fbpx
ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan cincin yang tersangkut pada jari seorang wanita.

Gemuk punca sangkut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Berat badan makin bertambah, namun terus memakai cincin yang dianggap tuah serta mempunyai kenangan menjadi penyebab berlakunya kes cincin tersangkut pada jari khususnya wanita.

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menunjukkan sebanyak 60 kes direkodkan pada tahun lalu dan pada tiga bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 24 kes telah dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, rata-rata mangsa berusia 30 hingga 40 tahun dengan cincin yang dipakai telah lama berada pada jari mereka.

Katanya, kes berlaku apabila cincin itu telah rapat pada kulit sehingga membuatkan jari ber­kenaan membengkak dan sukar untuk ditanggalkan.

“Wanita apabila telah me­nyarung cincin tanpa pernah mengeluarkan pada jari beranggapan masih muat tanpa me­nyedari berlakunya pertambahan berat badan mereka walaupun sedikit.

“Apabila mereka membeli cincin baharu dan ketika ingin menanggalkannya didapati tersangkut sebelum pergi ke balai bomba bagi mendapatkan khidmat mengeluarkan cincin itu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

HAFISHAM

Tambahnya, ada juga kes apabila mangsa lelaki memberitahu mereka memakai cincin ke­rana merupakan pusaka yang mampu memberikan kekuatan.

“Ini adalah lebih kepada cincin yang mempunyai batu tersendiri sebagai penghiasnya,” jelasnya.

Hafisham menegaskan, ­respon terhadap kes tersebut juga membuatkan banyak balai bomba melakukan inovasi kaedah mengeluarkan cincin tersangkut seperti penggunaan mi­nyak, dawai dan pemotong cincin.

“Batang aiskrim adalah pa­ling kerap digunakan dengan me­lapikkan cincin dan kulit ketika operasi pemotongan.

“Kita cuba mempercepatkan proses khidmat dengan berhati-hati kerana mengetahui kesakitan dialami mereka,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kes cincin tersangkut pada kemaluan, beliau memberitahu trend itu sememangnya berlaku, namun pihaknya hanya menerima dua kes dalam tempoh tahun lalu hingga Mac tahun ini.

“Ia lebih kepada ke­seronokan dan kepuasan seksual dalam menunjukkan ‘kejantanan’ diri,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN