fbpx
Norlizan pada program pelancaran My Best Buy Aidilfitri di perkarangan Wisma Tani di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

Pengguna tidak perlu bimbang bekalan daging dari India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pengguna tidak perlu bimbang dan sangsi terhadap bekalan daging lembu dan produk lain yang diimport dari India kerana ia bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19 walaupun republik itu berdepan situasi pandemik yang buruk.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, bagi memastikan daging berkenaan bebas daripada sebarang jangkitan penyakit, pemeriksaan ke atas daging turut dilakukan di pintu masuk negara.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah melakukan ujian pengesanan Covid-19 ke atas sampel bekalan daging di pintu masuk.

“Tahun lepas sahaja, sebanyak 400 sampel diuji dan keputusan ujian lanjut di makmal yang diperoleh dalam tempoh tiga hari itu membuktikan kesemua sampel berkenaan adalah bebas daripada sebarang penyakit.

“Malah, secara saintifiknya virus Covid-19 tidak boleh meresapi ke dalam sel haiwan  tidak sama seperti manusia. Kalau berlaku pun semasa proses pengendalian dan penyediaan daging itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran My Best Buy Aidilfitri di lobi MAFI yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Norlizan berkata, buat masa ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) belum memutuskan untuk memberhentikan pengimportan bekalan daging dan juga produk lain dari negara berkenaan.

“Malaysia mempunyai sistem pemeriksaan sumber daging import berdasarkan rumah sembelih yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia.

“Di peringkat pemprosesan di luar negara, mereka telah diberikan penerangan oleh negara berkenaan untuk mematuhi segala peraturan digariskan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ronald berharap program My Best Buy Aidilfitri yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu depan memberi manfaat kepada peniaga dan pelanggan.

“Program seumpama ini akan dapat membantu usahawan kecil mempromosi usaha mereka tidak hanya tertakluk sektor makanan sahaja tetapi produk lain,”  katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI