KUALA LUMPUR – FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan para pemenang Camp Millionaire 2026, sebuah kem literasi kewangan lanjutan yang dianjurkan menerusi program Know Your Money (KYM), sekali gus meraikan pencapaian generasi muda celik kewangan Malaysia yang telah menunjukkan pengetahuan kewangan, semangat kerjasama dan kemahiran pengurusan wang yang cemerlang.
Kem pendidikan kewangan lanjutan selama tiga hari di Pusat Latihan BSN, Bangi ini menghimpunkan 111 pelajar cemerlang daripada 37 sekolah di seluruh negara, dipilih daripada 1,868 pelajar yang menyertai program celik kewangan KYM yang dilaksanakan antara April hingga Julai 2026.Â
Dibangunkan oleh pakar pendidikan kewangan, Little Tauke, Camp Millionaire 2026 berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2026, menawarkan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan menyeluruh bagi memperkukuh kemahiran membuat keputusan kewangan, kepimpinan, keusahawanan dan pengurusan wang dalam kalangan peserta. Â
Pertandingan ini mencapai kemuncaknya menerusi acara penutup yang mengiktiraf pencapaian individu dan pasukan terbaik yang terdiri daripada pelajar dari komuniti bandar dan luar bandar di seluruh Malaysia.Â
Pemenang Camp Millionaire 2026 adalah seperti berikut:Â
- Johan: Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Laksamana, Masjid Tanah, Melaka
- Naib Johan: SK Pekan Pitas II, Sabah
- Tempat Ketiga: SK Agama Sibu, Sarawak
Anugerah khas turut diberikan kepada:Â
- Anugerah Squad Bijak Wang: SK Bidor, Perak
- Peserta Wanita Terbaik: Esra Athalia Inndu dari SK St. Peter, Saratok, Sarawak
- Peserta Lelaki Terbaik: Iman Islam Bukhari bin Bokhari dari SK Belimbing, Tanah Merah, Kelantan
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance, Mak See Sen berkata, di FWD, pihaknya percaya bahawa celik kewangan merupakan antara kemahiran kehidupan terpenting yang boleh dipupuk sejak usia muda.
“Semangat, kreativiti dan keyakinan yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang tiga hari ini amat membanggakan dan membuktikan impak positif pendidikan kewangan awal dalam membentuk generasi masa depan yang lebih bersedia.
“Kami berbangga dapat meraikan pencapaian semua peserta dan mengucapkan tahniah kepada para pemenang tahun ini,” katanya.Â
Camp Millionaire merupakan sebahagian daripada inisiatif celik kewangan Know Your Money, yang dilaksanakan bersama oleh FWD Insurance dan BSN bagi melengkapkan murid sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun dengan pengetahuan kewangan serta kemahiran pengurusan wang. Â
Program ini menyokong usaha memperkukuh tahap celik kewangan dalam kalangan generasi muda Malaysia dengan menjadikan pendidikan kewangan lebih menarik, mudah diakses dan relevan sejak usia muda.
Melalui kerjasama dengan BSN dan Little Tauke, FWD Insurance telah memperluaskan jangkauan program ini ke sekolah-sekolah di seluruh negara, membantu pelajar membina pengetahuan dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak sepanjang hayat. – KOSMO! ONLINE
















