fbpx
Kuih Bakar Popular Warisan Endon di Kuala Sebang, Melaka begitu diminati ramai.

Kuih bakar bara kayu pokok getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WANGIAN aroma rempah kuih bakar air tangan Siti Normah Ahmad, 65, itu boleh dihidu dari jarak 20 meter. Sesekali aroma kuih tradisional itu turut bercampur dengan bau wangi asap kayu pokok getah yang mengimbau memori masakan juadah istimewa di kampung tatkala menjelang Hari Raya Aidilfitri, mahupun majlis kenduri-kendara.

Apabila mendekati rumah pembuatan Kuih Bakar Popular Warisan Endon di Kampung Kuala Ina, Kuala Sebang, Melaka, penulis terus tertarik dengan dapur uniknya.

Kuihnya bukan dibakar di dalam ketuhar seperti kelaziman, tetapi di dalam dapur khas atau dipanggil sabak yang dipanaskan menggunakan bara kayu pokok getah.

Menurut Siti Normah, dapur sabak itu digunakan sejak tahun 1976 lagi.

Ia ditempah khas daripada seorang tukang besi berbangsa Cina di Tampin, Negeri Sembilan dengan permintaan rekaan agar ia dipasangkan roda dan dapat bergerak di atas rel, seakan rel kereta api. Apabila ‘pintu’ ketuhar mahu dibuka atau ditutup, dapur sabak itu akan ditolak atau ditarik meluncur di atas rel mini berkenaan.

Apabila ditutup, bara yang diletakkan di atas penutup akan membakar bahagian atas kuih, manakala di bawah dapur juga disusunkan bara bagi memastikan manisan mulut itu masak sepenuhnya.

Keenakan Kuih Bakar Popular Warisan Endon ini bukan sahaja popular di negara ini, malahan turut digemari pelanggan dari Singapura dan Brunei.

Katanya, dapur sabak itu boleh memuatkan 20 acuan kuih bakar dan dibakar kira-kira 20 minit.

“Dapur tradisional ini merupakan kaedah yang digunakan sejak awal perniagaan yang diusahakan daripada nenek dipanggil Siti sehinggalah ibu saya, Endon Mahat.

“Kini, walaupun pelbagai jenis ketuhar moden ada dijual, namun sebagai penyambung perniagaan warisan generasi ketiga, saya tetap meneruskan kaedah pembuatan yang sama bagi mengekalkan rasa asli kuih bakar resipi keluarga.

“Rasa kuih bakar yang dimasak menggunakan kayu api ini memang lain. Tekstur luarnya lebih garing, namun apabila kita gigit bahagian dalamnya sangat lembut. Kalau dimasak menggunakan ketuhar elektrik, kebiasaannya bahagian luar tidak begitu garing,” katanya ketika ditemui di rumah pembuatannya baru-baru ini.

Menurut Siti Normah, suaminya, Hamsi Nabu, 70, turut membantu menyediakan bara kayu seawal pukul 6.30 pagi dan kuih bakar akan mula dimasak pada pukul 8 pagi.

Mengulas mengenai aroma adunan, anak jati Melaka itu memberitahu, bahan bancuhan terdiri daripada bahan-bahan asas iaitu tepung gandum, pati daun pandan, santan, gula pasir, telur dan jintan manis.

“Dahulu, arwah nenek pakai telur itik, namun sekarang harga sebiji telur itik agak mahal iaitu RM1. Pada harga itu kita boleh beli dua biji telur ayam. Jadi saya tukarkan kepada telur ayam. Walaupun harga bahan-bahan lain dah tidak macam dahulu, sebiji kuih bakar dijual pada harga RM2 sahaja.1

“Jintan manis ni kita letak supaya hilang bau hanyir telur. Adunan ini kemudian perlu disimpan semalaman untuk memastikan semua bahan-bahan tersebut ‘mesra’ atau sebati sebelum dimasukkan ke dalam acuan,” katanya.

Tambahnya, sejak perniagaan itu diambil alih oleh ibunya, permintaan kuih bakar boleh mencecah sehingga 500 biji sehari, bagaimanapun sejak negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu, tempahan terus merosot dengan kurang 200 biji disediakan setiap hari.

DAPUR sabak yang menggunakan kayu getah sebagai bahan bakar menjadikan kuih bakar lebih garing di bahagian luar, namun lembut di dalam.

Katanya, jika tempahan dibuat adalah untuk dijadikan buah tangan atau door gift majlis keraian, kuih bakar itu akan diserikan dengan tambahan buah ceri atau bijan mengikut permintaan pelanggan.

“Ada yang mahu kami bungkuskan siap-siap kuih bakar ini di dalam kotak untuk diberikan kepada tetamu pada majlis keraian. Bagi perkhidmatan itu, kami caj RM1 untuk setiap biji. Pelanggan juga boleh memilih warna bungkusan ikut kesesuaian tema majlis.

“Selain dibeli untuk dimakan seisi keluarga, kuih bakar ini memang sering dijadikan buah tangan, khususnya dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Untuk tempahan, pelanggan perlu membuat pesanan dua minggu lebih awal kerana memasak menggunakan dapur sabak ini memerlukan sedikit masa,” katanya.

Menurutnya, kuih bakar itu boleh dimakan dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan bergantung kepada cara penyimpanannya.

Wangian aroma Kuih Bakar Popular Warisan Endon ini juga turut dapat ‘dihidu’ jauh sehingga ke Asia Barat, apabila terdapat pelanggan di Qatar membuat tempahan antarabangsa. Siti Normah juga memberitahu, sebelum pandemik, dia juga sering mendapat tempahan daripada penggemar di Singapura dan Brunei.

Seorang pelanggan setia Kuih Bakar Popular Warisan Endon, Muhammad Naquiddin Nordin, 29, berkata, baru-baru ini dia menempah 500 biji kuih bakar itu untuk dijadikan buah tangan pada satu program pendidikan.

“Saya gemar membeli kuih bakar ini kerana rasanya yang sedap dan konsisten.

“Harga yang ditawarkan pula sangat berpatutan iaitu sebiji cuma RM2 berbanding tempat lain. Ada yang menjual kuih bakar pada harga RM3.50 sehingga RM4.50 sebiji.

“Selain itu, kuih bakar Warisan Endon ini adalah produk yang segar, bukannya kuih lama yang disimpan oleh peniaga. Kuih bakar yang dijual memang tahan lama berbanding yang dibuat menggunakan ketuhar,” ujarnya.

Jelasnya, jika membeli kuih bakar yang dimasak dalam ketuhar, memang diluarnya lembut, tetapi jika tidak disimpan dengan elok, ia cepat rosak.

ADUNAN pelbagai bahan yang disimpan semalaman dimasukkan ke dalam acuan untuk membentuk kuih bakar yang rangup dan memikat selera dan cita rasa pelanggan.

Tambahnya, dia juga berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan termasuk membungkuskan buah tangan itu dalam kotak yang secara tidak langsung memudahkan urusan pelanggan.

Sementara itu, chef selebriti, Cef Naem juga tidak lokek berkongsi pandangannya mengenai keunikan kuih bakar yang disediakan melalui kaedah tradisional itu.

Katanya, juadah yang dimasak menggunakan kaedah kayu api sememangnya mempunyai aroma yang kuat dan membangkitkan selera.

“Kuih bakar yang dimasak menggunakan kayu api memang wangi. Kalau diletakkan di atas meja makan, bau kuih itu yang paling kuat dan membangkitkan selera makan.

“Samalah jika rendang atau lemang yang dimasak menggunakan kayu api, bau asap kayu itu menjadikan aroma rendang lebih kuat, manakala lemang lebih sedap kerana bahagian luarnya garing.

“Dari segi tekstur pula, kalau masak guna ketuhar moden, kuih bakar akan masak lebih sekata kerana ia mempunyai penetapan masa dan suhu.

“Jika dimasak menggunakan kaedah lama, kuih mungkin akan jadi tidak garing sekata atau bahagian tengah masak dalam keadaan sedikit lembut atau just nice. Namun, keadaan inilah yang menjadikan kuih tradisional istimewa dan begitu menyelerakan,” katanya.

Tambahnya, selain rasa yang lebih sedap, masakan menggunakan kayu api itu juga pastinya membawa 1,001 memori kepada individu tentang kehidupan di kampung ketika zaman kanak-kanak.

“Bau asap kayu itu sendiri pun boleh membuka selera kita untuk menikmati juadah tersebut. Kita akan teringat pada memori lama serta suasana lama.

“Kalau ada kesempatan, seperti pada bulan Ramadan, saya sendiri pun akan cuba mencari juadah yang dimasak menggunakan kayu api, memang berbeza rasanya, lebih sedap,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN