang 13, Perkasa 23 dan Pengawal 17.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata operasi itu dilakukan dengan prinsip
mengekalkan kehadiran sebuah aset di sempadan perairan negara dan kehadiran sebuah aset di pesisir pantai agar tugas penguatkuasaan di perairan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kami menggunakan pelbagai pendekatan dalam menangani aktiviti jenayah serta salah laku di laut.
“Selain pemeriksaan rutin, turut dilakukan risikan lapangan serta menjalinkan hubungan erat dengan komuniti maritim dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam mendapatkan maklumat berkaitan jenayah serta salah laku maritim di sekitar kawasan ‘titik panas’ dan tuntutan bertindih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahrizan, sejak awal Ramadan sehingga semalam, agensi itu melakukan 267 pemeriksaan terhadap bot nelayan tempatan dan kapal yang beroperasi di perairan Perak dan melibatkan satu tangkapan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan.
Shahrizan juga menjelaskan pada suku tahun pertama tahun ini iaitu dari Januari hingga April, sebanyak 13 kes tangkapan melibatkan bot nelayan tempatan, lima kes kesalahan di bawah Akta Ordinan Kapal Dagang (MSO) serta tiga kes pencerobohan bot nelayan asing dicatatkan selain 24 kes tangkapan lain pelbagai kesalahan.
Bagi kes Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pula, sebanyak sembilan kes meliputi sembilan nyawa berjaya diselamatkan, manakala tujuh nyawa lagi dipercayai lemas dan empat mangsa tidak ditemui sehingga kini. -K! ONLINE














