fbpx

HurunEin tembusi pasaran Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haslina (duduk) bersama suami, Mohd. Fadhil Ismail dan sebahagian daripada kakitangan Al Falah House of Tailor (M) Sdn. Bhd. yang mengeluarkan tudung jenama HurunEin di pejabat syarikat di Seksyen 16, Shah Alam.

PETALING JAYA – Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang hanya berurus niaga secara online, mungkin sukar untuk membayangkan produk dikeluarkan akan berkembang ke pasaran luar negara.

Meskipun menggunakan platform internet yang sering dianggap tanpa sempadan, bukan mudah untuk bisnes tempatan membina tapak di pasaran luar. Ada banyak kekangan perlu di­selesaikan termasuk soal logistik dan saluran pembayaran.

Ini membuatkan kejayaan jenama tudung labuh keluaran Bumiputera, HurunEin menembusi pasaran Singapura pada Mac lalu satu pencapaian manis buat pengusahanya, Haslina Ithhin, 41.

Menurut bekas juruaudit ini, pihaknya sering kali mendapat pertanyaan pelanggan dari negara di seberang tambak itu namun disebabkan kos penghantaran yang agak tinggi, selain kesukaran pembayaran menyebabkan permintaan yang ada tidak dapat dipenuhi.

“Bagaimanapun baru-baru ini, Ninja Van telah memperkenalkan perkhidmatan penghantaran ke Singapura pada harga yang mampu milik, jadi kami pun mula menjual tudung di sana.

“Pelanggan memberitahu agak sukar untuk mendapatkan tudung labuh di tempat mereka, jadi produk kami menerima permintaan baik, lebih-lebih lagi dengan kadar tukaran wang a­sing yang memanfaatkan pembeli.

“Kami turut melantik ejen di Singapura untuk memudahkan pelanggan terutamanya dari segi pembayaran,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Liza bersama anak bongsu Haslina, Arissa Naura menggayakan koleksi tudung Jasmine keluaran syarikat.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, anak kelahiran Me­laka ini berkata, saluran jualan utama bagi HurunEin adalah Facebook huruneinmalaysiaHQ, sesuai dengan profil kebanyakan pelanggannya iaitu wanita berusia 35 tahun ke atas.

Jelasnya, ciri utama tudung jenama HurunEin ialah bersifat labuh, memiliki awning lembut dan pelapik dagu.

Terdapat sembilan pilihan saiz ditawarkan bermula bagi kegunaan bayi sehinggalah XXXL pada harga sekitar RM50 hingga lebih RM80 sehelai, bergantung kepada corak rekaan dan sama ada batu hiasan swarovski digunakan.

Keistimewaan tudung Hurun­Ein ini, menurut Haslina ialah ia dijahit khusus berdasarkan tempahan setiap pelanggan, jadi pembeli boleh meminta supaya jahitan pada muka tudung betul-betul menepati saiz muka mereka supaya lebih selesa dipakai.

“Selepas pelanggan memberitahu ukuran, reka bentuk dan corak diingini, barulah kami menjahit tudung yang dipesan.

“Masa diambil adalah antara lima hingga tujuh hari sebelum produk pelanggan dipos, namun menjelang Aidilfitri ini, kami memerlukan tempoh antara tujuh hingga 10 hari,” katanya sambil menjelaskan kapasiti pengeluaran syarikat kini adalah antara 2,000 dan 3,000 helai sebulan.

Haslina berkata, jenama HurunEin didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 2020 dan bermula tahun ini, syarikat melantik pelakon, Liza Abdullah selaku duta jenama.

Tambahnya, tahun 2021 telah membawa sinar baharu buat HurunEin, yang membawa makna ‘bidadari yang bermata indah’ dengan kejayaan merekodkan jualan melebihi RM100,000 sebulan selepas tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada awal tahun.

Suasana ruang kerja yang mementingkan keselesaan kakitangan di premis pengeluaran di Shah Alam.

“Saya ada banyak impian me­nuju ke hadapan, antara yang paling utama ialah memartabatkan kerjaya tukang jahit dan memberikan faedah lebih baik buat kakitangan.

“Ramai tukang jahit kini tidak menerima upah secara bulanan daripada majikan, sebaliknya mengikut bilangan yang dijahit. Saya cuba mengubah keadaan ini dengan menawarkan gaji tetap selain komisen tambahan berdasarkan prestasi.

“Kalau boleh, saya mahukan tukang jahit kami mendapat kemudahan seperti bekerja di pejabat, ada cuti tahunan, cuti bersalin dan sebagainya.

“Selain itu, saya berhasrat membantu lebih ramai suri rumah menjana pendapatan.

“Daripada 10 kakitangan jualan syarikat, hanya dua orang hadir ke pejabat manakala selebihnya suri rumah yang mampu menghasilkan pendapatan mencecah RM3,000 sebulan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI